Friday, 6 February 2015

CERITA SI PENGGALI KUBUR

“KOTA TINGGI: “Inilah pengalaman pertama saya sebagai penggali kubur selama lebih 30 tahun menyaksikan jenazah dalam bentuk hampir sempurna ditemui semasa kerja menggali semula,” kata Mohamad Sharif, 56, yang terbabit dalam kerja menggali semula 43 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam, di sini.
Mohamad atau dikenali sebagai Hussein di kalangan penduduk tempatan berkata, beliau membantu kerja memindahkan kubur bersebelahan Masjid Sultanah Rogayah itu untuk membolehkan kerja membina masjid baru dijalankan.
Katanya, kerja menggali semula 43 kubur yang terbabit untuk dipindahkan bermula pada petang selepas solat Jumaat lalu.
“Kerja menggali semula dan memindahkan kubur lama itu diketuai Iman Masjid Kampung Makam, Tarpani Sulaiman dibantu sembilan petugas lain.
“Pada petang selepas solat Jumaat sejumlah tiga kubur berjaya digali dan dipindahkan, manakala sebelah malamnya lima lagi kubur dialihkan,” katanya.
Menurut Hussein, deretan pertama kubur yang digali adalah mereka yang meninggal dunia antara 1979 hingga 1988 dengan disaksikan waris masing-masing, penduduk tempatan dan wakil Technocrat Resources Sdn Bhd, kontraktor yang diberi amanah membina masjid baru yang bernilai RM2 juta.
“Kerja menggali dengan bantuan sebuah jengkaut dan menggunakan cangkul itu berjalan lancar bermula selepas solat Jumaat.
“Jenazah mereka yang meninggal dunia lebih 17 hingga 26 tahun itu kebanyakan hanya tinggal sedikit tulang termasuk cebisan tengkorak, tulang punggung dan tulang lengan kerana keseluruhannya sudah dimamah tanah.
“Cebisan tulang disusun bersama tanah dimasukkan semula dalam kain kafan sebelum dikebumikan di liang kubur baru yang digali tidak jauh dari situ,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun pada kubur kelapan yang digali kira-kira jam 11 malam pada Jumaat lalu, semua yang hadir tidak kurang 30 orang menarik nafas panjang apabila mendapati jenazahnya dalam keadaan hampir sempurna dengan masih bersalut kain kafan.
“Walaupun kain kafan itu hampir reput tetapi bentuk jenazahnya hampir sempurna termasuk ikatan di hujung dan pangkalnya.
“Kami terpaksa menggali lebih luas kawasan tebing kubur bagi membolehkan dimasukkan kain kapan baru dari bawah jenazah itu untuk mengkapannya semula sebelum mengusungnya ke atas untuk dikebumikan di liang baru,” katanya ketika ditemui pagi semalam.
Menurut Hussein, jenazah itu adalah Imam Kedua Masjid Sultanah Rogayah, iaitu Haji Yusuf Kampong yang pulang ke Rahmatullah pada 4 April 1979 ketika berusia 99 tahun.
Sejumlah 43 buah kubur lama berusia antara 15 hingga 80 tahun diarahkan dipindahkan ke bahagian utara tanah perkuburan kampung itu yang bersebelahan Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.
Sehingga petang semalam sejumlah 28 kubur sudah dipindahkan.

No comments:

Post a Comment