Friday, 6 February 2015

KISAH BAYI YANG TERKENA BADI MAYAT

Tragedi ini menimpa bayi perempuan saya, ketika itu masih berusia 7 bulan. Memang tidak bermaya, tidak tidur, tidak menangis, tidak ketawa, tidak makan. Ibu mana yang mampu menahan bila keadaan anak begitu. Saya bersama suami sering lakukan solat hajat untuk meminta Allah lindungi dan pelihara kesihatan dan kesejahteraan kami sekeluarga. Masa berlalu sehinggalah rumah ibu di datangi seorang lelaki yang agak berusia lewat 50 an dan memperkenalkan dirinya sebagai Cik Man, seingat saya waktu itu Hari Raya Aidil Adha.
Sesungguhnya kami sekeluarga memang tidak mengenali dan tidak pernah pula berkenalan dengan lelaki tersebut. Cik Man tu kata selepas beliau selesai solat Asar tak tahu pulak gerakan hati untuk ke rumah itu (rumah ibu). Beliau terus saja menjengah ke buaian anak saya sambil mengucap panjang. Beliau terduduk sambil memadang wajah seorang demi seorang. Beliau kata di dalam buaian itu bukannya anak saya tetapi wajah perempuan tua yang hampir kecut.
Ya Allah ! Waktu itu rasanya kaki saya tidak mencecah kebumi, terasa terlerai segala sendi yang ada. Cik Man tu menawarkan diri untuk mengubat bayi saya selama tiga hari (itu pun dengan izin dari Allah…katanya).
Dia meminta saya mendapatkan air lebihan mandian jenazah (air yang masih ada di dalam getah) dengan syarat yang meninggal mestilah seorang lelaki (sebab yang menumpang pada bayi saya adalah badi daripada mayat perempuan tua dan bukannya satu tetapi tujuh, benda tu menghuni di setiap sendi bayi perempuan saya) jika saya terlewat bayi saya mungkin turut meninggal.
Kerana terlalu risaukan keselamatan bayi saya, sehinggakan saya berdoa agar adalah orang yang meninggal pada hari itu. Hampir tiga jam saya bersama suami bertanya ke sana-sini, mencari rumah orang yang ada kematian. Dgn izin Allah saya terjumpa petang itu, Alhamdulilah. Petang itu Cik Man ke masjid dan dia hanya berpesan agar bayi saya yang sekecil itu dimandikan dengan menghadap ke kiblat berserta sepotong doa yang diberikan. Suami saya terus memandikan bayi perempuan saya seperti yang disarankan oleh CikMan tadi. Selepas dimandikan separuh badan bayi saya (dari pinggang kebawah) bertukar menjadi lebam. Rupa-rupanya kami tersilap kerana mana ada jenazah perempuan orang lelaki yang mandikan. Sekali lagi hati saya tidak keruan, mencari hingga kemalam.
Keesokkannya pagi-pagi lagi saya telah ke rumah mayat Hospital SHah Alam, menanti kalau-kalau ada orang yang meninggal ketika itu. Allah Maha Penyayang dan akhirnya saya bertemu dengan kawan lama yang kebetulan kematian datuk. Saya meminta izin dari neneknya untuk meminta sedikit air lebihan mandian untuk membuat ubat anak saya. Saya menceritakan dengan linangan air mata, tersentuh hati saya bila nama bayi perempuan saya disebut.
Bila air itu sudah diperolehi terus saja saya serahkan kepada CiMan (takut ada sebarang kesilapan lagi). Cik Man meminta saya memandikan bayi saya sendiri, tetapi saya tidak boleh kerana kedatangan haid, terpaksa ibu yang mengambil alih tempat saya. Cik Man berpesan apa jua yang berlaku pada malam itu beliau meminta kami semua bersabar dan sentiasa mengingati Allah swt. Pintu dan tingkap diminta buka seluas-luasnya. Cik Man meminta ibu tanakkan sepiring pulut kuning. Benar seperti apa yang Cik Man katakan.






Malam itu adalah malam pertama saya mendengar tangisan bayi saya, tangisan yang saya rindu sejak beberapa bulan yang lalu. Bayi saya meronta-ronta dan dengan spontan terasa seperti ada imbasan angin yang keluar terus menuju ke pintu dapur rumah ibu. Dalam masa yang sama terdengar suara ibu memekik dari dapur (seperti suara orang terperanjatkan sesuatu) tutup pengukus pulut itu dipenuhi cecacing dan ulat yang berwarna hitam. Adik lelaki saya mengucap dan terus membuang ulat-ulat itu ke longkang.
Bila kesemuanya telah selesai, Cik Man memberitahu tahu kepada saya, suami dan keluarga yang ada. Ada seorang daripada ahli keluarga kami yang menziarahi jenazah yang meninggal dalam kemalangan, kemudian balik dari ziarah terus menegur bayi saya tu. Cik Man cakap itu badi mayat. Kebetulan waktu itu bapa saudara saya pula sampai ke rumah untuk bertanyakan khabar bayi saya.
Rupa-rupanya orang yang Cik Man maksudkan itu adalah bapa saudara saya, dia pun akui dan tak sangka perkara itu terjadi kpd bayi saya. Cik Man menawarkan diri sekali lagi untuk merawat bayi saya sehingga berusia setahun. Saya pernah sekali ke rumahnya dan membawa serba sedikit keperluan dapur untuk dia dan isterinya. Gembira dan bersyukurnya saya, kerana bayi saya sudah pandai bertatih. Sekian lama selepas segala kesulitan itu terurai, saya bercadang untuk menziarah Cik Man sambil membawa sedikit sedekah dan tanda terima kasih. Saya dan mencari alamat rumah seperti yang diberikan oleh Cik Man.
Apabila saya sampai ke alamat itu saya lihat disitu cuma ada sebuah rumah tinggal yang papannya sudah pun berlumut. Saya bertanya dengan kedai mamak yang berhampiran, tempat saya membeli keperluan dapur waktu pertama kali saya bertandang kerumah Cik Man. Mamak tu kata rumah tu dah bertahun-tahun kosong, tuan rumah tu tak ada waris. Saya dan suami berpandangan sesama sendiri. Barang yang telah terniat untuk Cik Man saya sedekahkan ke surau yang berhampiran. Terima kasih, saya sekeluarga terhutang budi kepada Cik Man (jika beliau masih hidup) dan saya sedekahkan Al-Fatihah buat Cik Man jika dia benar-benar sudah meninggal. Apa yang berlaku elok dijadikan pengajaran dan ikhtibar.

No comments:

Post a Comment