Beliau ialah Abu Al-Walid Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Rusydi. Ibnu Rusydi dilahirkan di Cordoba di sebuah rumah yang dikenali dengan pusat perbincangan ilmu fekah dan sistem pemerintahan. Bapanya adalah merupakan seorang Kadi Diraja pada zaman beliau dan datuknya adalah merupakan salah seorang ahli ilmu dan ahli fekah dan beliau mempunyai beberapa buah penyelidikan di dalam bidang falsafah. Ibnu Rusydi telah mempelajari hampir keseluruhan ilmu-ilmu yang berkembang pada zaman beliau melalui guru-guru yang terkemuka pada masa tersebut sehingga beliau berjaya mendapat ijazah di dalam bidang fekah dan kedoktoran. Ibnu Rusydi terlalu meminati kesenian sastera dan syair Arab zaman jahiliah dan zaman Islam. Ibnu Rusydi sempat berjumpa dengan ulama-ulama terkemuka pada zaman beliau seperti Ibnu Tufail, Ibnu Bajah dan Abu Bakar Al-Arabi. Ibu Rusydi telah musafir ke Marrakesh di Morocco sebelum beliau menjangkau umur 30 tahun dan di sana beliau mendapat perhatian di kalangan para Khalifah dan pemimpin sehingga beliau boleh berada di samping mereka. Dengan demikian, beliau merupakan seorang yang sangat tawaduk, rendah diri, mempunyai pandangan yang baik, pintar dan mempunyai tahanan diri yang kuat sehingga beliau menjadi contoh kepada orang lain. Apabila kedudukan Ibnu Rusydi menjulang tinggi di pihak pemimpin kerajaan Muwahhidin, ramai yang iri hati terhadap beliau menyebabkan mereka menyebarkan fitnah terhadap beliau sehinggalah beliau terjerumus ke dalam ujian tersebut yang berterusan selama satu tahun kemudian ternyata Ibnu Rusydi tidak bersalah. Ibnu Rusydi tidak sempat hidup lama selepas beliau menghadapi ujian yang menimpa dirinya di mana setahun selepas peristiwa tersebut beliau meninggal dunia dan jenazah beliau di bawa ke Cordoba kemudian dikebumikan di perkuburan tempat datuk nenek beliau dikebumikan iaitu di perkuburan Ibnu Al-Abbas. Ibnu Rusydi meninggalkan beberapa buah kitab karangan beliau di dalam ilmu fekah, kedoktoran, falsafah, di dalam ilmu falak dan nahu.
Kitab karangan beliau yang sampai kepada kita menjangkau sekitar 87 buah kitab. Di antara karangan-karangannya yang terkemuka ialah:
* Tahafut At-Tahafut.
* Faslul Maqal Fi Ma Bainal Hikmah Wal Maqal.
* Bidayatul Mujtahid Wa Nihayul Muktasid.
* Syarah Jumhuriyyah Aflatun.
* Syarah Aara’ Al-Madinah Al-Fadhilah.
* Kitab Al-Manahij.
* Al-Kuliyyat Fi At-Tib.
No comments:
Post a Comment