Tahukah kita apakah itu hari Valentine? Siapakah gerangan St. Valentine ini? Dan bagaimanakah kisah sebenar disebalik Valentine? Di bawah ini ada 3 versi catatan yang selalu dikaitkan permulaannya sambutan Valentine's Day diraikan.
(Pendapat Pertama)
Ianya mengaitkan dengan pesta kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan sebagai "Lupercalia". Lupercalia merupakan upacara menyucikan diri yang berlangsung 13 February hingga 18 February. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata.
Pada hari ini, para pemuda Rom akan memilih nama-nama gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera dikertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun.
Pada 15 February, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang sembelihan tersebut pada ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu.
Setelah itu akan diadakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda Rom tadi dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada dilaluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan bahawa ia akan menambahkan kesuburan mereka.
(Pendapat Kedua)
Ia mengaitkan dengan kematian Paderi St. Valentine ketika pemerintahan Rom yang bernama Maharaja Claudius II. Terdapat dua versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini dan terdapat rekod-rekod lama yang mengesahkan kesahihan cerita ini.
-Versi Pertama-
Pada pemerintahan Maharaja Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa dewi amat memusuhi agama Kristian dan para mubaligh kristian telah dipenjarakan serta diseksa. St. Valentine sebagai seorang tegar yang menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut di Rom turut dipenjarakan oleh Maharaja Claudius II.
Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Namun, kegiatan ini telah dihidu oleh Claudius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 February.
Pengorbanan yang dilakukan oleh St. Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.
Dikatan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan "From Your Valentine" (Daripada Valentine Mu)
Maka orang-orang Kristian mengambil sempena tarikh 14 February itu untuk meraikan hari kekasih sayang demi memperingati hari kematian paderi St. Valentine.
-Versi Kedua-
Maharaja Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkhawin. Disebabkan itulah Maharaja Claudius II ini menghalang kepada pemuda-pemuda untuk berkhawin.
Namun demikian, St. Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Maharaja Claudius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 February 269 M.
Pendapat Ketiga
Ia dirayakan sempena kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. Tarikh 14 February 1492 merupakan tarikh kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol dan tarikh tersebut diraikan sebagai hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.
Inilah versi-versi cerita mengenai sejarah yang selalu disebut sebagai "Valentine's Day". Walaupun ceritanya tidaklah sebenar sejarah apa yang dibentangkan disini tetapi itulah hakikat gambaran mengenai peristiwa disebalik tarikh 14 February ini. Apa yang penulis ingin menyatakan adalah apakah hubungan Hari Kekasih ini terhadap agama Islam? Inilah sebenarnya kunci utama topik ini.
Berdasarkan kepada catatan sejarah tersebut, amat nyatalah, amat jelaslah dan amat terang lagi bersuluh bahawa Hari Valentine bukan dari ajaran Islam. Ia adalah 100% ajaran dan kepercayaan dalam agama Kristian yang tidak selayaknya, saya ulangi lagi, "tidak selayaknya", mana-mana orang yang mengaku dirinya Islam, beriman kepada Allah SWT, mengaku dirinya sebagai umat Muhammad untuk turut sama merayakan, menyambut atau apa saja bentuk amalan dan perlakuan yang berkaitan dengan Hari Valentine berserta dengan niat.
Mari kita perhatikan firman Allah Azza wa Jalla yang satu ini :
Maksudnya, "Katakanlah (wahai Muhammad) ; Hai orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagi aku agamaku." (Al-Kafirun: 1-6)
Daripada Abdullah bin Umar ra, Rasulullah SAW bersabda,
"Barangsiapa yang meniru menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan kaum tersebut" (HR Abu Daud, Ibnu Hibban dan lain-lain)
Sehubungan dengan itu, Mukazakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahawa amalan meraikan "Hari Valentine" adalah Haram kerana tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat.
Sesungguhnya meraikan hari tersebut dalam apa jua bentuk, atas apa sahaja alasan adalah perbuatan yang mungkar bid'ah kesesatan yang sangat dicela bahkan dikhuatiri boleh menjejaskan aqidah dan keimanan kita sebagai umat Islam, wal'iya zubillah min zalik.
Natijahnya amat mengerikan kerana Valentine's Day ini kebiasaannya disambut oleh pasangan kekasih yang belum bernikah sehingga amalan yang bermula dari kirim-mengirim ucapan, berparti-partian sehinggalah kepada perbuatan zina dan akhirnya membuahkan kebejatan moral dan kepincangan gejala sosial sehingga lahirlah anak-anak haram, anak gampang, anak luar nikah yang terbukti apabila Jabatan Pendaftaran Negara merekodkan sebanyak 257,411 pendaftaran anak tidak sah taraf dalam tempoh satu dasawarsa.
Justeru itu, setiap orang Islam terutamanya golongan remaja dan belia hendaklah meninggalkan budaya "Hari Kekasih" yang hanya bertujuan untuk merosakkan akhlak dan aqidah umat Islam. Kita sebagai satu ukhwah, satu ummah dibawah naungan payung Islam hendaklah selalu memberi peringatan, memberi nasihat dan apa jua yang positif bahawa Hari Valentine ini adalah bukan dari ajaran Islam dan ia adalah dari ajaran Kristian yang tidak wajar bagi umat Islam turut serta meraikannya.
Kita tidak perlukan seorang wali Kristian, kita tidak perlukan "St. Valentine" untuk kita memperingati tentang cinta dan kasih. Kita ada Nabi Muhammad SAW untuk diingati sirah perjalanan kehidupan baginda SAW. Kisah kasih dan cinta agungnya Khadijah kepada Rasulullah SAW yang membuahkan perjuangan Islam.
Kita ada kisah percintaan Adam dan Hawa manusia teragung disyurga, kita juga ada kisah cinta Ali dan Fatimah yang melahirkan Saidina Hussein yang mati syahid di Karlaba demi cinta kepada keadilan. Kita ada wali Rabiatul Adawiyah yang sanggup dijual beli sebagai abdi demi cintanya kepada Allah Ta'ala. Kita ada wali Ibrahim Adham yang sanggup meninggalkan takhta kerajaannya demi kasihnya kepada Allah Ta'ala, dan kita ada beratus-ribu para wali dan berpuluh para Anbiya yang wajib diketahui dan perlu diingati kisah perjalanan dan perjuangan mereka menuju kasih dan cinta Allah Azza wa Jalla.
No comments:
Post a Comment