Sunday, 19 April 2020
ATHA BIN ABI RABAH - (ALIMNYA PARA ULAMA)
Ketika masih kecil, Atha Abi Rabah adalah seorang hamba milik seorang wanita Mekah. Namun Allah hendak memberi penghormatan kepada hamba Habsyi ini apabila Dia meletakkan anak kecil ini di lorong ilmu.
Beliau membahagikan masanya kepada 3 bahagian.
Satu bahagian untuk memberikan khidmat yang sebaik-baiknya kepada tuannya dan beliau menyempurnakan segala tugasnya dengan begitu baik. Satu bahagian untuk Tuhannya dan beliau memberikan satu masa yang amat murni untuk mengabdikan diri kepada Tuhannya. Masa ini dihabiskan semata-mata untukNya. Satu bahagian lagi untuk mencari ilmu, menemui mana-mana sahabat yang masih ada untuk menceduk ilmu dari dada mereka yang melimpah ruah.
Beliau pernah belajar daripada Abu Hurairah, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Zubair, Zaid bin Arqam, Shafwan bin Umayyah dan beberapa orang sahabat yang lain sehingga dadanya penuh dengan segala ilmu dan riwayat hadis yang diperolehi daripada baginda Rasulullah SAW.
Apabila tuannya melihat kesungguhan Atha Abi Rabah menyerahkan seluruh jiwanya untuk Allah SWT dan mewakafkan hidupnya untuk menuntut ilmu, maka beliau pun membelakangkan haknya lalu membebaskan hambanya ini sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Semenjak hari itu Atha Abi Rabah menjadikan Baitullah sebagai tempat tinggalnya. Beliau menjadikan Baitullah sebagai tempat pelindung. Juga sebagai sekolah tempat beliau belajar. Tempat solatnya untuk mendekatkan diri kepada Allah, bertakwa dan mentaati segala suruhanNya.
Ahli sirah pernah mengatakan salah satunya adalah Ibnu Juraij :
"Masjid adalah tempat tidur Atha Abi Rabah selama 20 tahun."
Atha Abi Rabah adalah seorang tabiin yang ulung telah berjaya mencapai tahap ilmu yang tinggi dan tiada tandingannya. Beliau berjaya mencapai satu tahap yang tidak dapat dicapai kecuali oleh segelintir manusia di zamannya.
Menurut satu riwayat, suatu hari Abdullah bin Umar datang ke Mekah untuk menunaikan Umrah, orang ramai mengerumuninya bertanyakan soalan dan meminta fatwa tetapi beliau berkata, "Saya hairan dengan kamu wahai penduduk Mekah, kamu mengumpulkan semua masalah untuk bertanya saya sedangkan Atha Abi Rabah ada bersama kamu?"
**
Atha bin Abi Rabah salah satu ulama Mekah. Secara fizik, dia mempunyai serba kekurangan. Tubuhnya kurus, kulitnya hitam, rambutnya keriting, mata kanannya rosak dan kaki kanannya tempang. Beliau mendapat julukan 'alimnya para ulamak'. Ulamak ulamak tabiin banyak bertanyakan fatwa kepada beliau. Luar biasanya orang ini.
Siapakah gerangan beliau ini?
Beliau adalah salah satu gurunya Imam Jaafar Sadiq keturunan Rasulullah SAW. Abu Hanifah sendiri mengakui kalau beliau belajar 5 perkara bersama tukang cukurnya Atha bin Abi Rabah.
Pernah suatu waktu datang orang orang mekah mengeluh kepada beliau tentang masalah mereka. Maka Atha bin Abi Rabah pun menuju ke Istana Khalifah untuk mengadu masalah rakyat muslimin. Dari Mekah untuk sampai ke negeri Syam lebih tepatnya ibu kota Syria pada zaman itu menggunakan kuda terpantas memakan masa hampir sebulan perjalanan. Ternyata beliau menaiki keldai untuk menuju ke istana Khalifah.
Kita sendiri boleh fikir berapa lama dia sampai ke istana Khalifah.
Maka tibalah beliau tepat di hadapan istana Khalifah. Semasa beliau hendak turun dari keldai ternyata ada sebuah kereta kencana mewah datang beserta 6 ekor kuda. Di dalam kereta itu, terdapat Atha Khurasani seorang ulama tabiin. Tak hanya itu, di dalam keretanya juga terdapat anak Atha Khurasani yakni Uthman bin Atha al-Khurasani.
Anak beliau menuturkan begini :
"Saya melihat ayah saya turun dari kereta kencana mendatangi seseorang yang kulitnya hitam, mata kanannya rosak, rambutnya keriting, kaki kanannya tempang, jubahnya besar dan imamahnya agak tua. Tidak pernah saya melihat ayah saya turun dari kereta kencana mendatangi seseorang, selalu saya melihat orang orang sekeliling yang datang kepadanya. Ayah saya datang menghampiri lalu memeluknya, salam dengannya serta berbicara dengannya. Dan saya belum pernah menemui orang seburuk itu penampilannya. Saya hairan. Siapa orang ini? Tidak lama kemudian ayah saya pun kembali lalu saya tanyakan kepadanya mengenai orang tersebut."
Kata Atha Khurasani, "Wahai anakku, hati hati dengan lisanmu jangan pernah ucapkan sesuatu keburukan pada orang lain apalagi dirimu tidak kenal siapakah gerangan orang itu. Itu yang sedang engkau bicarakan adalah Atha bin Abi Rabah. Pemimpin ulama Hijaz."
Anaknya berkata, "Atha bin Abi Rabah alimnya para ulamak itukah?"
"Ya" jawab ayahnya. Lalu ayahnya menyuruh supaya meminta maaf kepada beliau. Anaknya turun dan seraya meminta maaf kepadanya. Tidak lama setelah itu masuklah Atha bin Abi Rabah dan Atha Khurasani ke dalam istana menghadap Khalifah. Selang beberapa lama, mereka berdua keluar kembali.
Ketika keluar dari pintu Istana, si anak ini menunggu ayahnya keluar.
Uthman al-Khurasani berkata,
"Wahai ayah apa yang terjadi di dalam istana Khalifah?"
Ayahnya mengatakan, "Demi Allah wahai anakku kalau bukan kerana Atha bin Abi Rabah saya tidak diizinkan masuk. Begitu saja masuk ke pintu gerbang istana khalifah, pertama kali dalam sejarah khilafah kerajaan islam Khalifah berdiri menyambut orang (selama ini khalifah duduk walau alim ulama yang datang). Apabila Atha bin Abi Rabah masuk, khalifah Hisham Abdul Malik kemudian datang menghampiri Atha bin Abi Rabah di pintu lalu bersalaman kepadanya sementara orang orang yang ada di Istana tidak tahu dan tidak kenal tentang Atha bin Abi Rabah (mungkin saja para pegawai istana sekadar kenal nama tetapi tidak kenal akan empunya nama).
Disitu juga terdapat pembesar-pembesar wilayah yang sebelumnya sedang sibuk berbual tetapi ketika khalifah menyambut Atha Abi Rabah malah semuanya mendiamkan diri sambil memerhati.
Sehingga Khalifah menarik tangan Atha bin Abi Rabah sambil berkata, "Kesini wahai Abu Muhammad (beliau mempunyai anak lelaki bernama Muhammad), kesini wahai Abu Muhammad, khalifah mengulangi perkataannya. Sampai khalifah mendudukkan Atha bin Abi Rabah di singgahsana bersebelahan khalifah.
Barulah khalifah menanyakan maksud kedatangan Atha bin Abi Rabah.
"Saya datang membawa hajat kaum muslimin."
Beliau meneruskan, "Yang pertama penduduk Mekah dan penduduk Madinah mengadu bahawa pemerintah lewat memberi 'buah tangan' hasil keuntungan pemerintah kepada penduduk disana. Kedua, tentang mujahidin yang berperang disempadan kaum muslimin dan kafir, mereka mengadu bahawa gaji mereka agak lambat seperti dijanjikan. Kerana isteri isteri mereka datang kepada saya dan mengeluh."
Maka khalifah memanggil seseorang juru tulis untuk mencatat permasalahan ini dan menyuruh menyelesaikannya dengan cepat. Sehingga Atha bin Abi Rabah menyampaikan 3 lagi masalah muslimin. Setelah disampaikan akan 3 masalah itu maka Khalifah bertanya lagi kepadanya, "Apakah ada lagi masalah wahai ayahnya Muhammad?"
"Ada wahai Amirul Mukminin." katanya. "Masalah ini lebih penting dari 5 hal tadi."
Lalu ditanya oleh Khalifah, "Katakanlah wahai Abu Muhammad." (ayahnya Muhammad)
Atha bin Abi Rabah pun berdiri di singgahsana manakala khalifah sedang duduk di sebelah. Beliau berdiri tepat dihadapan khalifah sambil menunjuk nunjuk tangannya ke muka khalifah dan berkata,
"Ada lagi penting dari 5 hal tadi wahai Amirul Mukminin, anda dilahirkan sendirian, anda akan mati sendirian dan anda akan dihisab di hari kiamat sendirian. Demi Allah! Singgahsanamu ini, semua dayang dayangmu ini dan kerajaanmu ini tidak bermanfaat untukmu di hari kiamat nanti."
Setelah mendengar nasihat Atha, dia menghentak hentakkan tongkatnya ke lantai sambil mengatakan, "Jazakallah bi khair!" terus menerus mengulangi perkataan yang sama.
Maka kata Atha al-Khurasani kepada anaknya, "Setelah itu Atha bin Abi Rabah keluar dari istana dan demi Allah dia tidak minum setitis air pun di istana Khalifah."
Kami dikejar oleh salah seorang pegawai istana sambil membawa beg kecil yang dipenuhi dinar emas bertujuan untuk memberi kepada Atha bin Abi Rabah dari khalifah sebagai imbalan disebabkan sudah datang dari jauh. Kata Atha bin Abi Rabah,
"Demi Allah! Saya datang kesini bukan untuk itu. Kembalikan kepada Amirul Mukminin dan pulanglah ke istana."
**
Atha Abi Rabah telah diberikan usia yang panjang ada mengatakan sehingga mencecah lebih 80 tahun. Usianya dipenuhi dengan ilmu dan amal. Di sirami amal kebajikan dan ketakwaan. Hidupnya tidak pernah mengharapkan apa yang ada ditangan manusia. Beliau hanya mengharapkan apa yang ada disisi Allah. Dirinya kaya dengan bekalan amalan akhirat. Malah sebenarnya lebih daripada itu. Dia pernah 70 kali menunaikan ibadah haji. 70 kali juga dia berdiri di Arafah.
Ada lagi kisah mengenai beliau ketika berjumpa dengan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik yang sedang menunaikan ibadah haji yakni salah seorang Khalifah kerajaan Bani Umayyah. Orang yang bertanggungjawab menyerahkan jawatan khalifah kepada Umar bin Abdul Aziz. Tetapi penulis tidak menyelitkan kisah itu disini.
Salamah bin Kuhail pernah mengatakan :
"Aku tidak pernah melihat orang yang benar-benar mencari ilmu hanya kerana Allah seperti mereka bertiga yakni Atha, Thowuus dan Mujahid.."
Untuk maklumat lanjut atau sebarang pendapat dan juga pandangan boleh hubungi penulis di email tertera :
[rahsiatersirat@gmail.com]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment