"Ya Rasulullah, dari apakah Allah menciptakan bumi ini?"
Rasulullah menjawab, "Dari buih lautan."
Abdullah bin Salam berkata, "Benar, lalu dari apakah buih ini diciptakan?"
Rasulullah menjawab, "Dari gelombang"
Abdullah berkata, "Benar, lalu Allah ciptakan gelombang ini dari apa?"
Rasulullah menjawab, "Dari lautan"
"Dari apa pula Allah menciptakan lautan?" tanyanya lagi.
Rasulullah menjawab, "Dari keadaan kegelapan"
Abdullah berkata, "Benar, wahai Muhammad, lantas dengan apakah bumi itu dikukuhkan (dikuatkan)?"
Rasulullah menjawab, "Dengan gunung-ganang"
Penulis ringkaskan soal-jawab seperti dibawah ini.
"Dengan apakah gunung-ganang itu dikukuhkan?"
"Dengan gunung Qhaf"
"Dari apakah gunung Qhaf diciptakan?"
"Dari Zamrud hijau. Dan warna hijau langit pun daripadanya
"Benar, lalu berapakah ketinggiannya?"
"500 tahun perjalanan"
"Dan berapakah luasnya?" (Maksudnya tentang jarak antara perjalanan kiri dan kanannya (utara-selatan) dari titik tengah)
"2000 tahun perjalanan"
"Apakah yang ada disebalik gunung Qhaf itu?"
"Ada 70 bumi yang diperbuat daripada kasturi"
"Apa pula yang terdapat disebaliknya?"
"Ada 70 bumi yang diperbuat daripada kafur"
"Apa pula yang terdapat disebaliknya?"
"Ada 70 bumi yang diperbuat daripada Anbar"
"Apa pula yang terdapat disebaliknya?"
"Ada 70 bumi yang terbuat daripada emas"
"Apa pula yang terdapat disebaliknya?"
"Ada 70 bumi yang diperbuat daripada perak"
"Apa pula yang terdapat disebaliknya?"
"Ada 70 bumi yang diperbuat daripada besi"
"Dan apa pula yang terdapat disebaliknya ya Rasulullah?"
Maka Rasulullah pun menjawab, "Disebalik semua itu terdapat 70,000 alam para malaikat yang jumlahnya tiada seorang pun yang dapat mengetahui selain Allah. Dan para malaikat itu tidak tahu siapa itu Adam dan anak cucunya dan para malaikat itu tidak tahu juga siapa itu Iblis dan para pengikutnya. Mereka semua hanya tahu bertasbih 7 perkataan yakni,
"Dan sekarang ceritakan pula tentang siapa-siapa penghuni bumi tersebut"
Rasulullah berkata, Penghuni bumi ketujuh adalah para Malaikat. Penghuni bumi keenam adalah Iblis. Penghuni bumi kelima adalah Syaitan. Penghuni bumi keempat adalah Ular. Penghuni bumi ketiga adalah Kala Jengking. Penghuni bumi kedua adalah Jin. Dan penghuni pertama adalah Manusia."
Abdullah bin Salam berkata, Benar kata-katamu ya Rasulullah. Lalu ketujuh-tujuh bumi ini berdiri di atas apa?"
Rasulullah menjawab, "Di atas batu"
"Batu itu terletak dimana?"
"Di atas ikan Hut" (umpama ikan paus)
"Lalu ikan itu terletak dimana?"
"Di lautan yang dalamnya tujuh ribu perjalanan"
"Laut itu terletak di atas apa?"
"Di atas angin"
"Angin tersebut terletak dimana?"
"Di atas kegelapan"
"Kegelapan itu di atas apa?"
"Di atas neraka Jahim"
"Neraka itu terletak di atas pula ya Rasulullah?"
"Di atas tanah"
"Masih adakah apa-apa di bawah tanah tersebut?"
Akhirnya Rasulullah menjawab, "Petanyaan kamu kali ini sangat keliru, kerana tiada siapa yang tahu dibawah tanah tersebut melainkan Allah SWT"
(Di dalam hadis lain)
Rasulullah SAW bersabda :
"Sesungguhnya di balik gunung Qhaf terdapat sebidang tanah putih yang tiada tumbuhannya. Luas tanah itu seperti luas dunia tujuh kali, disitu penuh sesak dengan para malaikat. Andai kata sebuah jarum dijatuhkan dari atas nescaya terjatuh diatas salah satu dari mereka.
Tiap-tiap tangan mereka memegang bendera yang panjangnya empat puluh farsakh. Tiap bendera tulisannya.
“Laailaahaillallaah-Muhamammadur Rasulullah”.
Tiap-tiap malam Jumaat, mereka berkumpul dikeliling gunung itu untuk merendahkan diri kepada Allah dan memohon keselamatan buat umat Muhammad SAW. Jika fajar subuh sudah terbit, mereka berdo’a : "Ya Allah, ampunilah orang yang mandi hari Jumaat dan yang datang untuk menghadiri Jumaat. Mereka berdo’a dengan suara tangis dan keras.
Lalu Allah berfirman : "Hai Malaikatku! Apa yang kalian kehendaki?"
Mereka menjawab : "Kami berkehendak, Engkau mahu mengampuni dosa umat Muhammad SAW. Aku telah mengampuni mereka, jawab Allah SWT."
“Dan bersegeralah untuk mendapatkan ampunan dari Tuhanmu serta mendapatkan surga seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa” (Ali Imran: 133).
Seluas langit dan bumi memberikan maksud dua kali lipat. Langit berpasangan dengan bumi, matahari dengan bulan, siang dengan malam. “Maha Suci Allah yang telah menciptakan segala sesuatu berpasangan” (Yasin: 36).
Jika diperhatikan maksud berpasangan itu bagaimana, tentunya luas, panjang, lebar dan besarnya adalah sama.
Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah telah menciptakan tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi” (al-Thalaq: 12).
Allah berfirman: “Dan di bumi terdapat bahagian-bahagian yang mendampingi” (al-Ra’d: 4).
Berdasarkan ayat yang ini (mendampingi), penulis sudah pun bagi keterangan melalui hadis yang ditanyakan oleh Abdullah bin Salam kepada Rasulullah tentang 70 bumi kasturi, 70 bumi kafur, 70 bumi emas, 70 bumi perak dan 70 bumi besi.
Dalam masalah bumi ini, Sayyidina Ibnu Abbas RA mengatakan: “Bahwasanya tiap-tiap bumi, sebahagian daripadanya seperti bumi kita ini dan di dalamnya terdapat alam seperti alam kita”.
Nabi Muhammad bersabda: “Hai Aisyah! Di alam yang tidak nampak ini, terdapat hujan, mendung, matahari dan bulan. Tidak ada yang mengetahui kecuali kekasih Allah dan orang-orang yang baik."
Okay, sekarang ini mari sama-sama kita bincang daripada permulaan alam. Ingat ya kita 'bincang' dan berfikir secara terbuka. Buka minda seluas-luasnya. Okay cantik. Mari mulakan misi perbincangan kita.
Alam keseluruhannya dinamakan alam kejadian atau alam makhluk ataupun segala sesuatu yang Allah ciptakan daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah ke sebesar-besarnya. Makhluk kejadian Allah boleh dibahagikan kepada tiga peringkat alam.
1: Alam Syahadah
2: Alam Misal
3: Alam Arwah.
Alam Syahadah adalah benda dalam erti kata yang luas. Jangan menyangka sesuatu yang jauh dan tidak dapat dipandang dengan mata kasar itu sebagai bukan benda. Jika bintang merupakan benda yang paling jauh kelihatan pada pandangan kita, yang lebih jauh daripada bintang dan tidak dapat dipandang juga termasuk dalam kumpulan kebendaan. Kebendaaan yang dimaksudkan disini adalah jisim. Maka jisim ini boleh dibahagikan kepada tiga kategori:
1: Jisim yang boleh dilihat dan dipegang.
2: Jisim tipis yang ditembusi pandangan.
3: Jisim halus yang ghaib.
Ketiga-tiga jenis jisim tersebut boleh didapati di dalam Alam Syahadah. Alam Syahadah pula boleh dibahagikan kepada empat peringkat alam.
1: Alam Langit Dunia
2: Alam Bumi
3: Alam Langit-langit
4: Alam al-Kursiyy Yang Agung.
ALAM LANGIT DUNIA
Kita mulakan perbincangan kita dengan Alam Langit Dunia. Satu bahagian kecil daripada alam ini ialah planet bumi di mana yang tinggal di atasnya adalah makhluk yang berbangsa manusia. Planet bumi bersama-sama bulan dan planet-planet yang lain berada di dalam satu tingkatan alam yang dinamakan Sistem Matahari.
Pada mulanya ahli astronomi menyangkakan matahari adalah pusat kepada seluruh alam. Namun penemuan kemudiannya menunjukkan bahawa matahari hanyalah sebiji bintang di antara jutaan bintang-bintang.
Apabila ilmu astronomi semakin maju, maka manusia menemukan maklumat bahawa kumpulan bintang-bintang yang sangat banyak membentuk satu galaxy.
Ahli astronomi membuat anggaran terdapat kira-kira satu ratus ribu juta bintang dalam galaxy yang ada planet bumi. Bintang-bintang berpusing mengelilingi satu pusat yang dipanggil Pusat Sistem Galaxy. Ahli astronomi membuat kiraan dan mendapati matahari kita mengambil masa 225 juta tahun untuk mengelilingi Pusat Sistem Galaxy (Bima Sakti) satu pusingan.
Di samping galaxy yang terkandung planet bumi terdapat pula galaxy-galaxy lain. Bintang-bintang bagi setiap galaxy mengelilingi Pusat Sistem Galaxy masing-masing. Pusat Sistem Galaxy juga boleh disebut dengan nama "Bima Sakti". Ada ahli astronomi membuat kiraan dan menganggarkan terdapat kira-kira 10 ribu juta galaxy semuanya.
Ukuran di antara bintang-bintang dan galaxy-galaxy tidak lagi diukur dengan kiraan batu atau kilometer, tetapi digunakan sukatan tahun cahaya. Cahaya bergerak selaju 186,000 batu satu saat. Hasil kiraan ahli astronomi mendapati jarak matahari kita dengan bintang yang paling hampir ialah ____ tahun cahaya. (Penulis kosongkan kerana masih lagi mencari jawapan)
Setiap galaxy bergerak dengan kelajuan yang berbeza. Galaxy yang dekat dengan kita lambat pergerakannya sementara yang lebih jauh lebih pantas pergerakannya. Pada jarak tertentu galaxy tidak kelihatan lagi kerana ia sudah lebih laju daripada cahaya lalu membawa cahayanya bersama-sama dan tidak mungkin lagi cahaya tersebut sampai ke bumi.
Hasil kiraan ahli astronomi mendapati jarak di mana galaxy membawa cahaya bersama-samanya ialah tidak kurang daripada 13 ribu juta tahun cahaya. Inilah perbatasan ahli astronomi yang dapat dicapai melalui bantuan teleskop yang paling canggih. Kesemua galaxy tersebut berada di dalam satu alam yang bulat dan mengembang seumpama belon yang ditiupkan angin ke dalamnya.
Hasil penemuan melalui teleskop melahirkan teori-teori untuk menceritakan keadaan galaxy-galaxy selepas batas teleskop. Timbullah istilah Group, Metagalaxy, Teragalaxy dan sebagainya, sehingga sampai kepada yang tanpa batas (infinity).
Teori-teori tersebut adalah bersifat kemungkinan dan agak-agak sahaja. Walaupun bersifat kemungkinan dan agak-agak tetapi apabila disandarkan kepada sains dan teknologi manusia umum dapat menerimanya sebagai kebenaran. Malangnya teori yang dibuat oleh ahli agama berdasarkan kitab ilmu alam yang paling jitu yang ‘ditulis’ sendiri oleh Pencipta alam, tidak dapat diterima umum kerana tidak saintifik. Sains siapakah yang lebih hebat di antara sains yang menghidupkan orang ‘mati’ dengan memasukkan darah dan memindahkan organ dengan sains yang membangkitkan orang yang di dalam kubur hanya dengan berkata, :”Bangunlah kamu dengan izin Allah”. Sesungguhnya sains “Dengan izin Allah” tidak dapat dicabar dan tidak mungkin dicabar oleh sains manusia buat selama-lamanya.
Oleh itu apabila sains manusia mengaku kalah berpindahlah kepada sains “dengan izin Allah”. Pasti keterangan yang lebih lanjut dan jelas dapat diperolehi. Ahli agama yang mendapat sains “Dengan izin Allah” dinamakan ahli al-hak, maksudnya pakar yang sebenarnya. Ada juga kalangan masyarakat menamakan mereka sebagai manusia kebenaran atau orang kebenaran. Malangnya pula manusia kebenaran ini dianggap sebagai orang yang ‘betul bendul’. Tertutuplah rahsianya sebagai ahli sains yang hakiki dan tidak adalah orang yang bertanyakan perkara sains kepadanya.
Penghulu kepada sekalian ahli al-hak adalah Nabi Muhamamd SAW kerana baginda telah menjelajah ke seluruh alam maya sehingga ke puncak yang paling tinggi, yang tidak ada lagi alam kejadian selepas itu. Baginda SAW menceritakan apa yang baginda saksikan. Cerita yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW inilah menjadi pedoman bagi ahli al-hak yang lain untuk mencungkil rahsia alam maya, seterusnya membina teori alam maya berdasarkan keterangan Rasulullah SAW dan penyaksian mereka sendiri.
Bertaburanlah maklumat tentang alam maya yang telah dikeluarkan oleh manusia-manusia kebenaran yang tidak pernah mempelajari sains dan tidak tahu istilah-istilah sains. Mereka menggunakan istilah mereka sendiri. Timbullah teori bumi berada di atas tanduk lembu. Lembu pula berada di atas belakang ikan nun. Lembu memakan rumput yang tumbuh di atas belakang ikan. Apabila lembu bergerak berlakulah kegoncangan di atas bumi. Mendengar teori yang demikian orang terus menutup telinga, tidak masuk akal, Israiliyat dan karut.
Kita kembali kepada Alam Langit Dunia. Kita mulakan dari satu planet yang bernama bumi di mana kita tinggal di atasnya. Planet yang kita tinggal ini dinamakan bumi kerana kita mendiaminya. Jika kita mendiami bulan maka bulanlah bumi kita. Jika kita mendiami matahari maka mataharilah bumi kita. Jadi, maksud bumi adalah relatif. Yang menjadi identiti bumi ialah ia berada di dalam satu kerangka. Bagi planet bumi kita banjaran gunung-gunung menjadi kerangka. Jika gunung di atas bulan maka menjadi kerangka bulan.
Seluruh alam di dalam Langit Dunia ini dinamakan Alam al-Mulk. Jika istilah Alam al-Mulk dirasakan tidak sesuai maka boleh juga digunakan istilah Universe. Begitulah keadaan Universe yang digambarkan oleh ahli al-hak berdasarkan penyaksian mata hati mereka.
ALAM BUMI
Langit Dunia, iaitu langit pertama merupakan permulaan Alam Malakut Bawah yang dinamakan juga Alam Barzakh, tempat roh yang meninggalkan jasad berhenti sementara disitu untuk menunggu tiupan sangkakala malaikat Israfil. Langit Dunia dengan segala isinya menjadi satu alam kecil terapung di dalam ruang angkasa alam Langit Kedua. Begitulah keadaannya sehinggalah sampai ke alam Langit Ketujuh.
Selepas Langit Ketujuh terdapat satu tingkat Alam Ghaib, bukan lagi Alam Syahadah. Alam Ghaib ini terdiri daripada benda juga cuma ia ghaib daripada pancaindera. Bahagian pertama daripada Alam Ghaib ini dinamakan Sidratul Muntaha. Sidrat bermakna pokok bidara dan muntaha bermakna yang penghabisan. Sidratul Muntaha bermakna pokok bidara yang penghabisan.
Ia merupakan satu tingkat alam yang menjadi perbatasan, tempat berhenti perjalanan dan ilmu makhluk yang dari alam atas dengan alam bawah. Apa sahaja yang datang dari bawah terhenti di Sidratul Muntaha dan apa sahaja yang turun dari atas juga terhenti di Sidratul Muntaha. Hanya dengan mendapat keizinan dari Allah sajalah dapat menyeberangi perbatasan ini.
Peristiwa mikraj menceritakan, “Kemudian baginda SAW sampai ke langit ke tujuh…tiba-tiba didapatinya Nabi Ibrahim AS…Kemudian aku (Nabi Muhamamd SAW diangkat ke Sidratul Muntaha. Tiba-tiba kelihatan buahnya seperti tempayan dan daunnya seperti telinga gajah”.
Pada bahagian tengah Sidratul Muntaha terdapatlah Baitul Makmur yang menjadi pusat pentadbiran alam bawah. Di bahagian atas Sidratul Muntaha terdapat satu lagi bahagian Alam Ghaib yang dinamakan al-Kursiyy berbentuk empat persegi. Seluruh alam maya yang penulis 'bincangkan' sampai ke alam ini sebenarnya berada di dalam ruang alam al-Kursiyy yang ghaib ini.
Dari Abdullah ibn Mas'ud, dia berkata, "Jarak di antara langit yang paling tinggi (langit ketujuh) dengan al-Kursiyy adalah seperti 500 tahun perjalanan. Dan jarak diantara Al-Kursiyy dengan air juga demikian (500 tahun perjalanan). Arasy ar-Rahman di atas air..."
Al-Kursiyy pula menjadi alam yang kecil di dalam ruang alam Arasy ar-Rahman, yang masih lagi di dalam peringkat Alam Ghaib. Di bawah daripada Arasy ar-Rahman terdapat satu kumpulan syurga tujuh tingkat: Darul Jalal, Darussalam, Jannatul Ma’wa, Jannatul Khuldi, Jannatul Na’im, Jannatul Firdaus dan Jannatul ‘Adn.
Di dalam syurga, terdapat taman-taman dan kebun-kebun hijau yang sangat luas, lebarnya 7 petala langit dan 7 petala bumi, mengalir di bawahnya sungai susu, susu madu, sungai arak dan sungai kawthar yang sangat lazat bagi yang membersihkan diri dan berzakat. Tanahnya putih seperti tepung dan harum semerbak seperti wangian.
Dua pemimpin dewasa dalam syurga ialah Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab. Dua orang pemimpin pemuda ialah Sayyidina Hassan dan Sayyidina Hussein. Pemimpin wanita syurga ialah Khadijah binti Khuwaylid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran dan Asiyah binti Muzahim, isteri firaun.
Syurga mempunyai lapan pintu, antaranya ialah Rayyan. Lebar pintu seumpama perjalanan tiga hari dengan menunggang kuda yang pantas. Mempunyai 100 tingkat. Jarak antara setiap dua tingkat seumpama antara langit dan bumi. Part syurga ini penulis tak masukkan tentang bidadari. Penulis hanya masukkan isi-isi penting je. Okay sambung.
Jannatul Firdaus ialah syurga tertinggi. Penghuni didalamnya adalah para anbiya, para aulia, para orang-orang solehin yang mulia dan sesiapa saja yang Allah SWT kehendaki, maka dia juga tergiolong didalam syurga Firdaus ini. Darinya terpancar sungai-sungai syurga dan di atasnya adalah Arasy ar-Rahman.
Di kanan Arasy ar-Rahman terdapat pula sempadan yang memisahkan alam yang di atasnya dengan alam yang di bawahnya, dinamakan Sidratul Muntaha kedua. Arasy ar-Rahman dan Sidratul Muntaha kedua berada di dalam ruang angkasa bulatan Alam Syahadah semula yang dinamakan al-Mastawa. Al-Mastawa bukan lagi Alam Ghaib tetapi alam nyata. Pada keliling permukaan al-Mastawa terdapat Lauh Mahfuz yang padanya al-Qalam menulis perintah Allah.
Al-Mastawa dengan segala isi kandungannya berada dalam satu bulatan alam yang juga Alam Syahadah, yang dinamakan Bumi Rendah atau Bumi Pertama. Alam Bumi Pertama ini dikelilingi oleh tiga lapisan alam. Lapisan pertama dinamakan Alam Laut. Lapisan Kedua dinamakan Alam Angin. Lapisan ketiga dinamakan Alam Kegelapan. Semuanya berada di dalam ruang angkasa Bumi Kedua. Bumi Kedua berada di dalam ruang angkasa Bumi Ketiga dan begitulah seterusnya hingga ke Bumi Ketujuh.
Jika para pembaca tidak faham akan part yang ini, insha Allah penulis boleh terangkan lebih lanjut lagi. Sebelum itu, kita 'throwback' mengenai hadis Rasulullah. Baca dengan teliti kerana di dalam hadis ini ada 'kata kunci' untuk tiga lapisan alam tersebut yakni Alam Laut, Alam Angin dan Alam Kegelapan. Perhatikan hadis di bawah ini.
"Dan sekarang ceritakan pula tentang siapa-siapa penghuni bumi tersebut"
Rasulullah berkata, Penghuni bumi ketujuh adalah para Malaikat. Penghuni bumi keenam adalah Iblis. Penghuni bumi kelima adalah Syaitan. Penghuni bumi keempat adalah Ular. Penghuni bumi ketiga adalah Kala Jengking. Penghuni bumi kedua adalah Jin. Dan penghuni pertama adalah Manusia."
Abdullah bin Salam berkata, Benar kata-katamu ya Rasulullah. Lalu ketujuh-tujuh bumi ini berdiri di atas apa?"
Rasulullah menjawab, "Di atas batu"
"Batu itu terletak dimana?"
"Di atas ikan Hut" (umpama ikan paus)
"Lalu ikan itu terletak dimana?"
"Di lautan yang dalamnya tujuh ribu perjalanan"
"Laut itu terletak di atas apa?"
"Di atas angin"
"Angin tersebut terletak dimana?"
"Di atas kegelapan"
"Kegelapan itu di atas apa?"
"Di atas neraka Jahim"
"Neraka itu terletak di atas pula ya Rasulullah?"
"Di atas tanah"
Jika para pembaca sudah dapat kata kuncinya, mari kita sambung balik 'perbincangan' kita ini.
Semua peringkat alam sehingga alam Bumi Ketujuh berada di dalam ruang angkasa bulatan alam yang dinamakan Alam Gunung Kemurkaan. Alam Gunung Kemurkaan berada di dalam bulatan alam yang dinamakan Alam Lautan Kegelapan. Di dalam Alam Lautan Kegelapan di bawah Alam Gunung Kemurkaan terdapat an-Nar atau disebut Neraka. Ada tujuh tingkat neraka: Jahannam, Sa’ir, Luzi, Huthamah, Jahim, Saqar dan Hawiyah.
Alam Lautan Kegelapan dikelilingi oleh lapisan alam yang dinamakan Alam Kegelapan. Di dalamnya terdapat Sijjin, penjara tempat disimpan roh-roh dan catatan amalan orang-orang kafir. Mengelilingi Alam Kegelapan ialah Alam Gunung Pendakian. Alam Gunung Pendakian dengan segala isinya berada di dalam kerangka yang dinamakan juga Gunung Qhaf. Semua peringkat alam yang diperkatakan hingga kini termasuklah Gunung Qhaf terakhir ini diistilahkan sebagai Alam Bumi. Ia masih di dalam peringkat Alam Malakut Bawah atau Alam Barzakh.
ALAM LANGIT-LANGIT
Alam Bumi bergerak pada satu lakaran mengelilingi satu pusat yang dinamakan Kalbu Langit-langit. Selepas lakaran pusingan Alam Bumi ada pula tujuh lakaran lain, menjadikan lapan lakaran semuanya. Pada lakaran pertama hanya Alam Bumi berpusing mengelilingi Kalbu Langit-langit. Pada lakaran kedua terdapat 70,000 bulatan alam-alam mengelilingi Kalbu Langit-langit. Begitu juga pada lakaran ketiga sehingga lakaran ke lapan. Bulatan alam pada tujuh lakaran selepas lakaran Alam Bumi tersebut dinamakan Alam Langit-langit tujuh lapis. Alam Langit-langit ini sangat indah dan menjadi syurga Barzakh yang sekarang didiami oleh para malaikat. Ini adalah kumpulan syurga yang kedua, jua mempunyai tujuh tingkat dan memakai nama yang sama seperti syurga kumpulan pertama.
Selepas lakaran pusingan Alam Langit-langit ada satu lagi lakaran yang ke sembilan. Pada lakaran yang ke sembilan ini terdapat dua belas buah bulatan alam yang juga mengelilingi Kalbu Langit-langit. Alam yang dua belas ini dinamakan Buruj Alam Atas. Dan diberi nama mengikut lambang malaikat yang memerintah pada setiap alam tersebut: biri-biri, lembu, kembar dua, ketam, singa, gadis, neraka, busur panah, kambing, timba dan ikan. Begitulah nama 12 Buruj Alam Atas.
Sebenarnya terdapat juga Buruj Alam Bawah, iaitu bintang-bintang tertentu dalam Langit Dunia yang menjadi tempat pengawalan malaikat, menjaga supaya tidak ada syaitan yang dapat naik ke atas untuk mencuri maklumat dari alam atas. Mana-mana syaitan cuba menceroboh akan dipanah dengan panahan api. Buruj Alam Atas pula bukanlah bintang tetapi adalah 12 buah alam yang sangat luas.
Planet bumi tempat kita tinggal ini apabila ia berpusing satu pusingan pada paksinya terjadilah satu hari. Apabila ia berpusing satu pusingan mengelilingi matahari terjadilah satu tahun matahari. Alam Bumi yang besar di dalam Alam Barzakh itu apabila berpusing satu pusingan di atas paksinya satu hari Alam Bumi yang dinamakan sebagai Hari Allah, bersamaan dengan satu ribu tahun matahari. Perhatikan firman Allah SWT ini.
“Dan satu hari di sisi Tuhan kamu adalah seribu tahun mengikut hitungan kamu”. (Surah al-Hajj, ayat 47).
Ukuran kelajuan pada peringkat ini bukan lagi kelajuan cahaya tetapi kelajuan malaikat, nur yang jauh lebih seni daripada sebarang cahaya yang diketahui. Perhatikan juga ayat dibawah ini.
”Malaikat dan roh naik kepada-Nya pada satu hari yang kadar ukurannya lima puluh ribu tahun”. (Surah al-Ma’arij, ayat 4).
Satu hari perjalanan malaikat bersamaan lima puluh ribu tahun matahari. Kalbu Langit-langit memancarkan nur keseluruh alam-alam di sekelilingnya. Nur yang dipancarkan itu adalah ilmu Allah. Malaikat katibun menerima pancaran tersebut dan menulisnya di Lauh Mahfuz dalam Alam Bumi.
AL-KURSI YANG AGUNG
Semua alam-alam yang penulis katakan sehingga ini ia berada di dalam ruang angkasa al-Kursiyy al-A’dzam (al-Kursiyy Yang Agung), yang menjadi batas terakhir Alam Syahadah. Alam selepas al-Kursiyy Yang Agung ini adalah Alam Ghaib yang dinamakan Alam Misal.
ALAM MISAL
Alam Syahadah yang berbataskan al-Kursiyy Yang Agung dengan segala isinya berada di dalam ruang angkasa Alam Ghaib yang dinamakan al-Arasy al-Majid (al-Arasy Yang Megah), yang sudah termasuk dalam peringkat Alam Misal. Rasulullah SAW memberi gambaran tentang keluasan al-Arasy al-Majid, “Hai Abu Zar. Langit yang tujuh dan bumi yang tujuh di sisi al-Kursiyy hanya seumpama sebentuk cincin di atas padang pasir luas, dan al-Kursiyy di sisi al-Arasy hanya seumpama sebentuk cincin di atas padang pasir yang luas pula. Lebihnya al-Arasy daripada al-Kursiyy seperti lebihnya padang pasir yang luas daripada sebentuk cincin tersebut”.
Di bawah al-Arasy al-Majid terdapat pula sempadan yang memisahkan makhluk alam bawah daripada makhluk alam atas. Sempadan ini dinamakan Sidratul Muntaha ketiga. Al-Arasy al-Majid mempunyai 18,000 tiang. Di sisi tiap-tiap tiang terdapat gugusan alam-alam yang merupakan syurga kumpulan ketiga. Syurga kumpulan ini dinamakan Jannatul Firdaus Atas. Ia merupakan salah satu syurga yang tidak binasa apabila berlaku kiamat. Syurga Jannatul Firdaus Atas menjadi sempadan terakhir Alam Barzakh atau Alam Malakut Bawah. Al-Arasy al-Majid yang di dalamnya terkandung Alam Barzakh, sudah termasuk di dalam peringkat Alam Malakut Atas.
Al-Arasy al-Majid mengelilingi satu pusat, pada satu lakaran. Pusat yang dikelilingi oleh al-Arasy al-Majid ini dinamakan Kalbu Alam. Lakaran pusingan al-Arasy al-Majid merupakan salah satu daripada seribu lakaran. Pada setiap lakaran itu terdapat satu buah alam yang besarnya lebih kurang sebesar al-Arasy al-Majid. Jadi, terdapat seribu alam-alam mengelilingi Kalbu Alam. Alam-alam tersebut dinamakan alam Arasy-arasy. Kalbu Alam menjadi pusat dan menguasai Arasy-arasy tersebut.
Al-Arasy al-Majid sama dengan Arasy-arasy yang lain terletak di dalam ruang angkasa alam yang dinamakan Alam Hijab. Alam Hijab yang mengandungi Arasy-arasy ini berada di dalam peringkat Alam Hijab yang lain pula, berlapis-lapis sehingga 70,000 lapis bagi satu peringkat Alam Hijab yang dinamakan Hijab Nur Putih. Kemudian ia diikuti oleh peringkat Alam Hijab yang lain, hinggalah kepada beberapa peringkat. Setiap peringkat mengandungi 70,000 lapisan Hijab. Peringkat terakhir dinamakan Hijab Ketunggalan, yang juga terdiri daripada 70,000 lapisan. Peringkat Hijab Ketunggalan berakhir dengan lapisan Hijab yang dinamakan Hijab Hamparan Emas.
Alam-alam bermula daripada al-Arasy al-Majid hingga ke lapisan Hijab Hamparan Emas merupakan syurga yang dinamakan Iliyyun. Ia juga terdiri daripada tujuh tingkat seperti syurga-syurga yang lain. Di Iliyyun inilah disimpan catatan amalan orang-orang yang beriman yang baik-baik.
Di atas permukaan Hijab Hamparan Emas terdapat umbi bagi Sidratul Muntaha ke empat. Seluruh alam yang dinyatakan sehingga ini berada di dalam ruang alam yang dinamakan al-Arasy al-Karim (al-Arasy yang mulia). Ia menjadi batasan terakhir Alam Misal.
Manusia yang berada dalam Alam Syahadah di planet bumi, lebih-lebih lagi yang terkongkong dengan alam jasad, hanya memandang kepada yang zahir atau nyata sahaja. Akal fikirannya sukar menggambarkan betapa seninya jisim pada Alam Misal.
Tetapi bagi seorang insan yang tinggi makamnya di sisi Allah dapat masuk ke dalam Alam Misal dan melihat keadaan di dalam alam tersebut, dan mendapati Alam Misal adalah satu alam yang boleh disaksikan dan dirasa, seperti Alam Syahadah juga. Apa yang ghaib itu apabila dibukakan ia menjadi nyata dan boleh berinteraksi dengannya. Jika ada kerusi di dalam alam ghaib itu maka kerusi tersebut boleh diduduki. Jika ada buah-buahan di sana maka buah-buahan tersebut boleh dimakan. Begitu juga air yang ada di sana maka air tersebut juga boleh di minum.
Jisim tipis dalam Alam Misal dipanggil an-Nur. Jisim bersifat nur adalah jisim yang sangat murni. Ia juga merupakan benda-benda seperti benda-benda yang ada dalam Alam Syahadah. Ada yang bercahaya menyilaukan pandangan, ada yang cair seperti air dan ada yang padat seperti tanah dan logam. Tetapi ia lebih murni, lebih indah dan lebih ajaib daripada apa yang ada dalam Alam Syahadah.
ALAM ARWAH
Peringkat terakhir Alam Misal ialah al-Arasy al-Karim, selepasnya bermula pula Alam Arwah (Alam Roh). Pada Alam Arwah terdapat juga alam-alam Hijab. Seluruh al-Arasy al-Karim bersama-sama segala isi kandungannya berada di dalam bulatan sejenis Alam Hijab yang lebih ghaib dan lebih seni. Ada beberapa peringkat Alam Hijab dalam Alam Arwah. Setiap peringkat ada 7,000 lapis Hijab. Lapisan pertama daripada Alam Hijab itu dinamakan Hijab Permata.
Hadis mengenai mikraj menceritakan, “Hingga aku sampai pada Hamparan Emas. Kemudian aku maju lagi bersama malaikat wakil Hijab Hamparan Emas terus ke Hijab Permata, lalu mengetuk-ngetuknya. Berkata malaikat di belakang Hijab, ‘Siapa ini?’ Ia menjawab, ‘Tuan punya Hijab Hamparan Emas dan ini Muhammad Rasul Rabbil ‘Izzati’. Berkata malaikat itu, ‘Allahu Akbar!’ Ia pun menghulurkan tangannya dari bawah Hijab dan meletakkan daku di hadapannya. Begitulah keadaannya dari satu Hijab kepada Hijab yang lain hingga aku melampaui 70,000 Hijab, tebal tiap-tiap Hijab 500 tahun”.
“Maka meluncurlah bersamaku malaikat itu lebih cepat dari sekelip mata hingga sampai ke Hijab Permata. Ia mengetuk pintu Hijab. Berkata malaikat dari sebalik Hijab, ‘Siapa ini?’ Ia berkata, ‘Saya tuan punya Hamparan Emas. Ini Muhamamd Rasul al-‘Arabbi bersamaku.’ Berkata malaikat itu, ‘Allahu Akbar!’ Lalu ia mengeluarkan tangannya dari bawah Hijab hingga dia meletakkan daku dihadapannya. Begitulah keadaannya dari satu Hijab kepada Hijab yang lain. Tiap-tiap satu Hijab perjalanannya lima ratus tahun dan di antara satu Hijab dengan Hijab yang lain lima ratus tahun”.
Semua lapisan Alam Hijab bermula selepas al-Arasy al-Karim merupakan syurga-syurga yang dipanggil secara tunggal dengan nama Darul Khulud, negeri yang abadi. Ia juga mengandungi tujuh tingkat dengan tujuh nama seperti syurga-syurga yang lain. Selain Jannatul Firdaus, Jannatul ‘Adn juga merupakan syurga yang paling tinggi, paling besar dan paling indah. Di dalamnya ada Syajaratul Thubi, pokok thubi, yang terdapat padanya satu syurga yang menjadi induk bagi semua syurga, dinamakan Darul Qarar, negeri ketetapan. Di atas Jannatul ‘And adalah al-Arasy al-‘Adzim, arasy yang besar.
Ia dinamakan juga al-Arasy al-Muhith, arasy yang meliputi, maksudnya meliputi seluruh alam makhluk. Al-Arasy al-‘Adzim merupakan bulatan terakhir atau kerangka yang paling luar bagi seluruh alam kejadian, alam makhluk atau apa sahaja yang Allah ciptakan. Al-Arasy al-‘Adzim mengandungi 70 juta lapisan kulit-kulit yang di antara satu kulit dengan kulit yang lain terdapat ruang angkasa. Al-Arasy al-‘Adzim dijadikan daripada nur, jisim yang bersifat nurani, lagi seni dan tinggi.
Hadis menceritakan tentang nuur al-Arasy al-’Adzim, “Diliputi pada tiap-tiap hari oleh seribu warna dari nur”.
“(Diliputi) 70,000 warna dari nuur, tiada dapat dipandang kepadanya oleh seorang pun dari makhluk”.
“Nur al-Arasy al-‘Adzim kalau dizahirkan kepada penduduk dunia ini dan (dalam keadaan) ia telah merendahkan diri (kepada Allah) nescaya lemah cahaya matahari bersamanya sebagaimana lemah cahaya pelita bersamanya (cahaya matahari) dan lebih kurang lagi”.
Meskipun nur al-Arasy al-‘Adzim itu sangat kuat namun, orang yang mencapai makam yang tinggi pada sisi Allah dapat mendekatinya tanpa terjadi apa-apa dan mendapatinya suatu jisim alam yang sangat indah, tiada bandingannya.
Di bawah al-Arasy al-‘Adzim ada pula Lauh Mahfuz yang kedua. Catatan yang tertulis di sini diambil oleh malaikat dan diturunkan kepada Kalbu Alam yang kemudian memancarkannya kepada Alam-alam Arasy, termasuklah al-Arasy al-Majid. Dari al-Arasy al-Majid ia diturunkan pula kepada Kalbu Langit-langit yang kemudiannya dipancarkan kepada Alam Langit-langit termasuklah Alam bumi di dalam Alam Barzakh.
Begitulah salah satu cara perintah Tuhan turun seperingkat demi peringkat hingga sampai kepada masing-masing yang telah ditentukan. Di bahagian atas al-Arasy al-‘Adzim yang paling luar dan paling tinggi terdapat satu alam yang besar dan indah dinamakan Qubbah. Ia merupakan tempat yang paling tinggi dalam seluruh alam makhluk. Qubbah ini merupakan syurga yang lebih indah daripada syurga-syurga yang lain. Ia juga terdiri daripada tujuh peringkat syurga seperti syurga-syurga yang lain.
Di dalam alam Qubbah yang besar ini, pada bahagian yang paling atas, terdapat satu Qubbah yang lebih kecil yang terdiri dari Permata Putih, berupa seperti sebuah mahligai yang besar terapung di ruang angkasa Qubbah besar. Qubbah Permata Putih inilah merupakan tempat terakhir perjalanan mikraj Rasulullah SAW.
Qubbah besar menjadi pusat pentadbiran alam di bawahnya sebagaimana Baitul Makmur menjadi pusat pentadbiran alam yang lebih bawah. Qubbah yang kecil pula menjadi inti atau istana bagi Qubbah besar.
Apabila dilihat kepada keseluruhan alam makhluk maka bahagian yang ada Qubbah itu diisyaratkan sebagai bahagian atas. Jika dibandingkan dengan sebiji buah maka Qubbah itu adalah umpama tampuk yang menentukannya sebagai bahagian atas dan lawannya sebagai bahagian bawah. Walaupun sukar untuk digambarkan, tetapi itulah hakikatnya.
Hingga kepada al-Arasy al-‘Adzim yang terdiri daripada 70 juta lapisan dengan Qubbah di bahagian atasnya, maka tamatlah perbicaraan mengenai Alam Malakut Atas dan berakhir juga ilmu manusia tentang alam. Al-Arasy al-‘Adzim itulah kerangka alam. Ia adalah sebesar-besar makhluk. Seluruh alam atau kejadian yang Allah jadikan berada di dalamnya. Sekaliannya dinamakan Alam sahaja, atau dinamakan juga Alam Kejadian atau Alam Makhluk atau A’yan Luar atau al-Mumkinat. Semuanya menggambarkan apa yang termasuk di dalam kalimah “KUN” (maka jadilah ia).
Jisim dalam Alam Arwah bersifat latif atau halus atau murni atau terlebih ghaib. Insan yang tinggi makamnya pada sisi Allah memasuki alam yang terlebih ghaib ini dan mendapati alam ini sama seperti Alam Syahadah juga, berjisim dan berbentuk benda dalam pelbagai keadaan yang boleh disaksikan dan dirasa. Jadi, seluruh alam, iaitu Alam Syahadah, Alam Misal dan Alam Arwah merupakan alam benda yang jika diizinkan boleh disaksikan sama ada dengan pancaindera ataupun dengan hati.
Hati insan bersifat nurani, sama seperti sifat Alam Malakut. Kekuatan pancaran nurnya boleh menembusi tujuh petala langit dan tujuh petala bumi untuk menyaksikan dan memperolehi makrifat tentang Alam Makhluk atau Alam Kejadian.
“Orang yang dilapangkan dadanya oleh Allah untuk menerima Islam lalu ia beroleh nur dari Tuhannya”. (Surah az-Zumar, ayat 22).
“Allah jualah nur bagi semua langit dan bumi”. (Surah an-Nuur, ayat 35).
“Perumpamaan nur-Nya seperti sebuah lubang di dinding di dalamnya mengandungi pelita. Pelita itu berada di dalam kaca. Kaca itu bagaikan bintang berkilau-kilauan. Dinyalakan dari pohon kayu yang berkat iaitu minyak zaitun yang bukan dari timur dan bukan dari barat. Hampir minyaknya mengeluarkan cahaya dengan sendirinya biarpun tidak disentuh api”. (Surah an-Nuur, ayat 35).
“Nur di atas nur”. (Surah an-Nuur, ayat 35).
“Dipimpin Allah kepada nur-Nya bagi siapa yang dikehendaki-Nya”. (Surah an-Nuur, ayat 35).
PENUTUP
Persoalannya bagaimanakah ahli al-kasyaf menyaksikan alam yang begitu luas dan jauh? Adakah dia perlu menaiki sejenis kenderaan dan terbang ke seluruh alam maya untuk menyaksikannya?
Nabi Muhamamd SAW telah menaiki buraq dan mengembara ke seluruh alam di bawah bumbung Langit Dunia (Langit Pertama). Kemudian baginda SAW mikraj menggunakan tangga yang dihulurkan dari alam atas seumpama lif yang dibawa turun dari tingkat atas. Tetapi buraq hanyalah untuk kegunaan nabi-nabi tidak bagi manusia biasa, walaupun seseorang itu adalah ahli kasyaf. Namun, Allah SWT mempunyai caranya sendiri untuk memperlihatkan alam ciptaan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
Cuba kamu pandang kepada sebuah bangunan. Kamu dapat melihat bangunan tersebut kerana ada cahaya dari sumber cahaya iaitu matahari. Cahaya matahari menerpa ke arah bangunan itu lalu membawa seluruh bangunan tersebut kepada mata kamu. Mata kamu juga bercahaya sebagai persediaan untuk menerima pancaran cahaya matahari yang datang. Jika mata kamu terpejam atau berselaput tidak mungkin cahaya matahari boleh memasukinya. Pertemuan cahaya matahari dari atas dengan cahaya mata di bawah melahirkan gambar pada belakang bola mata kamu. Gambar yang tertera pada skrin bola mata kamu itu dalam keadaan terbalik. Otak berperanan membetulkannya kembali. Otak boleh berfungsi sebagai kesan aktiviti akal. Akallah yang melihat bangunan tersebut.
Seluruh bangunan yang begitu besar boleh masuk ke dalam akal kamu. Seandainya kamu berada di tempat yang tinggi dan pandangan kamu cukup kuat maka kamu boleh melihat seluruh planet bumi ini berada di dalam akal kamu. Akal kamu menjadi seperti satu ruang angkasa yang luas yang memuatkan planet bumi. Jika kamu berada pada tempat yang lebih tinggi dan pandangan kamu lebih kuat maka kamu akan dapat menyaksikan seluruh Alam Syahadah. Begitulah keadaannya hingga kamu dapat melihat seluruh Alam Misal dan Alam Arwah.
Jadilah diri kamu seolah-olah satu ruang angkasa yang di dalamnya terapung-apung seluruh alam makhluk.
Jika kamu memandang kepada sebuah bangunan maka bangunan itulah yang akan datang kepada kamu bukannya kamu yang datang kepadanya. Kamu tidak bergerak satu langkah pun. Begitu jugalah keadaan ahli al-kasyaf yang tidak bergerak dari tikar sembahyangnya namun dia dapat menyaksikan seluruh alam makhluk.
Keadaan ini boleh terjadi kerana Allah jualah nur bagi langit dan bumi. Nur-Nya juga memancar di dalam kalbu (hati) orang mukmin. Nur di atas nur. Nur dari alam atas membawa turun seluruh alam kejadian dan dapat ditangkap oleh nur di bawah iaitu kalbu (hati) orang mukmin. Jadi, kalbu (hati) orang mukmin itu meliputi seluruh alam makhluk tanpa dia perlu terbang ke mana-mana.
“Dipimpin Allah kepada nur-Nya bagi siapa yang dikehendaki-Nya”. (Surah an-Nuur, ayat 35).
“Katakanlah: Roh adalah urusan Tuhanku”. (Surah Al-Isra’ ayat 85)
Urusan Tuhan inilah makam terakhir seorang hamba. Tidak ada apa-apa lagi padanya melainkan urusan Tuhan. Apabila dia sudah larut di dalam urusan Tuhan maka urusan Tuhanlah yang memperjalankannya ke seluruh alam maya hingga terdampar ke Sidratul Muntaha. Seterusnya memanjat ke Qubah yang menjadi puncak segala alam kejadian. Tidak ada apa-apa lagi kecuali: “Allah, Rabbil ‘Izzati’
Allah jualah yang memiliki Hijab Yang Teguh. Wallahua'alam. Allah Maha Mengetahui segala sesuatu kejadian.
Untuk maklumat lanjut atau sebarang pendapat dan juga pandangan boleh hubungi penulis di email tertera :
[rahsiatersirat@gmail.com]
No comments:
Post a Comment