Thursday, 23 April 2020

BERITA SYAHIDNYA AL-HUSEIN BIN ALI ABI THALIB


Diriwayatkan dari Anas bin Malik, dia berkata :

"Malaikat hujan meminta izin kepada Tuhannya untuk mengunjungi baginda Rasulullah SAW. Maka Allah SWT mengizinkannya, ketika itu baginda Rasulullah SAW berada di rumah Ummu Salamah, lalu baginda Nabi SAW bersabda kepada Ummu Salamah :

"Jagalah pintu itu olehmu. Jangan biarkan seorang pun yang masuk. Ketika Ummu Salamah berada di hadapan pintunya, maka tiba-tiba datang Husein bin Ali Abi Thalib ingin memasuki rumah tersebut. Maka Husein menerobos masuk dan membuka pintu lalu Husein bin Ali Abi Thalib langsung melompat ke pundak baginda Nabi SAW. Lalu baginda Nabi SAW pun memeluk erat dan menciumnya. Kemudian Malaikat itu bertanya kepada baginda Nabi SAW :

"Apakah engkau mencintainya wahai Rasulullah?"

Baginda Nabi SAW menjawab, "Na'am. Aku mencintainya."

Malaikat berkata, "Sesungguhnya umatmu kelak akan membunuhnya wahai Rasulullah. Seandainya jika engkau ingin, aku akan menunjukkan kepadamu tempat dimana dia akan terbunuh?"

Maka jawab baginda Nabi SAW, "Na'am"

Lalu Malaikat itu pun menggenggam erat ditangannya sesuatu dari lokasi dimana Husein akan terbunuh. Dengan izin Allah SWT, Malaikat itu memperlihatkan kepada baginda Nabi SAW. Kemudian dia (malaikat) mendatangkan tanah tersebut kepada baginda Nabi SAW atau tanah yang berwarna kemerahan.

Lalu Ummu Salamah mengambil tanah itu dan disimpan didalam poket bajunya.

Tsabit berkata, "Kami mengatakan bahawa tanah tersebut merupakan tanah dari Karbala."

Pentahkik kitab ini iaitu Sheikh Syua'ib al-Arnouth mengatakan, "Hadis ini Hasan/Baik dan sanadnya agak lemah. Bermaksud ialah sekalipun hadis tersebut sanadnya dhaif akan tetapi terdapat riwayat lain yang menguatkan hadis ini sehingga mencapai darjat Hasan.

Rujuk pada kitab Sahih Ibnu Hibban, jilid 15 m/s 142, cetakan kedua pada tahun 1997M/1418H terbitan Muassasah Risalah. Ditahqiq oleh Sheikh Syua'ib al-Arnouth.

Dari Ibnu Abbas, dia berkata :

"Bahawasanya aku pernah bermimpi melihat baginda Nabi SAW ditengah hari dengan raut wajah yang muram dan berdebu. Bersamanya ada sebuah botol berisi darah yang beliau SAW genggam atau membawa sesuatu yang ada isinya, Maka aku pun bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah ini?"

Rasulullah SAW menjawab, "Ianya adalah darah Husein dan sahabat-sahabatnya. Aku selalu menyimpannya sejak hari ini."

Kami mengingat-ingat hari itu, maka kami dapati bahawa pada hari yang sama Imam Husein telah pun terbunuh.

Sheikh Syua'ib al-Arnouth berkata, "Sanad hadis ini sangat kuat sesuai syarat Muslim."

Rujuk pada kitab Musnad Imam Ahmad jilid 4 m/s 59 hadis no 2165, cetakan kedua pada tahun 2008M/1429H terbitan Muassasah Risalah. Ditahqiq oleh Sheikh Syua'ib al-Arnouth.

Diriwayatkan dari Abdullah bin Nujair dari ayahnya, dia berkata :

"Suatu hari dia pergi bersama Ali bin Abi Thalib, dan Nujair ini adalah yang memegang wadah berwudhu Ali bin Abi Thalib. Ketika keduanya sampai dikawasan daerah Nainawa dalam perjalanan menuju ke Shiffin. Maka Ali bin Abi Thalib berteriak sambil berkata :

"Sabarlah wahai Aba Abdillah, sabarlah wahai Aba Abdillah ditepi sungai Furat."

Maka aku (Nujair) bertanya kepadanya, "Apa yang anda maksudkan dengan Aba Abdillah?"

Kemudian Ali bin Abi Thalib menjawab, "Suatu ketika aku pernah menemui baginda Nabi SAW dimana disaat itu kedua bola mata baginda SAW sedang menitiskan airmata." Maka aku bertanya kepada baginda Nabi SAW, "Wahai Nabi Allah, apakah ada seseorang yang membuatkan engkau marah? Dan mengapa engkau menangis tersedu-sedu wahai Rasulullah?"

Rasulullah SAW kemudian menjawab, "Jibril baru saja pergi dari sisiku sebelum dirimu datang, dan dia mengabarkan kepadaku tentang Husein yang akan terbunuh ditepi sungai Furat."

Malaikat Jibril AS berkata kepada baginda Nabi SAW, "Apakah engkau ingin mencium tanah tempat terbunuhnya Husein wahai Rasulullah?"

Nabi SAW menjawab, "Na'am."

"Lalu Malaikat Jibril mengulurkan tangannya dengan menggenggam tanah dan dia (Jibril) memberikannya kepadaku (tanah Karbala). Maka aku tidak sanggup menahan airmataku untuk menangis."

Husain Salim Asad berkata, "Riwayat ini sanadnya adalah Hasan"

Rujuk pada kitab Musnad Abi Ya'la Al-Mushali jilid 1 m/s 298, cetakan kedua pada tahun 2014M/1435H terbitan Maktabah Ar-Rusyd dan Daar al-Ma'mun Liturats, Riyahd Arab Saudi. Ditahqiq oleh Husain Salim Asad.

Telah menceritakan kepada kami Abdullah, dia berkata :

Dari Aisyah atau Ummu Salamah ia bercerita, "Telah datang kepadaku satu malaikat atau masuk kerumahku yang mana dia tidak pernah menemuiku sebelumnya. Ia (malaikat) berkata kepadaku, "Sesungguhnya putramu ini iaitu Husain kelak akan dibunuh. Seandainya engkau ingin, aku akan perlihatkan kepadamu tanah dimana ia akan dibunuh disana. Maka malaikat itu pun mengeluarkan tanah berwarna merah kepadaku."

Wasiyullah ibnu Muhammad Abbas berkata, "Bahawa sanad riwayat ini adalah Sahih"

Inilah riwayat yang bersumber dari salah satu isteri baginda Nabi SAW.

Rujuk pada kitab Fadhail Shahabah karya Imam Ahmad bin Hanbal jilid 2 m/s 965-966 hadis no 1357, cetakan keempat pada tahun 2009M/1430H terbitan Daar Ibnu Al-Jauzi. Ditahqiq oleh Wasiyullah ibnu Muhammad Abbas.

Untuk maklumat lanjut atau sebarang pendapat dan juga pandangan boleh hubungi penulis di email tertera : 


[rahsiatersirat@gmail.com]

No comments:

Post a Comment