Apabila sahabat sedar akibat daripada minuman arak itu dapat menghilangkan pertimbangan akal yang mana dapat mengakibatkan seseorang itu tanpa segan silu akan melakukan perkara-perkara yang mengaibkan, menganggu masyarakat dengan perbuatan jenayah dan maksiat, maka mereka pun datang menghadap Rasulullah.
Seorang dari para sahabat iaitu Umar Al-Khattab mengajukan soalan kepada baginda, "Apakah hukum diatas perbuatan meminum arak yang memabukkan hingga menyebabkan seseorang itu hilang kewarasan akalnya lalu menimbulkan kekacauan terhadap orang-orang disekelilingnya?"
Kemudian baginda berdoa seraya berkata, "Ya Allah jelaskanlah kepada kami hukum meminum arak sebagaimana keterangan yang muktamad, yang melapangkan hati tanpa bertakwil lagi."
Setelah itu barulah turun ayat yang menerangkan hukum meminum arak yang tersebut di dalam Surah Al- Baqarah ayat 219 yang bermaksud : "Mereka bertanyakan kepadamu (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah, 'Pada keduanya itu terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia...'"
Sesudah turun ayat ini, sesetengah sahabat tetap meminumnya dan bermain judi manakala setengahnya lagi enggan meminumnya kerana mengetahui dosa melakukan kedua perbuatan tersebut adalah amat berat.
Suatu hari Sayyidina Umar dipanggil menghadap Rasulullah SAW. Setelah Umar mengadap, Rasulullah lalu membacakan ayat itu kepadanya. Maka Umar berdoa pula, katanya, "Wahai Tuhanku, terangkanlah pada kami hukum meminum arak sebagai keterangan muktamad dan menyenangkan hati."
Doa itu diulangnya beberapa kali kerana memohon kepastian dari Allah Taala. Ini adalah kerana setelah turun ayat yang mengharamkan arak, dia dapat tahu tentang seorang sahabat Rasulullah yang kaya bernama Abd Rahman bin Auf r.a., telah menghidangkan arak dalam jamuan yang dihadiri oleh para sahabat lainnya dan salah seorang diantara mereka adalah Sayyidina Ali.
Dalam majlis itu, kesemua para hadirin menjadi mabuk oleh sebab meminum arak yang dihidangkan. Demikianlah sehingga masuk waktu Maghrib, ketika mereka mendirikan sembahyang, Sayyidina Ali yang menjadi imam telah tersalah membaca sepotong ayat dari Surah Al-Kafirun hingga berubah maksud ayatnya menjadi "Wahai orang-orang kafir, Aku sembah apa yang kamu (orang2 kafir) sembah"
Setelah itu turunlah ayat yang tersebut didalam Surah An-Nisaa' yang lebih kurang maksudnya : "Wahai sekian orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri solat sedangkan kamu dalam keadaan mabuk."
Setelah turun ayat itu, dipanggillah kembali Saiyidina Umar, lalu dibaca oleh baginda ayat yang baru turun itu.
Apabila Allah mengharamkan minum arak dalam waktu sembahyang Maghrib, maka sahabat-sahabat meminum arak selepas sembahyang Isyak. Jika mereka mabuk sebelah malamnya, keesokkan paginya mereka telah kembali seperti sediakala. Apabila diminum arak itu selepas sembahyang Subuh, maka akan sedar pula pada waktu masuk sembahyang Zuhur.
Suatu ketika seorang sahabat bernama Utban bin Malik telah mengadakan satu jamuan dan dijemput beberapa orang dari para sahabat menghadirinya.
Seorang daripada mereka bernama Saad bin Abi Waqqas. Di dalam jamuan itu, dihidangkan kepala unta yang telah dibakar. Dimakanlah oleh mereka hidangan itu dan meminum arak sehingga mabuk. Dalam keadaan mabuk itu, mereka membanggakan diri dengan keturunan dan memuji kehebatan diri masing-masing. Dalam pada itu, seorang sahabat yang bernama Saad bin Abi Waqqas bersyair dan memuji kaumnya sebagai orang-orang gagah berani sambil memcaci kaum Ansar yang dikatakannya sebagai penakut dan lemah. Apabila didengar cemuhan itu, seorang dari kaum Ansar cacian bangun mengambil rahang unta lalu dipukul di kepala Saad bin Abi Waqqas hingga luka parah.
Maka pergilah Saad mengadap Rasulullah mengadukan perbuatan orang Ansar ke atas dirinya. Ketika itu Saiyidina Umar ada bersama baginda. Bila dilihat kejadian itu berpunca dari sebab meminum arak, dia lalu berdoa, "Ya Tuhanku, terangkanlah pada kami hukum meminum arak itu dengan keterangan muktamad dan menyenangkan hati."
Maka turunlah ayat yang tersebut di dalam Surah Al-Maaidah yang maksudnya : "Bahawasanya syaitan mahu menimbulkan permusuhan di antara kamu dan saling benci membenci dengan meminum arak dan bermain judi dan mahu memalingkan kamu daripada memgingati Allah dan mengerjakan sembahyang, maka mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu?"
Setelah turunnya ayat itu Rasulullah memanggil Umar datang menghadap. Baginda lalu membaca ayat yang baru turun itu kepadanya. Setelah mendengar ayat itu, Umar dan para sahabat berkata, " Berhentilah kami, berhentilah kami..."
Semenjak peristiwa itulah arak diharamkan secara muktamad sehingga kini.
Setelah pembaca sudah baca apa yang penulis paparkan seperti di atas, maka penulis mahu buat perbandingan dengan versi pengharaman arak seperti artikel dibawah ini. Kisah dibawah ini penulis rujuk kepada kitab Tafsir Maudhu'i kuliah Usuluddin Al Azhar Mansurah. Kisahnya tidak jauh beza. Lebih kurang sama je.
Allah ta'ala telah menurunkan 4 ayat berkenaan arak sebelum diharamkan terus secara mutlak sehinggalah hari ini.
Ayat pertama,
Diturunkan di Mekah iaitu,
ومن ثمرات النخيل والأعناب تتخذون منه سكرا ورزقا حسنا
"Dan dari buah kurma dan anggur, kamu membuat minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik...." surah An Nahl ayat 67.
Umat islam ketika zaman permulaan islam meminum arak. Dan ketika itu halal bagi mereka.
Ayat kedua,
Diturunkan di Madinah iaitu,
يسئلونك عن الخمر و الميسر قل فيهما اثم كبير و منافع للناس
"Mereka bertanyakan kepadamu (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah, 'Pada keduanya itu terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia...'" surah Al Baqarah ayat 219.
Ketika itu sudah ada sahabat yang meninggalkan minum arak berdasarkan ayat, '..padanya terdapat dosa besar..' Manakala sahabat yang masih minum berdasarkan ayat, '..dan beberapa manfaat bagi manusia..'
Kemudian 1 ketika Sayyidina Abdur Rahman bin 'Auf telah menyediakan makanan dan menjemput para sahabat yang lain untuk menjamu selera. Sekalian mereka yang hadir makan dan minum arak. Tidak lama kemudian, masuk waktu Maghrib. Salah seorang dari mereka membaca ayat,
قل ياأيها الكافرون . أعبد ما تعبدون
Ayat ini telah dibuang huruf لا . Bila buang 1 huruf maka berubahlah makna sebenar ayat tersebut. Ini terjemahan ayatnya setelah dibuang huruf 'Lam', (Katakanlah Muhammad, "Wahai orang-orang kafir, Aku sembah apa yang kamu(orang2 kafir) sembah". Sedangkan terjemahan sebenar ialah 'Aku tak akan sembah apa yang kamu (orang2 kafir) sembah.' Ia terjadi kerana sahabat mabuk ketika solat akibat minum arak.
Ayat ketiga,
Maka akibat peristiwa itu, turunlah ayat,
يأيها الذين ءامنوا لا تقربوا الصلاة و أنتم سكارى حتى تعلموا ما تقولون
"Wahai orang2 yang beriman! Janganlah kamu mendekati solat ketika kamu dalam keadaan mabuk, sehinggalah kamu sedar apa yang kamu katakan.." surah An Nisa' ayat 43.
Allah mengharamkan umat islam minum arak ketika ingin mendirikan solat. Dikhuatiri mabuk menyebabkan mereka salah lagi dalam membaca ayat Al-Quran. Oleh kerana itu, mereka pun minum arak selepas solat 'isyak. Dan tatkala subuh menjengah, mabuk itu sudah hilang.
Kemudian pernah 1 ketika Sayyidina 'Itban bin Malik menyediakan makanan dan menjemput para lelaki dari kalangan umat islam datang bertamu. Antara mereka itu ada sahabat bernama Sayyidina Sa'ad bin Abi Waqas. Dia telah memanggang kepala unta. Maka mereka pun makan beramai-ramai dan meminum arak sehinggalah mabuk.
Kejadian itu menyebabkan mereka berasa sungguh seronok dan mereka pun menyanyi dan mendendangkan sya'ir. Ada setengah daripada mereka bersyai'r memuji kaum mereka sendiri dan mencela kaum lain iaitu kaum Ansar. Oleh kerana dicela, maka seorang lelaki dari kaum Ansar mengambil tulang rahang unta dan terus memukul kepala Sa'ad bin Abi Waqas. Maka sedihlah Sa'ad bin Abi Waqas diperlakukan begitu. Dia pun berjumpa dengan baginda Nabi Muhammad dan mengadu kepada Nabi tentang perbuatan lelaki dari kaum Ansar itu. Maka turunlah ayat di bawah ini,
Ayat keempat,
يأيها الذين ءامنوا انما الخمر و الميسر والأنصاب والأزلام رجس من عمل الشيطان فاجتنبوه لعلكم تفلحون . انما يريد الشيطان ان يوقع بينكم العداوة والبغضاء فى الخمر والميسر ويصدكم عن ذكر الله و عن الصلاة فهل أنتم منتهون
"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, berjudi, berkorban untuk berhala dan menilik nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk dari perbuatan syaitan.. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu beruntung. Sesungguhnya syaitan mahu mewujudkan permusuhan dan kebencian antara kamu dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan melaksanakan solat. Maka tidakkah kamu mahu menghentikan semua perbuatan-perbuatan kamu ini?" surah Al Maidah ayat 90-91.
Selepas turunnya ayat ini maka berkata Sayyidina 'Umar bin Al Khattab, " Kami berhenti dari segala perbuatan kami ini ya Allah.. Kami berhenti..."
Maka barulah arak diharamkan secara mutlak.
Inilah peringkat-peringkat yang berlaku sebelum arak diharamkan secara terus sehinggalah hari ini arak tetap diHARAMkan. Antara hikmah dilakukan secara berperingkat ialah kerana orang arab memang sudah biasa dengan arak. Bahkan telah menjadi sebahagian daripada hidup mereka. Kalaulah arak ini diharamkan ke atas mereka hanya dengan sekali larangan sahaja, menyebabkan berlakunya kesukaran ke atas diri mereka untuk meninggalnya.
Boleh jadi mereka tidak menghiraukan larangan ini. Seperti kata-kata Sayyidatuna 'Aisyah radhiallahu 'anha, "Awal-awal apa yang yang diturunkan dari Al-Quran itu adalah surah yang menerangkan padanya tentang syurga dan neraka sehinggalah bila telah tetap hati manusia kepada islam, barulah disebutkan tentang apa yang halal dan haram dalam islam. Kalaulah awal-awal lagi ayat Al-Quran terus menyebut, 'Janganlah kamu minum arak..' nescaya mereka akan berkata, " Kami takkan tinggalkan arak selama-lamanya..."
Kesimpulan
Secara ringkasnya marilah kita lihat peringkat-peringkat pengharaman arak sebelum diharamkan terus. Pertama, Allah sebut arak ini ada dosa yang besar padanya dan ada juga beberapa manfaat untuk manusia. Maka ada sahabat yang tinggalkan minum arak dan ada yang masih teruskan. Kemudian datang lagi ayat seterusnya iaitu Allah haramkan ketika ingin dirikan solat sahaja. Maka para sahabat tak minum jika ingin dirikan solat. Kemudian turun pula ayat seterusnya mengharamkan terus arak secara mutlak kerana telah berlaku beberapa peristiwa seperti cerita di atas. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment