Sunday, 1 March 2015
KISAH MALAIKAT HARUT DAN MARUT
Dengan nama Allah penulis mulakan post. Alhamdulillah, pada kali ini, penulis berkesempatan untuk postkan satu artikel yang telah dikirim oleh seorang hamba Allah yang tak mahu dikenali, ianya berkaitan dengan kisah malaikat harut dan marut. Cerita ini penulis pernah baca dulu, namun senior penulis beritahu cerita ini jatuh dalam kategori "Israiliyat". Iaitu satu benda yang percaya jangan, tak percaya pun jangan. Jadi, kita ambil cerita ini sebagai pengajarannya. Dibawah ini ceritanya, silakan membaca.
Kisah Dua Malaikat Yang Dihukum Allah SWT
Kisah ini pernah disebutkan dalam Al-Quran.
Alkisah dua Malaikat yakni Harut dan Marut diutus Allah SWT turun kebumi untuk memerangi ilmu-ilmu sihir yang bermahajarela di Negeri Babylon (Iraq).
Orang-orang beriman dan bertaqwa pada waktu itu mula terdesak oleh para penganut ajaran syaitan ini. Dan situasi kerajaan Babylon pun menjadi resah, kerana ahli-ahli sihir syaitan ini mula melebarkan pengaruhnya ke istana.
Sementara itu di langit terjadi insiden, beberapa Malaikat sedang membicarakan mengenai kejahatan dan kerosakan manusia.
Para Malaikat berkata “Anak-anak Adam itu Engkau jadikan mereka makhluk pilihanMu di bumi tetapi mereka menderhakaiMu”.
Allah SWT berfirman: “Sungguh jika Aku turunkan kamu ke sana dan Aku bentuk kamu seperti pembentukan mereka, nescaya kamu akan melakukan sebagaimana yang mereka lakukan juga”.
Para Malaikat menjawab “Maha Suci Engkau wahai Tuhan, takkan mungkin kami menderhakaiMu!”.
Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak engkau ketahui.”
Malaikat berkata, “Kami lebih patuh kepada Engkau dibanding anak keturunan Adam.”
Kepada Malaikat, Allah berfirman: “Panggillah ke mari dua Malaikat. Aku akan turunkan mereka ke bumi hingga kamu dapat melihat apa yang dilakukan kedua Malaikat itu!”
Allah berfirman kepada Malaikat: “Pilihlah dua yang termulia antara kamu!”
Malaikat menjawab, “Tuhanku, biarlah Harut dan Marut yang melakukannya.”
Harut dan Marut pun diturunkan ke bumi dengan diberi sifat-sifat yang sama seperti yang melekat pada manusia (Nafsu syahwat, Akal, dll).
Demikianlah Allah menunjukkan kebijaksanaanNya. Allah mengutus dua dari para Malaikat yang sedang berbincang tadi ke bumi dengan dibekali hawa nafsu yang juga dimiliki manusia lainnya. Maka mereka turun ke bumi dengan membawa tugas, iaitu mengajarkan manusia pengetahuan ilmu sihir, yang tujuannya adalah untuk melawan ilmu-ilmu sihir syaitan. Sekaligus mengajarkan manusia kebaikan.
Inilah ayat Al-Quran yang menceritakan tentang Harut dan Marut.
"Mereka (para syaitan) mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang Malaikat di negeri Babylon iaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: “Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir.” Maka mereka mempelajari dari kedua Malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. (QS. Al Baqarah: 102)
Dan dimulalah misi mereka mengajarkan orang-orang di kerajaan Babiyon beberapa pengetahuan ilmu sihir dan cara melawan ilmu sihir syaitan.
Penulis ringkaskan cerita, setelah kedatangan Harut dan Marut maka terjadilah gerakan perlawanan rakyat terhadap para ahli sihir syaitan. Akhirnya para ahli sihir syaitan pun berjaya di kalahkan dan tersingkir dari Babylon. Penguasa kerajaan Babylon kemudian mengumumkan larangan keras bagi warganya untuk mempelajari ilmu-ilmu sihir syaitan lagi.
Diriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib ra : "kedua Malaikat itu mengajarkan kepada manusia tentang peringatan terhadap sihir bukan mengajarkan untuk mengajak mereka melakukan sihir. (al Jami li Ahkamil Qur’an juz II hal 472)
Akhirnya, sebagai penghargaan terhadap Harut dan Marut yang telah dianggap oleh rakyat sebagai guru besar, penguasa kerajaan Babilon memberikan mereka kedudukan tinggi sebagai penasihat kerajaan dan harta yang berlimpah.
Namun ternyata kedudukan tinggi dan harta itu perlahan-lahan mula membuat hawa nafsu Harut dan Marut menjadi tak terkawal. Mereka akhirnya mabuk dalam kenikmatan duniawi dan melupakan tugas-tugas mereka sebagai manusia. Dan berakhir dengan sebuah skandal.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas ra:
"Dengan kehendak Allah, lalu datang seorang wanita yang cantik bagai bunga (Zahrah). Zahrah pun mendatangi kedua Malaikat itu untuk mengujinya. Kedua Malaikat itu tertarik dengan kecantikan Zahrah hingga timbullah keinginan (hasrat) terhadapnya."
Zahrah berkata, “Mahukah kamu mengucapkan kalimah mantera musyrik?”
Kedua Malaikat itu menjawab, “Tidak, demi Allah, sedikit pun kami tidak mahu mempersekutukan Allah untuk selama-lamanya!”
Zahrah meninggalkan mereka berdua. Beberapa saat kemudian, dia kembali lagi membawa anak kecil. Sambil mendekati kedua Malaikat itu Zahrah berkata, “Bersediakah kamu membunuh anak kecil ini!”
Kedua Malaikat itu menjawab, “Tentu saja tidak, demi Allah selamanya aku tidak akan membunuhnya!”
Zahrah meninggalkan mereka dan datang sambil membawa segelas arak. Setelah merayu kepada mereka, akhirnya Zahrah berkata, “Aku tidak akan mengikuti kamu, sebelum kamu berdua minum arak ini!”
Akhirnya kedua Malaikat itu meminumnya hingga mabuk dan kemudian mereka berzina dengan Zahrah sebelum akhirnya membunuh anak kecil itu, dan mengucapkan kalimah musyrik.
Diringkaskan cerita, beberapa hari setelah terjadinya skandal ini, datanglah Malaikat Jibril dari langit memberitahu kepada Harut dan Marut bahawa masa tugas mereka telah berakhir. Dan Mereka dipanggil kembali ke langit untuk melapor diri. Betapa terkejutnya Harut dan Marut, kerana saat itu juga ingatan mereka sebagai Malaikat telah kembali.
Diriwayatkan oleh Makhul, dari Mu’adz,
"Maka datanglah dari sisi Allah Malaikat Jibril kepada mereka. Pada saat Jibril datang, Harut dan Marut menangis dan Jibril ikut menangis sambil berkata, “Sesungguhnya cubaan apakah yang membuat kalian sampai hanyut seperti ini?”
Dengan ketakutan yang dahsyat, Harut dan Marut kembali ke langit untuk melaporkan tugas mereka kepada Allah.
Maka disaksikan para Malaikat yang lain, Harut dan Marut melaporkan tugas-tugasnya sebagai manusia, yang berakhir dengan skandal dosa. Saat itu juga seluruh Malaikat bertasbih dan beristighfar kepada Allah. Kerana mereka menyedari betapa tidak mudahnya menjadi manusia. Dan betapa masih ada manusia-manusia baik yang tidak layak di azab.
Akhirnya Allah menutup sidang itu dengan menawarkan pada Harut dan Marut pilihan: Ingin di azab di dunia, atau ingin di azab di akhirat. Harut dan Marut yang mengetahui betapa dahsyatnya azab akhirat tentu saja langsung memilih di azab di dunia.
Dan menurut pelbagai kisah, Harut dan Marut hingga kini masih tergantung dengan keadaan kaki di atas dan kepala di bawah. Pernah ada seorang wanita tua dari wilayah daerah Babylon yang melaporkan kepada Nabi Muhammad SAW bahawa dia telah melihat dua orang Malaikat ini di sebuah sumur tua di gurun wilayah Babylon (Iraq).
Diriwayatkan oleh Abi Hatim dari Assham Bin Rawwad, dari Adam, dari Abi Ja’far, dari Qais Ubaid, dari Ibnu Abbas r.a.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment