Wednesday, 4 March 2015

SRIKANDI ACHEH - (LAKSAMANA WANITA PERTAMA)


Tahukah anda, di dunia Melayu pernah muncul seorang pendekar wanita yang hebat, beliau dikenali sebagai Laksamana Raja Kemala Hayati, beliau merupakan seorang pahlawan terbilang dari alam Melayu Nusantara. Srikandi Acheh ini dipercayai satu-satunya seorang Laksamana Tentera Laut wanita Melayu yang pernah mengepalai armada laut Acheh dan mengalahkan tentera laut Belanda di perairan Acheh.

Raja Kemala Hayati kematian bondanya ketika dia masih kecil lagi lalu dijaga oleh ayahandanya sendiri bernama Laksamana Mahmud Syah. Disebabkan terlalu sayangkan anak perempuannya itu, dipanggilnya nama timangan sebagai Hayati, sering sahaja dibawanya pergi berlayar menaiki kapal ke laut lepas. Oleh kerana sudah terbiasa dengan kehidupan di laut, Raja Kemala Hayati menjadi seorang Laksamana wanita tentera laut pertama di dunia berkat tunjuk ajar ayahandanya dan pengalaman pelayaran di laut.

Sejarah rasmi Acheh menyebut peranan Srikandi ini terserlah pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Alam Sayyid Al Mukammil (1589-1604), nenda sebelah ibu kepada Sultan Iskandar Muda. Selain menjadi ketua protokol istana dan ketua pengawal peribadi Sultan, Laksamana Raja Kemala Hayati juga bertanggungjawab menjaga kebajikan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam hingga baginda dapat menjadi pemimpin besar dan pahlawan yang disegani di alam Nusantara juga di peringkat dunia !

Cornelius de Houtman, warga Belanda, beliau pernah melakukan kekacauan di Acheh. Beliau yang memimpin armada laut cuba bertapak di Acheh pada tahun 1599. Armada laut dari Belanda ini sengaja menunjuk-nunjuk kekuatan semata-mata untuk memprovokasi Acheh. Disebabkan perangai kurang ajar yang ditunjukkan ini, armada laut Belanda pimpinan Cornelius de Houtman ditewaskan oleh armada laut Laksamana Raja Kemala Hayati. Menariknya, armada ini diperkuatkan dengan bantuan seramai 2,000 orang balu-balu perajurit Acheh yang terkorban ketika peperangan menentang ancaman penjajah. Mereka dikenali dengan gelaran 'Inong Balee' yang bermaksud janda-janda pahlawan yang mati syahid. Raja Kemala Hayati juga telah kehilangan suaminya kerana gugur di medan perang melawan penjajah Portugis.

Perang antara armada laut Laksamana Raja Kemala Hayati menentang armada laut Belanda yang dipimpin oleh Cornelius de Houtman berlaku di Teluk Aru. Teluk yang aman dan permai ini menjadi saksi kepada sebuah peperangan yang dahsyat antara armada laut Raja Kemala Hayati dan Cornelius De Houtman. Kisah ini terjadi ketika datangnya dua utusan Belanda ke Acheh yang membawa dua buah kapal bernama DELEEUW dan DELEEUWIN iaitu dipimpin oleh dua orang bersaudara bernama Cornelius de Houtman dan Frederick de Houtman.

Hasil dari kedatangan mereka adalah sebuah perjanjian perdagangan dan bantuan Belanda untuk meminjamkan dua buah kapal tersebut guna membawa pasukan tentera Acheh ke Johor pada 11 September 1599. Pada waktu tentera Acheh sudah bersiap mahu berangkat belayar ke Johor disaat tentera Acheh mahu menaiki kapal, kapten kapal Belanda tiba-tiba tidak membenarkan mereka menaiki kapal.

Disebabkan tindakan yang biadap ini, maka terjadilah pertempuran yang hebat yang diakhiri dengan kekalahan di pihak adik beradik de Houtman.

Selepas peperangan itu, Cornelius de Houtman dihukum bunuh serta adiknya Frederick dipenjarakan. Kejadian ini menyebabkan Acheh menghantar bantahan kepada Belanda atas kebiadaban ini. Walaubagaimanapun, Belanda menganggap tindakan adik beradik itu adalah berbentuk persendirian dan bukannya dari arahan Belanda.

Pelabuhan Malahayati diabadikan bersempena nama Raja Kemala Hayati. Atau dipanggil dalam bahasa Acheh sebagai Laksamana Keumala Hayati.

Di Acheh, pangkat Laksamana bukanlah sebuah pangkat kecil-kecilan, ia merupakan pangkat yang khusus kepada kerabat diraja yang dahulunya sering digunakan oleh raja muda atau tengku mahkota, bakal Sultan Acheh. Laksamana Raja Kemala Hayati adalah generasi keempat keturunan Sultan Ali Mughayat Shah (1511-1530), raja besar dan pahlawan berwibawa yang diiktiraf sejarah sebagai sultan pertama Acheh kerana berjaya menggabungkan kerajaan-kerajaan Daya, Pedir, Pasai dan Haru ke dalam Acheh.

Benteng Inong Balee yang dibina pada masa pemerintahan Sultan Saidil Mukammil (1589-1604) bertujuan untuk ikut berperang. Benteng ini dibina setelah meminta izin daripada Sultan dan pasukan Inong Balee ini dipimpin oleh Raja Kemala Hayati. Tak jauh dari benteng tersebut, letaknya makam bersemadinya Raja Kemala Hayati.

Wanita ini pernah menjadi ketua armada laut, bukan senang nak bawa kapal perang layar yang memerlukan skill yang sangat berbeza daripada mengemudi kapal berenjin. Dahla kapal menggunakan layar, laut pula ada ombak, angin dan badai yang tidak menentu, yang tambah mengerikan lagi, siap berperang dengan orang Barat lagi.

AzwanVL bagi TABIK SPRING kepada Laksamana Raja Kemala Hayati (disusuli dengan 21 das tembakan meriam tanda hormat), beliau seorang wanita yang gagah berani merentas lautan luas, berperang dan memimpin angkatan laut. Penulis melihat potretnya sahaja, penulis dapat merasakan aura kegagahan dan keberaniannya. Penulis berharap agar muncul golongan wanita berjiwa srikandi ini di negara kita yang gagah berani seperti Laksamana Raja Kemala Hayati. Sebelum itu, cuba lihat gambar di atas, ditangan beliau sedang memegang apa? Fuhh hebat. Al Fatihah kepada Almarhumah.

No comments:

Post a Comment