Kebencian Yahudi terhadap Islam merupakan satu hakikat sejarah yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Dengan menganggap diri mereka sebagai bangsa pilihan, mereka mendakwa nabi akhir zaman adalah keturunan Yahudi dan Rasulullah s.a.w. menurut mereka seorang pendusta. Tindakan-tindakan yang diambil oleh Rasulullah s.aw. dengan mengusir mereka dari Madinah kerana pengkhianatan mereka menambahkan lagi kebencian yang mereka pendamkan. Setelah diusir dari Madinah, mereka menjadikan Khaibar sebagai pusat dan kubu gerakan. Dalam pada itu, mereka telah melakukan konspirasi dengan Ghatfan untuk menyerang Madinah. Rancangan jahat mereka itu diketahui oleh Rasulullah s.a.w. dan berjaya dihapuskan. Dengan kejatuhan Khaibar ke tangan orang-orang Islam berakhirlah pengaruh Yahudi di Semanjung Arab.
Tetapi permusuhan Yahudi tidak berkubur dengan begitu sahaja. Pada tahun 34H muncul seorang Yahudi menyamar dengan memeluk Islam yang bernama Abdullah bin Saba’ yang juga dikenali dengan Ibn Sauda’.
Abdullah bin Saba’ atau Ibn Saba’ adalah seorang Yahudi yang berasal dari San`a’, Yaman yang bercita-cita untuk membalas dendam terhadap Islam. Tempat pertama yang dimulainya ialah di Hijaz, Kufah, Basrah dan Syam. Namun usahanya tidak berjaya lalu memutuskan untuk pergi ke Mesir. Ada beberapa alasan yang menyebabkannya beralih ke Mesir. Pertama, kedudukan Mesir yang jauh dari Madinah dapat melancarkan gerakannya dari sebarang kawalan dan pemantauan daripada Khalifah. Kedua, di kalangan penduduk Mesir ada mereka yang masih lagi baru memeluk Islam dan tentu sekali keyakinan mereka terhadap aqidah pada saat itu belum lagi mantap.
Dengan mencipta beberapa konsep yang diubah suai dari doktrin agama Yahudi, Ibn Saba’ berjaya meracuni keimanan penduduk Mesir. Konsep pertama yang dimulakan ialah raj`ah iaitu Rasulullah s.a.w. akan kembali ke dunia sebelum berlaku kiamat. Logik akal yang diberikan oleh Ibn Saba’ ialah katanya: “Aku hairan bagaimana kamu boleh menerima bahawa Isa bin Maryam akan kembali ke dunia tetapi kamu menafikan bahawa Muhammad juga akan kembali.”
Setelah aqidah raj`ah diterima, Ibn Saba’ memperkenalkan satu lagi konsep iaitu wasiat sebagai pengganti. Katanya: “Setiap nabi mesti mempunyai wasi (orang yang menerima wasiat) sebagai Yusya` bin Nun sebagai wasi kepada Nabi Musa maka, Abi bin Abu Talib itulah wasi Muhammad. Tidak ada orang yang lebih zalim daripada mereka yang tidak melaksanakan wasiat baginda. Bahkan sanggup melanggar wasiat tersebut dengan melantik orang lain sebagai pengganti.” Menurut Ibn Saba’, tiga khalifah sebelum Ali adalah perampas hak Ali iaitu jawatan sebagai imam selepas Rasulullah s.a.w. Dengan mengemukakan konsep wasiat ini, maka terciptalah dua aqidah utama. Pertama, Rasulullah s.a.w. telah menyatakan dengan terang bahawa Ali sebagai pengganti baginda sebaik sahaja wafat dan kedua, para sahabat telah merampas hak Ali.[1]
Dengan membangkitkan persoalan wasiat dan raj`ah ini, Ibn Saba’ berjaya menaikkan semangat puak-puak supaya menentang dan memberontak terhadap Sayyidina Uthman. Kesudahannya, provokasi itu membawa kepada kesyahidan Uthman pada tahun 35H.
Di zaman Ali menjadi khalifah, Ibn Saba’ menguatkan lagi asas aqidah yang Yahudi yang telah ditanamkan sebelum ini iaitu :
Penafian Terhadap Kewujudan Ibn Saba’
Bagaimanapun Syiah dengan kerasnya menafikan kewujudan Ibn Saba’ terutama ulama mereka yang kemudian. Penafian ini sebenarnya satu kejahilan tentang hakikat kewujudan Ibn Saba’ yang benar-benar ada di sejarah umat Islam. Penafian ini sebenarnya bertujuan untuk membebaskan Syi`ah dari terlibat dengan sebarang ajaran-ajaran asing dan mereka mahu menyatakan Syi`ah itu satu ajaran yang sudahpun diasaskan oleh Islam.[2] Semestinya ini merupakan strategi taqiyyah yang pada mereka mendatangkan keuntungan yang besar.
Mereka seolah-olah tidak mengetahui bahawa ulama mereka yang muktabar mengakui peranan yang dimainkan oleh Ibn Saba’ terutamanya konsep wasiat dan raj`ah yang dikemukakan olehnya. Apa yang lebih tepat ialah kita mengatakan penafian itu hanya taqiyyah yang merupakan nadi utama ajaran mereka. Ulama mereka yang paling terkehadapan dalam menafikan kewujudan Ibn Saba’ ialah Muhammad al-Husin Kasyif al-Ghita`dalam kitabnya Asl al-Syi’ah Wa Usuluha dan Muhammad Jawad Mughniah dalam al-Syi`ah Fi al-mizan.
Abdullah bin Saba’ adalah seorang Yahudi yang menyatakan keislamannya dan mengikuti serta menyokong Ali bin Abi Talib. Beliaulah yang mencipta konsep wasi dalam Islam iaitu Ali merupakan wasi Rasulullah s.a.w. tersebut di dalam kitab Firaq al-Syi`ah karangan al-Hasan bin Musa al-Nukhbati dan Sa`ad bin `Abdullah al-Qummi iaitu ulama Syi`ah abad ke 13H:
Abdullah bin Saba’ adalah orang yang pertama yang mempopularkan tentang imamah Ali, menyatakan tabarra’ iaitu berlepas diri daripada musuh-musuhnya dan mendedahkan kekufuran mereka. Dari sinilah orang yang menentang Syi`ah mengatakan, asal usul Rafidhah itu diambil daripada Yahudi.[3]
Akibat dari peranan Ibn Saba’ dalam mengasaskan aqidah Syi`ah dan bagi menolak tuduhan Syi`ah berasal daripada Yahudi, Murtadha al-`Askari telah menulis satu kitab yang khusus tentang Ibn Saba’. Beliau mengatakan: Sesungguhnya Ibn Saba’ itu hanyalah watak khayalan yang tidak pernah wujud, ceritanya itu telah direka oleh Saif bin `Umar dan menjadi terkenal melalui Tarikh al-Tabari.
Apa yang disangkalkan oleh al-`Askari ini tidaklah benar bahkan satu keberanian yang sangat pelik kerana beliau menafikan sesuatu yang telah terbukti ada dan sudah diketahui umum. Betapa banyak riwayat tentang kewujudan Ibn Saba’ yang bukan melalui Saif bin `Umar. Bahkan apa yang dinukilkan daripada kitab Firaq al-Syi`ah itu bukanlah melalui Saif bin `Umar dan tidak juga dinukilkan daripada Tarikh al-Tabari. Berikut ini beberapa rujukan Syi`ah yang membuktikan kewujudan Ibn Saba’ dengan bersumberkan Saif bin `Umar:
Al-Kafi karangan al-Kulaini, jilid 1, halaman, 545, Man Lah Yahduru al-Faqih karangan al-Mufid, jilid 1, halaman 213, `Ilal al-Syara’i` halaman 344, al-Khisal halaman 638, Tahzib al-Ahkam, jilid 2, halaman, 322, Rijal al-Kasysyi jilid 2, halaman 108 dan al-Amali jilid 1, halaman 234.
Persoalan ini boleh menjadi satu tajuk yang panjang untuk membuktikan kesalahan Murtadha al-`Askari itu, tetapi memadailah untuk kita menyebutkan pandangan seorang Syi`ah, Sayyid Abu al-Qasim al-Khu’i yang merupakan tempat rujuk tertinggi Syi`ahIraq. Dalam kitabnya Mu`jam Rijal al-Hadith di bawah biografi Abdullah binSaba’:
“Beliau adalah seorang yang kembali kepada kekufuran dan menyatakan sikap melampau. Beliau salah seorang pengikut Ali r.a., salah seorang perawi al-Syaikh.”
Al-Kasysyi berkata: “Muhammad bin Qulaiwih al-Qummi menceritakan kepadaku katanya Sa`ad bin Abdullah bin Abi Khalaf al-Qummi berkata Muhammad bin Uthman al-`Abdi menceritakan kepadaku daripada Yunus bin Abdul Rahman, daripada Abdullah bin Sinan, katanya: Bapaku menceritakan kepadaku daripada Abu Ja`far r.a.: “Sesungguhnya Abdullah bin Saba’ mengaku sebagai nabi dan mendakwa Amirul Mukmini Ali itulah Allah! Maha Tinggi Allah daripada yang dia katakan itu!”
Apabila sampai berita itu kepada Amirul Mukminin Ali, maka beliau memanggilnya dan bertanya tentang hal itu lalu dia mengakuinya dan berkata: “Ya, memang engkaulah Dia, telah timbul dalam fikiranku bahawa engkaulah Allah dan aku pula seorang nabi!! Kemudian Amirul Mukminin berkata kepadanya: "Celakaalah engkau! Syaitan benar-benar mempergunakan engkau. Kembalilah dan bertaubatlah dari kata-kata ini, kalau tidak ibumu akan kehilanganmu. Tetapi dia enggan lalu dikurung dan diperintah bertaubat dengan diberi tempoh tiga hari namun tidak juga bertaubat kemudiannya Ali membakarnya sambil berkata; Sesungguhnya syaitan telah memperdayakannya dan menimbulkan perkara itu di dalam hatinya.”
Muhammad bin Qulaiwih al-Qummi menceritakan kepadaku katanya Sa`ad bin Abdullah menceritakan kepadaku katanya Ya`qub Ibn Yazid dan Muhammad bin Isa menceritakan kepadaku daripada Ibn Abi`Umair daripada Hisyam bin Salim, katanya: “Saya mendengar Abu Abdullah berkata, pada ketika itu beliau membicarakan tentang Abdullah bin Saba dan dakwaannya Amirul Mukminin Ali mempunyai sifat-sifat ketuhanan, katanya: “Apabila dia (Abdullah bin Saba’) mendakwa perkara itu, maka Amirul Mukminin memerintahkan supaya bertaubat tetapi dia enggan lalu beliau membakarnya dengan api.”
Muhammad bin Qulaiwih menceritakan kepadaku katanya Sa`ad bin Abdullah menceritakan kepadaku katanya Ya`qub Ibn Yazid dan Muhammad bin Isa menceritakan kepadaku daripada Ali bin Mihziyar daripada Fudhalah Bin Ayyub al-Azdi daripada Aban bin Uthman, katanya, saya mendengar Abu Abdullah berkata; "Semoga Allah melaknati Abdullah bin Saba’ kerana dia mendakwa ketuhanan kepada Amirul Mukminin. Demi Allah, Amirul Mukminin itu adalah hamba Allah yang taat, neraka wail kepada orang yang berdusta atas nama kami. Sesungguhnya ada satu golongan mengatakan pada kami akan sesuatu yang tidak pernah kami katakan pada diri kami. Kami berlepas diri kepada Allah daripada mereka. Kami berlepas diri kepada Allah daripada mereka."
Dengan sanad ini daripada Ya`qub bin Yazid daripada Ibn Abi `Umair dan Ahmad bin Muhammad bin Isa daripada bapanya dan al-Hasain bin Sa`id daripada Ibn Abi `Umair daripada Hisyam bin Salim daripada Abi Hamzah al-Thumali, katanya: Ali bin al-Husain berkata: "Semoga Allah melaknati orang yang berdusta atas nama kami. Sesungguhnya aku menyebutkan tentang Abdullah bin Saba’ lalu setiap rambut pada tubuhku menegak. Sesungguhnya dia telah mendakwa satu perkara yang amat besar. Semoga Allah melaknatinya. Ali adalah seorang hamba Allah yang soleh, saudara Rasulullah, kemuliaan Allah hanya dicapai oleh orang yang taat kepada Allah dan rasul-Nya. Rasulullah dan keluarganya tidak mencapai kemuliaa Allah melainkan dengan ketaatan kepada-Nya."
Dengan sanad ini daripada Muhammad bin Khalid al-Tayalisi daripada Ibn Abi Najran daripada Abdullah bin Sinan, katanya Abu Abdullah berkata: "Sesungguhnya kami Ahli Bait tidak terlepas dari para pembohong yang berdusta atas nama kami dan kebenaran kami gugur dengan sebab pendustaan mereka di kalangan orang ramai ke atas kami. Rasulullah dan keluarganya adalah manusia yang paling benar percakapannya dan paling benar dari sekalian makhluk. Musailamah telah berdusta atas baginda. Dan Amirul Mukminin dan keluarganya adalah orang yang paling benar dari kalangan mereka yang Allah telah disucikan selepas Rasulullah s.a.w. Antara orang yang berdusta atas nama Ali dan membohongi kebenarannya serta menyandarkan pembohongan kepada Allah ialah Abdullah bin Saba’"
Al-Kasysyi berkata: Sebahagian ulama menyebutkan bahawa Abdullah bin Saba’ adalah seorang Yahudi kemudian memeluk Islam dan memberi sokongan kepada Ali. Sering kali dia keterlaluan mengatakan dalam keadaan masih Yahudi tentang Yusya` bin Nun sebagai wasi Musa!! Dan pada masa Islamnya selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. dia mengatakan seperti itu juga. Beliaulah yang mula-mula sekali yang mempopularkan tentang fardunya imamah Ali, dan menyatakan tabarra’ terhadap musuh-musuhnya di samping mengkafirkan mereka. Berasaskan kepada perkara ini, orang yang menentang Syi`ah mengatakan asal usul fahaman Syi`ah dan Rafidhah diambil dari agama Yahudi.
Biar apapun penafian yang cuba dilakukan namun ajaran Syi`ah itu tetap menyamai ajaran Yahudi yang diimport oleh Ibn Saba’.
Hakikatnya ialah:
Pertama, gerakan Saba’iyyah yang diketuai oleh Ibn Saba’ merupakan satu gerakan Yahudi secara rahsia yang berselindung di sebalik nama Islam. Dalam hal ini, Syi’ah Imamiah yang menerima baik dan mengukuhkannya dengan menulis beribu kitab yang didakwa kononnya mempunyai nilai ilmiah yang tinggi
Kedua, Ibn Saba` memperalatkan rasa cinta dan kasih sayang dengan cara yang melampau terhadap Ali dan anak-anaknya demi untuk menyesatkan umat Islam.
Ketiga, Ibn Saba` membangkitkan kebencian dan kedengkian terhadap para sahabat Rasulullah s.a.w di samping menyatakan sikap berlepas diri dari Abu Bakar, Umar dan Uthman malah menfasiqkan dan mengkafirkan mereka.
Keempat, Ibn Saba`memprovokasi dan mengapi-apikan umat Islam supaya menentang Uthman dan menuduh beliau dengan tuduhan-tuduhan karut bagi memecah belahkan kesatuan umat.
Kelima, Ibn Saba` menyebarkan akidah Yahudi, Nasrani dan Majusi di kalangan umat Islam yang tidak kena mengena dengan ajaran Islam seperti teori wasiat, raj`ah, wilayah, hulul, menganggap makhluk sebagi Tuhan, makhluk mempunyai sifat-sifat tuhan, kenabian tetap berlaku selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. dan sebagainya.
Keenam, apa yang diyakini dan diperjuangkan oleh Syi’ah termasuk doktrin kemurtadan para sahabat, kebangkitan semula para imam untuk melaksanakan hudud terhadap Abu Bakar dan Umar, imam menentukan imam selepas dan lain-lain ajaran yang bercanggah dengan aqidah Islam adalah buah-buah yang terbit dari pokok yang ditanam dan dibaja oleh Ibn Saba`. Soalnya apakah pokok-pokok tersebut dibiarkan terus subur membuahkan racun berbisa?
[1] Sila rujuk, al-Tabari, Tarikh al-Rusul Wa al-Muluk, jil. 2, hal. 469.
[2] Sila lihat, Muhammad Jawad Mughniah, dalam al-Syi`ah fi al-Mizan, hal. 87, Muhammad Husain al-Zain, al-Syi`ah fi al-Tarikh, hal, 29.
[3] al-Hasan bin Musa al-Nukhbati dan Sa`ad bin `Abdullah al-Qummi, Firaq al-Syi`ah, hal. 32-33, lihat juga al-Mamqami, Tanqih al-Maqal, jil. 2, hal. 184, al-Jazairi, al-Anwar al-Nu`maniyyah, 234.
Credit by : Muhammad Hanief Awang Yahaya
No comments:
Post a Comment