Monday, 9 February 2015

KISAH KELAHIRAN NABI MUHAMMAD SAW


Ketika itu awan gelap Jahiliyah telah menutupi sepenuhnya Jazirah Arab. Perbuatan buruk dan haram, perang berdarah, perompakan dan pembunuhan bagi memusnahkan seluruh kebaikan dan kebajikan telah menyebabkan masyarakat Arab berada di dalam situasi yang amat hina dan penuh kederhakaan. Pada waktu itulah muncul bintang pagi kemakmuran, suasana yang gelap itu telah disinari kelahiran Nabi Suci yang dinanti-nantikan seluruh penghuni langit dan penghuni bumi. Nabi yang membawa suatu keberkatan, Nabi yang membawa suatu kerahmatan kepada seluruh makhluk dan keseluruhan alam.

Kaum Yahudi tahu waktu dan tibanya kelahiran Rasulullah. Mereka berduyun-duyun berhijrah menuju ke Jazirah Arab untuk menunggu kedatangan Nabi Terakhir tersebut. Sebahagian mereka mendiami kota Makkah dan berdagang di sana.

Ketika tibanya malam Nabi Terakhir itu dilahirkan, maka mereka menghampiri kaum Arab Quraisy dan bertanyakan apakah ada bayi yang lahir pada malam tersebut.

Daripada Riwayat Hakim Masjid. Aisyah r.a berkata: "Pada Malam Kelahiran Rasulullah SAW, seorang pedagang Yahudi yang tinggal di Makkah bertanya kepada sekumpulan orang-orang Quraisy: "Adakah anak yang lahir di antara kamu pada malam tadi?" Mereka menjawab: "Kami tidak tahu"

Si pedagang Yahudi menjelaskan: "Pada malam ini akan lahir Nabi Terakhir untuk ummat ini, Ahmad namanya (yang terpuji). Kalau kamu salah, bererti dia lahir di Palestin. Di antara dua bahunya terdapat tahi lalat hitam kekuningan."

Orang-orang Quraisy kemudian terperanjat hairan setelah mendengar perkataan dari orang-orang Yahudi tersebut. Ketika pulang ke rumah masing-masing, mereka pun memberitahu berita berkenaan kepada sanak keluarga serta sahabat handai. Lalu mereka mendapat khabar bahawa pada malam ini telah lahir seorang putera dari Aminah dan suaminya, Abdullah bin Abdul Mutalib yang memberi nama Muhammad.

Kemudian mereka segera menyampaikan berita kelahiran tersebut kepada Yahudi tadi, lalu segeralah dia minta orang-orang Quraisy bersama-samanya untuk menemui Aminah, ibunda Nabi SAW dan meminta untuk ditunjukkan kepada mereka.

Apabila melihatnya dan ketika matanya tertumpu pada "tahi lalat besar" (Khatam Al-Nubuwah) di bahagian belakang di antara kedua belikat Baginda, tiba-tiba si Yahudi itu terkejut dan menggigil badannya lalu terus pitam sehingga jatuh pengsan.

Setelah sedar dan pulih dari pengsan, orang ramai Quraisy bertanya: "Mengapa dengan kamu wahai sahabat?" Jawabnya: "Betapa ruginya....Kenabian telah hilang daripada bani Israel, al-kitab telah terlepas daripada tangan mereka."

Apabila telah dapat melihat ada tanda 'Nubuwah' (kenabian) di belakang Nabi SAW, maka tahulah dia bahawa terlepaslah peluang sama sekali untuk kaum Yahudi menjadi Nabi Terakhir yang selama ini amat dicita-citakan oleh mereka. Bangsa Yahudi menyangka penutup segala Nabi datang dari kaum mereka tapi sebaliknya yang berlaku. 

Firman Allah SWT:

 "Dan demi sesungguhnya! Telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan Kami bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul. Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan." (Surah As-Saffat 37: Ayat 171-172)

Mengenai penyaksian Yahudi Yathrib, Ibnu Ishak meriwayatkan dengan sumber mereka yakni Hassan bin Tsabit: "Semasa aku masih kecil, ketika usiaku sekitar tujuh tahun, masih segar dalam ingatanku, seorang Yahudi berteriak dengan sekuat hatinya dari bangunan yang tinggi di Yathrib (Madinah): "Wahai orang-orang Yahudi...!"

Setelah orang ramai berkumpul, lalu mereka bertanya: "Ada apa dan kenapa wahai saudaraku?" Jawabnya: "Malam ini telah muncul bintang tanda kelahiran Ahmad."

Seluruh para alim ulama sepakat bahawa Rasulullah SAW dilahirkan pada hari Isnin bulan Rabi'ul Awal tahun Gajah. Namun mengenai tarikh tersebut ada perbezaan pendapat. Majoriti para alim ulama berpendapat tarikh 12 Rabi'ul Awal. Sedangkan sebahagian ulama termasuk Syeikh Shafiyurrahman Al Mubarajfury berpendapat tarikh 9 Rabi'ul Awal. 

Berita kelahiran Nabi Muhammad SAW telah menarik perhatian ramai orang sehinggakan seorang pedagang Yahudi Makkah telah jatuh pengsan. Kaum Yahudi mengetahui tentang kebenaran fakta bahawa akan kedatangan Nabi Terakhir, namun mereka menyembunyikan rahsia kelahiran Nabi Suci itu. Malah mereka-mereka ini semakin melakukan kezaliman dan kebongkakan mereka pada setiap zaman.

Pada ketika hari kelahiran Rasulullah berlaku pelbagai peristiwa yang boleh dikatakan ajaib, ganjil ataupun mengagumkan. Di antaranya adalah keluarnya cahaya dari jalan kelahiran Rasulullah hingga menyinari seluruh istana-istana di Syam.

"Setelah bayiku keluar, aku melihat ada cahaya yang keluar dari rahimku, menyinari istana-istana di Syam." Itulah kata-kata ibunda Rasulullah SAW yakni Siti Aminah seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Sa'ad dan dinukilkan oleh Syeikh Shafiyurrahman Al-Mubarakfury.

Menurut penulis Sirah Nabawiyah Rahiqul Makhtum ini, Imam Ahmad juga meriwayatkan dari Al-Arbadh bin Sariyah yang isinya sama dengan perkataan tersebut.

Antara Peristiwa Di Sebalik Kelahiran Baginda Junjungan Besar :

1. Malaikat Menyampaikan Khabar Gembira

Aminah tidak perasaan kehamilannya hinggalah ke sembilan bulan, sebab tidak ada tanda atau kesan kepada dirinya. Kehamilan Aminah hanya disedari melalui perkhabaran malaikat yang datang kepadanya ketika beliau sedang nyenyak tidur. Malaikat menyatakan bahawa beliau telah mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu seluruh umat manusia. Setiap malam, beliau juga ada bermimpikan perempuan-perempuan mulia seperti Siti Aisyah, Masyitah dan lain-lain yang memberitahu kepada dia, "Hai Aminah, bertuahlah engkau, engkau akan melahirkan anak yang bakal menjadi Nabi Akhir Zaman."

2. Wajah Ibu Bapa Bercahaya

Abdullah bin Abdul Mutalib yang bakal mewariskan zuriat Nabi Akhir Zaman telah Allah SWT berikan tanda di dahinya cahaya dari kecil lagi. Terutama pada waktu malam, apabila dia pergi ke mana mana orang akan nampak cahaya di dahinya, mereka berkata, "Ini Abdullah datang, sebab mana ada orang yang bercahaya didahi selain dia. Kemudian, setelah kelahiran Aminah, cahaya tersebut berpindah daripada wajahnya Abdullah ke wajah isterinya (Aminah).

3. Semua Makhluk Berkata

Ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim Aminah, Allah SWT memerintahkan malaikat supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan memberitahu semua penghuni langit dan penghuni bumi akan kelahiran Nabi Suci yang dinanti-nantikan. Tanah-tanah di persekitaran kawasan yang kering ini menjadi subur, pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat. Begitu juga haiwan-haiwan di daratan dan di lautan sibuk membincangkan kelahiran kekasih Allah SWT. Ini menandakan kelahiran Rasulullah SAW membawa suatu kerahmatan kepada seluruh alam.

4. Mimpi Menakjubkan

Siti Aminah turut mengalami mimpi yang menakjubkan. Di dalam mimpinya itu, beliau telah menadah tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat turun dari langit. Ia diibaratkan kapas putih yang terapung di angkasa.

Kemudian malaikat berdiri di hadapannya, dan berkata "Khabar gembira buat kamu, wahai ibu daripada seorang nabi. Putera kamu itu akan menjadi penolong dan pembebas umat manusia. Namakan dia Ahmad."

Semasa kelahiran Nabi Muhammad SAW, Aminah ketika itu ia seperti mendapat isyarat bahawa anaknya, Muhammad SAW akan mempunyai darjat yang lebih tinggi daripada Nabi Musa dan Nabi Isa. Keadaan ini diterangkan dalam kitab Taurat dan Injil bahawa akan datang seorang nabi pada akhir zaman dan ia memiliki kekuasaan yang lebih besar dan membawa ajaran yang telah disempurnakan.

5. Cahaya Terpancar

Semasa Baginda SAW dilahirkan, ibundanya Siti Aminah menyaksikan sendiri nur keluar dari tubuh badan baginda SAW. Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana Busrah di Syria. Ia dilihat seolah-olah seperti meluncurnya anak panah bagaikan pelangi sehingga dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat. Ada juga yang berpendapat bahawa cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia. Ini dapat dijelaskan oleh sumber-sumber Arab yang paling awal yang mengatakan bahawa suatu cahaya terpancar dari rahim Aminah apabila baginda dilahirkan.

6. Diselimuti Awan

Aminah sendiri melihat baginda SAW dalam keadaan berbaring dengan kedua tangannya dan mengangkat ke langit seperti seorang yang sedang berdoa. Kemudian ibundanya melihat awan turun menyelimuti dirinya sehingga beliau mendengar suatu seruan, "Pimpinlah dia mengelilingi bumi Timur dan Barat, supaya mereka tahu dan sedar bahawa dialah yang akan menghapuskan segala perkara syirik."

Selepas itu awan tersebut lenyap dari pandangan Aminah. Setengah riwayat menyatakan nabi dilahirkan dalam keadaan memandang ke arah langit dalam kemudian meletakkan tangannya ke tanah lalu bersujud ke arah kiblat sebagai tanda ketinggian martabatnya daripada semua makhluk.

7. Bersih Tanpa Darah

Semasa Aminah mengandungkan Rasulullah SAW, dia tidak pernah merasa sakit dan susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu hamil yang lain. Semasa lahir, baginda SAW tidak seperti anak-anak yang lain lahir, jika anak-anak lain akan dilahirkan, secara automatik ibunya akan merasa sakit dan keluar darah. Kelahiran Rasulullah SAW ini adalah elok dan bersih. Anak-anak lain apabila dilahirkan akan menangis, baginda SAW tidak menangis malahan tersenyum.

8. Telah Terputus

Aminah juga menyedari kelahiran bayinya tidak seperti anak-anak baru lahir yang lain. Dengan kehendak Allah SWT, Rasulullah SAW dilahirkan dalam keadaan sudah berkhitan (bersunat) dan tali pusatnya juga telah siap terputus.

9. Kehancuran Tentera Bergajah

Kedatangan tentera bergajah hendak menyerang kota Makkah yang disebut dalam al-Quran surah al-Fil. Ia diketuai oleh Abrahah dengan menunggang seekor gajah besar bernama Mahmudi. Apabila mereka hampir sampai ke tempat tersebut, maka gajah-gajah itu berhenti dan berundur dengan izin Allah SWT. Namun demikian, sekumpulan burung Ababil datang menyerang dan menghancurkan mereka sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran. Peristiwa ini amat menakjubkan dan diriwayatkan dalam kitab-kitab sejarah.

10. Musnahnya Berhala

Dikatakan juga pada malam kelahiran Rasulullah SAW, berhala-berhala yang terdapat disitu mengalami kerosakan dan kemusnahan. Menurut riwayat daripada Abdul Mutalib, "Ketika aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah berkata, "Telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan kepada Tuhan Yang Maha Esa."

11. Runtuhnya Istana Kisra

Di tempat yang lain pula satu gempa dan goncangan telah berlaku di mahligai Kisra dan menyebabkan mahligai tersebut retak seribu, manakala empat belas tiang serinya runtuh. Keadaan ini merupakan penyebab kemusnahan keegoan kekuasaan dan tanda-tanda kejatuhan serta runtuhnya kerajaan tersebut.

12. Terpadamnya Api Sembahan

Ketika peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, api sembahan di negara Parsi yang tidak pernah padam hampir selama seribu tahun telah terpadam dengan sendirinya. Api tersebut merupakan api sembahan orang-orang Majusi yang dianggap sebagai tuhan. Peristiwa itu amat mengejutkan orang Parsi.

13. Semua Gereja Sanrah Roboh

Pelbagai keajaiban di luar jangkaan telah berlaku pada hari kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, termasuk gereja-gereja batu di sekitar Wadi Sanrah roboh ranap setelah di landa gempa bumi.

14. Lenyapnya Tasik Sava

Dalam waktu yang sama, yakni pada malam kelahiran Nabi Muhammad SAW, Tasik Sava yang dianggap suci telah tenggelam ke dalam tanah ditelan bumi. Maka telah lenyap satu lagi pusat sembahan yang dibangga-banggakan.

15. Berakhirnya Pengetahuan Ghaib

Setelah Nabi Muhammad SAW dilahirkan, tembakan bintang menjadi kerap berlaku sebagai tanda bahawa pengetahuan syaitan dan jin mengenai perkara ghaib sudah pun berakhir.

16. Rahmat Seluruh Alam

Dalam riwayat yang sahih dan mahsyur, ketika baginda SAW diasuh oleh ibu susunya iaitu Halimatus Sa'diah, ladang-ladang Halimah kembali menghijau setelah mengalami kemarau. Begitu juga binatang ternakan seperti kambing mengeluarkan susu yang banyak. Selain itu, seekor lalat pun tidak pernah menghinggap di baju Baginda SAW, Halimah dan suaminya juga beberapa kali melihat tompokan awan kecil di atas kepala melindungi baginda SAW daripada panas matahari.

17. Malaikat Membela Dada

Ketika baginda SAW berusia empat tahun, sedang baginda SAW bermain-main dengan saudara susuannya, tiba-tiba datang malaikat Jibril dan Mikail. Lalu membelah dada baginda dan mengeluarkan segumpal darah dan mencuci gumpalan darah itu dengan salji. Ada juga yang meriwayatkan bahawa gumpalan darah itu dicuci didalam bejana emas dengan air zam-zam, lalu diletakkan semula di tempatnya.

Hal ini jelas diterangkan dalam surah Insyirah ayat 1 :

"Bukankah Kami telah melapangkan bagimu; dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk)?"(94:1)

Kesimpulan

Berdasarkan peristiwa tersebut jelaslah bahawa kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam mempunyai keistimewaan tersendiri. Ini kerana baginda SAW adalah 'Khatamun Nubuwah', penutup segala nabi. Di samping itu, bukti-bukti tersebut juga dijelaskan di dalam kitab terdahulu seperti kitab Zabur, Taurat dan Injil sebagai rasul yang terakhir.

Perkara-perkara luar biasa ini telah membuktikan  kepada kita betapa kemuliaan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di sisi Allah SWT, sekali gus sebagai bukti kerasulan baginda SAW. Maka baginda SAW adalah orang yang mulia sekali dan tidaklah boleh disamakan dengan mana-mana anak kecil dan manusia lain di dunia ini sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak yang hanya bertujuan memesongkan pemikiran umat dan menidakkan kerasulan baginda dan keistimewaan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Wallahu Alam bishowab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

No comments:

Post a Comment