Wednesday, 22 April 2020

IMAM JA'FAR ASH-SADIQ AS


1) Ibnu Hibban mengatakan :

"Beliau adalah Ja'far bin Muhammad bin Ali bin Al-Husein bin Ali bin Abi Thalib. Beliau mendapat julukan Abu Abdillah. Imam Ja'far Ash-Sadiq hanya meriwayatkan hadis dari ayahnya sahaja bukan dari orang lain. Dan beliau termasuk salah satu tokoh para pemuka Ahlul bait, secara feqah mahu pun dari sisi keilmuan dan juga dari sisi keutamaan."

Beliau menuturkan lagi yakni penyusun kitab ini (Ibnu Hibban) : "Ada beberapa tokoh ulama di antaranya yang mengambil ilmu dari Imam Ja'far Ash-Sadiq AS adalah Imam Sufian Ats-Tsauri, Imam Malik, Imam Syu'bah dan para ulama yang hidup sezaman beliau."

1* Rujuk pada kitab As-Tsiqat yang disusun oleh Ibnu Hibban jilid 3 pada m/s 251 cetakan pertama tahun 1998M/1419H, terbitan Darul Fiqr.

2) Imam Abu Hanifah RA mengatakan :

"Aku tidak melihat orang yang lebih faqih (mendalam ilmunya) dari Ja'far bin Muhammad (Imam Ja'far Ash-Sadiq AS)

Sebagaimana Abu Hatim mengatakan :

"Bahawasanya Imam Ja'far Ash-Sadiq adalah orang sangat terpercaya, orang seperti beliau tidak perlu diragukan lagi tentang kepercayaannya dari segi apa pun jua"

Dan juga dari Shaleh bin Abi Al-Aswad, ia berkata : "Aku mendengar dari Ja'far bin Muhammad mengatakan, "Bertanyalah kalian kepadaku sebelum kalian kehilanganku. Kerana sesungguhnya tidak ada seorangpun yang dapat menjelaskan sesuatu hal kepada kalian sepeninggalanku seperti penjelasanku ini." Maksud dari ayat tersebut secara tidak langsung mengisyaratkan bahawa beliau adalah orang yang paling alim dan orang yang paling mendalam dari sisi keilmuannya pada zaman tersebut. Sebagaimana Imam Abu Hanifah RA mengakui hal tersebut.

2* Rujuk pada kitab Tazkiratul Hufazh yang disusun oleh Imam Az-Zahibi jilid 1 dan 2 pada m/s 166, terbitan Darul Fiqr Al-Arabi

3) Ishaq bin Rohawaih mengatakan :

"Aku bertanya kepada Ash-Syafi'e RA, bagaimanakah menurutmu mengenai Ja'far bin Muhammad?"

Maka Imam Ash-Syafi'e RA berkata, " Bahawa beliau merupakan orang yang sangat terpercaya.."

Dan Amr bin Abi Miqdam pula berkata, "Ketika aku melihat Ja'far bin Muhammad, aku mengetahui bahawasanya beliau termasuk dari mata rantaian para Nabi."

Bagaimana pula Imam Malik RA iaitu pencetus mazhab Maliki sekaligus beliau juga salah satu anak muridnya Imam Ja'far Ash-Sadiq menilai sendiri keperibadian gurunya.

Imam Malik RA mengatakan :

"Aku menghabiskan masa yang lama (untuk berguru dengan Imam Ja'far Ash-Sadiq) dan aku tidak mendapati kepada beliau kecuali dalam 3 keadaan, yang pertama dalam keadaan beliau sedang sholat, yang kedua dalam keadaan beliau sedang berpuasa dan ketiga dalam keadaan beliau sedang membaca al-Quran.."

Maksudnya setiap kali Imam Malik RA bertemu dengan Imam Ja'far Ash-Sadiq untuk berguru maka beliau yakni Imam Ja'far Ash-Sadiq ada dalam salah 1 dari 3 keadaan tersebut.

Imam Malik juga mengatakan :

"...dan tidaklah aku melihatnya menyampaikan hadis melainkan dalam keadaan berwudhuk."

3* Rujuk pada kitab Tahdzib yang disusun oleh Ibnu Hajar al-Asqalani, jilid 2 pada m/s 69 dan 70, cetakan pertama tahun 1995M/1415H, terbitan Darul Fiqr.

4) Telah menyampaikan kepada kami Ja'far bin Muhammad..."Aku telah mendengar Abu Hanifah dimana Abu Hanifah pernah ditanya oleh seseorang, "Siapakah orang yang faqih (paling mendalam ilmunya) menurut anda?"

Maka Abu Hanifah menjawab, "Aku tidak melihat seorangpun yang lebih faqih (mendalam ilmnya) daripada Ja'far bin Muhammad."

Lalu  Abu Hanifah bercerita :

"Ketika al-Manshur (khalifah dari bani Abbasiyah) mendatangkan paksa Imam Ja'far dari satu daerah yang bernama Hirah, al-Manshur mengutus seseorang datang menemuiku seraya berkata, "Wahai Abu Hanifah, sesungguhnya manusia telah terpikat hatinya kepada Ja'far bin Muhammad, maka siapkanlah olehmu persoalan-persoalan yang sulit untuk engkau tanyakan kepadanya. Maka akupun menyiapkan untuknya 40 pertanyaan dan pada hari yang sudah ditentukan masanya kemudian aku mendatangi Khalifah al-Manshur, sementara Imam Ja'far Ash-Sadiq duduk disisi kanannya, ketika aku melihat keduanya, maka dengan tidak langsung aku dapat melihat kewibawaan dari Imam Ja'far Ash-Sadiq AS yang mana aku tidak melihat hal itu pada keperibadian Khalifah al-Manshur. Kemudian aku mengucapkan salam dan dia (Khalifah al-Manshur) mengizinkan aku masuk, lalu akupun duduk. Kemudian Imam Ja'far Ash-Sadiq menoleh ke arahku lalu Khalifah al-Manshur berkata :

"Wahai Abu Abdillah (julukan Imam Ja'far Ash-Sadiq), kenalkah engkau akan orang ini?" Lalu Imam Ja'far AS menjawab, "Ya, aku mengenalinya bahawa dia adalah Abu Hanifah."

Khalifah al-Manshur berkata, "Wahai Abu Hanifah, sila ajukan beberapa pertanyaan engkau."

Maka kemudian aku memulakan persoalan-persoalanku kepada Imam Ja'far Ash-Sadiq. Sehinggakan aku mengajukan kesemua 40 pertanyaan, yang mana aku sendiri pun tidak boleh memecahkan satupun masalah dari pertanyaanku tersebut. Dan ternyata dari semua pertanyaanku itu beliau (Imam Ja'far AS) dapat menjawab satu persatu dengan jelas dan menerangkan dari 40 pertanyaanku kepadanya.."

Seperti inilah pandangan dan penilaian Abu Hanifah tentang kedalaman ilmu yang dimiliki oleh Imam Ja'far Ash-Sadiq. Sehingga ketika mengetahui betapa luasnya pengetahuan yang dimiliki oleh Imam Ja'far Ash-Sadiq pada akhirnya beliau sendiri belajar dan menimba ilmu kepada Imam Ja'far Ash-Sadiq secara langsung.

4* Rujuk pada kitab Syiar A'lamu Nubala yang disusun oleh Imam Az-Zahabi jilid 6 pada m/s 364, cetakan tahun 2006M/1427M, terbitan Darul Hadis Al-Qaherah, Mesir.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pendapat dan juga pandangan boleh hubungi penulis di email tertera : 


[rahsiatersirat@gmail.com]

No comments:

Post a Comment