Bani Israel merupakan bani 'lubuknya' para nabi dan juga para rasul. Dikatakan bahawa daripada 124,000 nabi yang diutus ke bumi ini hanya terdapat 12 nabi sahaja yang bukan dari kalangan Bani Israel. Dan daripada 12 nabi itu hanya terdapat 4 sahaja nabi daripada kalangan bangsa Arab. Namun penulis akan kongsikan kisah mengenai Nabi-Nabi yang di utus daripada kalangan Bani Israel.
Ibnu Jarir menuturkan, tidak ada lagi perbezaan pendapat di kalangan para ulama mengenai berita-berita dan pelbagai permasalahan orang-orang terdahulu, bahawa yang mengurus urusan Bani Israel setelah Yusya' bin Nun adalah Kalib bin Yofana iaitu salah seorang sahabat Nabi Musa AS yang merupakan suami saudara perempuannya sendiri. Dia adalah salah seorang dari dua orang yang takut kepada Allah SWT. Kedua-dua orang itu adalah Yusya' dan Kalib yang mengatakan kepada Bani Israel ketika mereka enggan ikut berjihad :
"Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya nescaya kamu akan memperolehi kemenangan. Dan hanya kepada Allah SWT hendaknya kamu bertawakal jika kamu benar-benar orang yang beriman." (Al-Maidah : 23)
Ibnu Jarir mengemukakan, "Setelah itu, yang memegang semua urusan Bani Israel adalah Hizqil bin Buzi iaitu orang yang berdoa kepada Allah SWT agar menghidupkan orang-orang yang sudah diwafatkan sehingga Dia pun menghidupkan kembali orang-orang yang keluar dari kampung halaman mereka kerana takut mati, padahal jumlah mereka beribu-ribu orang."
(NABI HIZQIL AS)
Muhammad bin Ishak menceritakan, daripada Wahab bin Munabbih, "Ketika Kalib bin Yofana kembali ke pangkuan Ilahi, iaitu setelah Yusya' bin Nun maka semua urusan Bani Israel diserahkan kepada Hizqil bin Buzi, iaitu putera Al-'Ajuz yang dia telah mendoakan kaumnya yang disebutkan di dalam firmanNya :
"Apakah engkau tidak memperhatikan orang-orang yang keluar daripada orang-orang kampung halaman mereka sedangkan mereka beribu-ribu jumlahnya kerana takut mati. Maka Allah SWT berfirman kepada mereka, "Matilah kamu." Kemudian Allah SWT menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah SWT mempunyai kurnia terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (Al-Baqarah : 243)
Asbath menceritakan, daripada As-Suddi daripada Abu Malik, daripada Abu Soleh, daripada Ibnu Abbas, daripada Murrah, daripada Ibnu Mas'ud, daripada beberapa orang sahabat, mengenai firmanNya, "Apakah engkau tidak memperhatikan orang-orang yang keluar daripada orang-orang kampung halaman mereka sedangkan mereka beribu-ribu jumlahnya kerana takut mati. Maka Allah SWT berfirman kepada mereka, "Matilah kamu." Kemudian Allah SWT menghidupkan mereka." Mereka mengatakan, kampung halaman itu bernama, Dawardan yang dijangkiti penyakit taun. Kemudian seluruh penduduknya melarikan diri dan singgah di pinggiran daerah tersebut. Maka mereka yang menetap dikampung itu pun binasa tetapi banyak juga daripada mereka yang tidak mati.
Setelah penyakit taun itu lenyap, mereka pun kembali dalam keadaan selamat, maka orang-orang yang tetap tinggal dikampung itu berkata, "Para sahabat kami ini lebih beruntung daripada kami. Seandainya kami lakukan seperti mereka lakukan nescaya kami akan tetap hidup. Jika penyakit taun merebak kedua kalinya, maka kami akan ikut keluar bersama mereka."
Pada tahun berikutnya, penyakit taun itu melanda mereka kembali, maka mereka yang berjumlah lebih dari tiga puluh ribu orang melarikan diri hingga singgah di lembah Afih. Lalu mereka diseru oleh malaikat dari bawah lembah dan malaikat lainnya dari atas lembah, "Matilah kamu semua." Mereka pun mati sehingga mereka binasa dan yang tersisa tinggal jasad mereka.
Kemudian dilalui oleh seorang nabi yang bernama Hizqil. Ketika menyaksikan mereka (jasad), Hizqil berhenti seraya berfikir sejenak mengenai mereka itu dan sambil menggerakkan kedua bibir dan jari-jarinya. Lalu Allah SWT mewahyukan kepadanya, "Apakah engkau mahu Aku memperlihatkan kepadamu bagaimana Aku menghidupkan mereka?"
"Ya" jawabnya.
Dia memikirkan keajaiban daripada kekuasaan Allah SWT atas mereka semua. Kemudian dikatakan kepadanya, "Serulah." Maka Hizqil pun berseru, "Wahai tulang belulang, sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu untuk bersatu!"
Seketika itu juga tulang belulang tersebut saling berterbangan dan saling memadu antara satu dengan yang lainnya hingga akhirnya menjadi jasad yang masih dalam bentuk tulang. Kemudian Allah SWT mewahyukan kepadanya agar dia menyeru, "Serulah." Maka dia pun berseru, "Wahai para jasad, sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu untuk bangkit."
Maka mereka pun bangkit.
Asbath berkata, dengan bersumber daripada Mujahid, Mansur beranggapan bahawa ketika dihidupkan kembali, mereka berkata, "Maha Suci Engkau ya Allah, segala puji hanya bagiMu, tidak ada Tuhan melainkan hanya Engkau." Mereka pun kembali kepada kaumnya dalam keadaan hidup padahal diketahui bahawa mereka sudah mati lalu dihidupkan kembali.
Daripada Ibnu Abbas, mereka itu berjumlah 4,000 orang. Masih daripada Ibnu Abbas juga dia berkata, mereka itu berjumlah 8,000 orang. Daripada Abu Soleh, dia berkata mereka itu berjumlah 9,000 orang dan juga daripada Ibnu Abbas, mereka berjumlah 40,000 orang. Pendapat jumhur ulama yang menyatakan bahawa peristiwa itu memang berlaku.
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Bukhari dan Imam Muslim, melalui jalan Az-Zuhri, daripada Abdul Hamid bin Abdul Rahman bin Zaid bin Al-Khattab, daripada Abdullah bin Al-Harith bin Naufal, daripada Abdullah bin Abbas, bahawa Umar Al-Khattab RA pernah pergi ke negeri Syam dan ketika sampai di Saragh, dia temui para komandan perang, Abu Ubaidah bin Al-Jarrah dan para sahabatnya, dimana mereka memberitahu bahawa penyakit telah merebak ke negeri Syam. Lalu disebutkan hadith secara lengkap. Iaitu berisikan mengenai mesyuarat yang dilakukannya untuk meminta pendapat kaum Muhajirin dan Anshar, tetapi berlaku perbezaan pendapat mengenai hal itu. Kemudian datang Abdul Rahman bin Auf yang sebelumnya tidak hadir kerana suatu keperluan dan kemudian dia berkata :
"Sesungguhnya aku mempunyai pengetahuan mengenai masalah ini. Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Jika di suatu daerah berlaku wabak, sedangkan kamu berada di daerah itu maka janganlah kamu pergi meninggalkannya. Jika kamu mendengar wabak itu sedangkan kamu berada di daerah lain, maka janganlah kamu mendatanginya." Maka Umar Al-Khattab RA pun memanjatkan pujian kepada Allah SWT dan membuat keputusan untuk tidak pergi ke negeri Syam dan dia kemudiannya kembali.
Muhammad bin Ishak mengemukakan, "Tidak disebutkan kepada kami berapa lama Hizqil AS menetap dikalangan Bani Israel, hingga akhirnya Allah SWT memanggilnya kembali ke pangkuanNya. Setelah Hizqil wafat, Bani Israel melupakan janji mereka kepada Allah SWT, bahkan mereka menyembah pelbagai macam berhala, yang salah satunya bernama Ba'al. Kemudian Allah SWT mengutus Ilyas bin Yasin bin Fanhas bin Harun bin Imran kepada mereka." (Kisah Nabi Ilyas ini perlu artikel yang lain)
Ibnu Jarir dan juga ulama yang lainnya mengemukakan, "Seterusnya Bani Israel mengalami pelbagai macam kesengsaraan dan pelbagai kesalahan pun mereka lakukan, bahkan mereka membunuh para nabi hingga Allah SWT menggantikan para nabi itu dengan raja-raja yang bengis lagi zalim yang menzalimi dan menumpahkan darah mereka, selain itu Allah SWT juga memberikan ramai musuh kepada mereka daripada kalangan luar golongan mereka. Jika mereka membunuh seorang musuh, maka bersama mereka terdapat Tabut perjanjian yang di dalamnya terdapat kubah zaman. Akhirnya dalam beberapa siri peperangan mereka mengalami kekalahan daripada musuh-musuhnya. Setelah raja mereka mengetahui hal itu, lehernya pun dipancung sehingga mati. Tinggallah Bani Israel seperti kambing yang ditinggal pergi oleh pengembalanya, sehingga Allah SWT mengutus kepada mereka seorang nabi yang bernama Syamuel AS. Kemudian mereka menuntut Syamuel AS agar mendirikan kerajaan supaya mereka dapat bersamanya memerangi musuh mereka."
Imam Abu Ja'far bin Jarir atau dikenali sebagai Ibnu Jarir di dalam kitab at-Tarikh-nya menuturkan, "Jarak antara wafatnya Yusya' bin Nun sehingga Allah SWT mengutus Syamuel Ibnu Bali adalah 460 tahun."
(NABI SYAMUEL AS)
Perlu ditegaskan, kisah Nabi Syamuel AS ini tidak lengkap jika saya tidak sertakan kisah awal permulaan Nabi Daud AS memerangi Jalut dan tenteranya. Jadi saya tampilkan sekali kisahnya walaupun ringkas dan padat.
Nama lengkapnya adalah Syamuel bin Bali bin Alqamah bin Yarkham bin Alyaho bin Tahwi bin Shauf bin Alqamah bin Mahith bin Amusha bin Uzriya.
Muqatil mengatakan, "Syamuel termasuk ahli waris Harun."
Sedangkan Mujahid menyebutkan, "Syamuel itu adalah Asymawil bin Halfaqa. Nasabnya tidak lebih daripada itu."
As-Suddi menceritakan, dengan sanad daripada Ibnu Abbas dan Ibnu Mas'ud serta beberapa orang sahabat, Tha'labi dan juga yang lainnya, setelah Amaliq yang terdiri dari wilayah Ghaza dan Asqalan memperoleh kemenangan atas Bani Israel hingga banyak daripada mereka yang terbunuh, ditahan dan terputus pula kenabian dari nasab levi/lewi/lawi maka tidak ada yang tersisa daripada mereka melainkan seorang wanita yang sedang mengandung. Maka wanita itu berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan anak lelaki. Dan wanita itu pun melahirkan seorang anak lelaki dan diberi nama Asyamawil, menurut bahasa Ibrani bererti Ismail yang maknanya 'Allah mendengar doaku.'
Setelah tumbuh dewasa, wanita itu mengutus anaknya ke masjid dan menyerahkannya kepada seorang yang soleh supaya belajar kebaikan dan tatacara beribadah. Pada suatu malam, ketika dia sedang tidur, tiba-tiba dia didatangi suara dari arah masjid. Maka dia pun terjaga dan terkejut. Dia menyangka ada seorang syeikh memanggilnya, maka dia pun berseru, "Apakah engkau memanggilku?" Dia merasa tidak suka waktu tidurnya diganggu, maka suara itu menjawab, "Ya, tidurlah." Lalu dia pun tidur lagi. Kemudian diseru lagi untuk kedua kalinya, demikian juga pada yang ketiga kalinya, ternyata Malaikat Jibril yang memanggilnya. Lalu Malaikat Jibril mendatanginya seraya berkata, "Sesungguhnya Tuhanmu mengutusmu kepada kaummu."
Sedangkan mengenai kisah dirinya dan juga kaumnya telah diceritakan Allah SWT dalam kitabNya yang bermaksud :
"Apakah kamu tidak memperhatikan pemuka-pemuka Bani Israel sesudah Nabi Musa, iaitu ketika mereka berkata kepada seorang nabi mereka, 'Angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami berperang (dibawah pimpinannya) di jalan Allah SWT." Nabi mereka menjawab, "Mungkin sekali jika kamu nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang." Mereka menjawab, "Mengapa kami tidak mahu berperang dijalan Allah SWT padahal sesungguhnya kami telah diusir dari kampung halaman kami dan daripada anak-anak kami?" Maka ketika perang itu diwajibkan atas mereka, mereka pun berpaling kecuali beberapa orang saja di antara mereka. Dan Allah SWT Maha Mengetahui orang-orang yang zalim.
Nabi mereka mengatakan kepada mereka, "Sesungguhnya Allah SWT telah mengangkat Thalut menjadi raja kamu." Mereka menjawab, "Bagaimana Thalut memerintah kami padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberi kekayaan yang banyak?" Nabi mereka berkata, "Sesungguhnya Allah SWT telah memilihnya menjadi raja kamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh perkasa." Allah SWT memberi pemerintahan kepada siapa saja yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui.
Dan Nabi mereka mengatakan kepada mereka, "Sesungguhnya tanda dia akan menjadi raja adalah kembalinya tabut kepada kamu yang di dalamnya terdapat ketenangan daripada Tuhan kamu dan sisa daripada peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun, tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kamu, jika kamu orang yang beriman."
Maka ketika Thalut keluar membawa tenteranya, dia berkata, "Sesungguhnya Allah SWT akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya, bukanlah dia pengikutku. Dan barangsiapa tidak meminumnya kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku." Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka ketika Thalut dan orang-orang yang beriman bersamanya telah menyebrangi sungai itu, orang-orang yang telah meminum itu berkata, "Tidak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya." Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah SWT berkata, "Berapa banyak berlaku golongon yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak atas izin Allah SWT, Dan Allah SWT beserta orang-orang yang sabar."
Ketika mereka nampak Jalut dan tenteranya, mereka pun (Thalut dan tenteranya) berdoa, "Ya Tuhan kami, kurniakanlah kesabaran atas diri kami dan kukuhkanlah pendirian kami serta tolonglah kami terhadap orang-orang kafir."
Mereka (tentera Thalut) mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah (dalam peperangan itu) Daud berjaya membunuh Jalut. Kemudian Allah SWT memberikan kepadanya (Daud) pemerintahan dan hikmah (sesudah meninggalnya Thalut) dan mengajarkan kepadanya apa yang dikehendakiNya. Seandainya Allah SWT tidak menolak keganasan sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi. Tetapi Allah SWT mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam."
(Al-Baqarah : 246-251)
Majoriti ahli tafsir berpendapat, nabi kaum yang disebutkan dalam kisah di atas adalah Syamuel AS. Maksudnya setelah kaum ini dibinasakan oleh peperangan yang mereka lakukan dan ditindas oleh musuh-musuhnya, maka mereka meminta kepada Nabi Allah pada saat itu agar diangkatkan bagi mereka seorang raja yang memimpin mereka agar mereka dapat berperang dibelakangnya dalam menghadapi para musuh. Maka sang nabi berkata kepada mereka, "mungkin sekali jika kamu nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang." Mereka menjawab, "Mengapa kami tidak mahu berperang di jalan Allah SWT," memang ada sesuatu yang menghalangi kami berperang, "padahal sesungguhnya kami telah diusir dari kampung halaman kami dan daripada anak-anak kami?" Mereka berkata, kami sedia bertempur untuk menghancurkan musuh. Kami akan berperang demi anak-anak kami yang ditawan ditangan mereka.
Allah SWT berfirman, "maka ketika perang itu diwajibkan atas mereka, mereka pun berpaling kecuali beberapa orang saja di antara mereka. Allah Maha Mengetahui orang-orang yang zalim."
Sebagaimana yang disebutkan pada akhir kisah yang diceritakan dalam al-Quran bahawa mereka tidak mahu ikut menyebrangi sungai bersama raja mereka kecuali hanya sedikit saja daripada mereka, sedangkan yang lainnya pulang dan enggan ikut berperang.
"Nabi mereka mengatakan kepada mereka, 'Sesungguhnya Allah telah mengangkat Thalut menjadi raja kamu." At-Tha'labi mengemukakan, "Dia adalah Thalut bin Qaisy bin Afil bin Sharu bin Tahwarat bin Afih bin Anis bin Bunyamin bin Ya'qub bin Ishak bin Ibrahim AS.
Ikrimah dan As-Suddi menyebutkan, "Dia seorang yang suka memberi minum."
"Mereka menjawab, 'bagaimana Thalut memerintah kami padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedangkan dia pun tidak diberi kekayaan yang banyak?" Sebagaimana yang telah disebutkan, bahawa jalur kenabian itu dipegang oleh anak cucu keturunan levi/lewi/lawi sedangkan kerajaan dipegang oleh keturunan Yahuza. Setelah diketahui bahawa raja ini dari keturunan Bunyamin, maka mereka pun tidak mahu menerimanya dan bahkan mencacinya seraya berkata, "Kami yang lebih berhak menjadi raja daripada dirinya." Sebagaimana yang mereka sebutkan bahawa raja yang diangkat itu seorang miskin yang tidak banyak mempunyai harta kekayaan, lalu bagaimana orang seperti itu boleh menjadi raja.
"Nabi mereka berkata, 'Sesungguhnya Allah SWT telah memilihnya menjadi raja kamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa." Ada mengatakan, Allah SWT telah mewahyukan kepada Syamuel AS bahawa siapapun di kalangan Bani Israel memiliki tinggi tidak lebih daripada tongkat ini (sememangnya itu tongkat Nabi Syamuel). Maka barangsiapa yang datang kepadamu dan tingginya tidak melebihi tongkat ini, maka dia adalah raja yang dilantik oleh Allah SWT. (ada yang kata tingginya sama paras dengan tongkat tersebut).
Lalu mereka masuk ke tempat itu dan mengukur diri mereka masing-masing dengan tongkat tersebut, tetapi tidak ada seorang pun daripada mereka yang tingginya sama dengan tongkat itu kecuali Thalut saja. Dan ketika Thalut datang kepada Syamuel AS, lalu dia menyapu dengan minyak dan mengangkatnya menjadi raja bagi mereka. Dan Syamuel AS berkata kepada mereka, "Sesungguhnya Allah SWT telah memilihnya menjadi raja kamu dan menganugerahinya ilmu yang luas" Ada yang mengatakan, iaitu dari segi strategi ketika berperang. Ada yang menyatakan, yakni dalam segala hal. "Dan tubuh yang perkasa." Ada juga mengatakan iaitu dalam ketampanan. Secara zahiriah, ayat tersebut menunjukkan bahawa dia orang paling tampan dan paling pandai di antara mereka setelah nabi mereka. "Allah SWT memberi perintah kepada siapa saja Dia kehendaki." Dia mempunyai banyak hikmah dan hanya di tanganNya hak penciptaan dan perintah itu berada. "Dan Allah Maha Luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui."
"Dan Nabi mereka mengatakan kepada mereka, 'Sesungguhnya tanda dia akan menjadi raja adalah kembalinya tabut kepada kamu yang di dalamnya terdapat ketenangan daripada Tuhan kamu dan sisa daripada peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun, tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kamu, jika kamu orang yang beriman." Maka yang demikian itu merupakan daripada kepimpinan orang soleh ini atas diri mereka. Dia diberi kemampuan untuk mengembalikan Tabut mereka yang pernah dirampas daripada tangan mereka yang dulu pernah memperoleh kemenangan kerana Tabut tersebut. "Yang di dalamnya terdapat ketenangan daripada Tuhan kamu."
Ada yang mengatakan, iaitu bekas daripada emas yang di dalamnya para nabi terdahulu mandi. Ada juga yang menyatakan, bentuknya seperti kucing, yang akan bersuara ditengah-tengah peperangan. Bani Israel meyakini kemenangan ada pada mereka. "Dan sisa daripada peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun." Yang di dalamnya terdapat alwah dan sedikit dari mana yang dulu pernah mereka dapatkan di padang Tih. "Tabut itu dibawa oleh malaikat." Maksudnya, malaikat datang kepada mereka dengan membawa Tabut tersebut sedang mereka menyaksikannya secara langsung dengan mata mereka supaya menjadi tanda kekuasaan Allah SWT bagi mereka sekaligus sebagai hujah yang nyata atas kebenaran apa yang dikatakan kepada mereka serta keabsahan kepimpinan raja yang soleh atas diri mereka. Oleh sebab itu Allah SWT berfirman, "Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi kamu, jika kamu orang yang beriman."
Ada yang mengatakan di dalam peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun itu terdapat Taurat. Setelah berada di tangan mereka, Tabut itu diletakkan di bawah berhala mereka. Pagi harinya mereka menemukan Tabut tersebut sudah berada di atas kepala berhala mereka. Kemudian mereka meletakkannya di bawah berhala lagi dan pada hari berikutnya mereka menemukan Tabut tersebut sudah berada di atas kepala berhala mereka lagi. Setelah berulang kali berlaku, maka mereka pun mengetahui bahawa yang demikian itu adalah kehendak Allah SWT. Lalu mereka dikeluarkan dari negeri mereka dan ditempatkan di salah satu kampung mereka, kemudian mereka diserang oleh suatu penyakit pada bahagian punggung mereka.
Setelah hal itu berterusan, mereka mengikat Tabut pada gerobak yang diikatkan pada 2 ekor lembu dan kemudian melepaskan keduanya. Ada yang mengatakan, maka malaikat membawa kedua-dua ekor lembu sehingga keduanya mendatangi pemuka Bani Israel sedangkan mereka menyaksikan seperti yang diberitahu oleh nabi mereka kepada mereka mengenai hal itu. Hanya Allah SWT yang mengetahui bagaimana malaikat itu membawa Tabut tersebut. Yang jelas, zahiriah ayat menyebutkan bahawa malaikat itu membawanya sendiri, meskipun yang pertama itu disebutkan oleh ramai ahli tafsir, bahkan majoriti mereka.
"Maka ketika Thalut keluar membawa tenteranya, dia berkata, 'Sesungguhnya Allah SWT akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya, bukanlah dia pengikutku. Dan barangsiapa tidak meminumnya kecuali menceduk, seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku." Ibnu Abbas dan kebanyakkan ahli tafsir menyebutkan, "Sungai yang dimaksudkan itu adalah sungai Jordan." Perintah Thalut kepada angkatan tenteranya untuk tidak meminum air sungai tersebut berdasarkan perintah Allah SWT sebagai salah satu ujian dan cubaan.
"Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka."
As-Suddi mengemukakan, "Angkatan tentera Thalut itu berjumlah 80,000 orang, yang minum air sungai itu seramai 76,000 orang, sehingga yang tersisa bersamanya hanyalah 4,000 orang."
Dalam kitab Sahibul Bukhari, Imam Bukhari meriwayatkan, daripada Israil, Zuhair dan Sufian Ath-Thauri, daripada Abu Ishak, daripada Al-Barra' bin Azib, dia bercerita, kami, para sahabat baginda Rasulullah SAW sedang membicarakan mengenai jumlah orang-orang yang mengikuti perang Badar jika dibandingkan dengan jumlah angkatan tentera Thalut yang ikut menyebrangi sungai bersamanya. Jumlahnya tidak lebih daripada 310 sampai 319 orang mukmin.
Sedangkan pendapat As-Suddi yang menyebutkan bahawa angkatan tentera Thalut itu berjumlah 80,000 orang masih dipersoalkan, kerana daerah Baitul Maqdis itu tidak cukup untuk berkumpul angkatan tentera yang jumlahnya sehingga 80,000 orang.
"Maka ketika Thalut dan orang-orang yang beriman bersamanya telah menyebrangi sungai itu, orang-orang yang telah meminum itu berkata, "Tidak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya." Mereka menganggap jumlah mereka terlalu sedikit dan terlalu lemah sehingga tidak sanggup melawan musuh-musuh mereka yang jumlah lebih ramai itu. "Dan orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah SWT berkata, "Berapa banyak berlaku golongon yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak atas izin Allah SWT, Dan Allah SWT beserta orang-orang yang sabar." Yakni, di antara mereka tetap teguh dan berani serta sabar atas pelbagai perlakuan kasar, pertempuran dan perkara-perkara yang menyakitkan.
Allah SWT berfirman, "Dan ketika mereka nampak Jalut dan tenteranya, mereka pun (Thalut dan tenteranya) berdoa, "Ya Tuhan kami, kurniakanlah kesabaran atas diri kami dan kukuhkanlah pendirian kami serta tolonglah kami terhadap orang-orang kafir." Mereka memohon kepada Allah SWT supaya Dia melimpahkan kesabaran kepada mereka. Ertinya, menyirami kesabaran kepada mereka sehingga hati mereka merasa tenteram dan tidak goyah lagi. Selain itu, mereka juga memohon supaya Allah SWT meneguhkan pendirian mereka di medan perang ketika melawan musuh. Dengan demikian, mereka meminta peneguhan dari segi zahiriah mahu pun batiniyah. Juga memohon agar diberikan kemenangan dalam melawan musuh-musuh mereka daripada kalangan orang-orang kafir. Hingga Allah SWT memakbulkan permohonan mereka itu. Oleh kerana itu Allah SWT berfirman, "Mereka (tentera Thalut) mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah (dalam peperangan itu)."
Yang demikian itu terdapat bukti keberanian Nabi Daud AS, dimana dia membunuh dengan cara menghina Jalut dan angkatan tenteranya sekaligus membuat mereka bercerai-berai. Dengan itu, Thalut dan tenteranya memperolehi kemenangan dengan ghanimah yang melimpah dan menawan semua musuhnya seraya meninggalkan kalimah syirik di atas segala bentuk berhala.
As-Suddi menyebutkan, sesuai dengan yang diriwayatkannya, bahawa Daud AS adalah anak terkecil di antara saudara-saudaranya yang berjumlah 13 orang dan semuanya adalah lelaki. Dia pernah mendengar Thalut, raja Bani Israel yang memerintahkan Bani Israel supaya membunuh Jalut dan angkatan tenteranya seraya berkata, "Siapa dikalangan kamu yang berjaya membunuh Jalut, maka aku akan menikahkan dengan puteriku dan akan aku libatkan dalam pemerintahanku."
Daud AS ketika masih berusia muda lagi sangat berbakat dalam masalah lempar-melempar sesuatu barang menggunakan 'lastik'/ketapel. Ketika dia sedang berjalan bersama Bani Israel, tiba-tiba ada batu yang berseru kepadanya, "Ambillah aku, kerana denganku kamu akan dapat membunuh Jalut." Maka Daud AS pun mengambil batu tersebut, demikian halnya dengan batu-batu yang lain. Sehingga dia mengambil 3 biji batu dikantungnya. Ketika sedang menghadapi serangan, muncullah Jalut, maka Daud AS pun tampil ke hadapan mendekati Jalut seraya berkata kepadanya, "Kembalilah. Sesungguhnya aku tidak ingin membunuhmu." Maka Jalut menyahut, "Tetapi aku ingin membunuhmu." Kemudian Daud AS mengambil 3 biji batu dan meletakkan di'lastik'nya sehingga ketiga-tiga batu itu menjadi satu batu. Lalu dia melemparkan batu tersebut kepada sasarannya yakni ke arah Jalut hingga mengenai kepalanya lalu pecah dan mengalir darah yang begitu banyak sekali yang menyebabkan angkatan tenteranya lari lintang pukang.
Akhirnya, Thalut pun memenuhi janjinya dan menikahkan Daud AS dengan puterinya serta melibatkannya dalam pemerintahan. Hingga akhirnya Daud AS pun semakin terkenal dikalangan Bani Israel. Thalut juga mewariskan kerajaan itu kepada Daud AS, lalu pergi bersama anak-anaknya berperang di jalan Allah SWT, sehingga mereka semua terbunuh dalam peperangan tersebut.
Para ulama mengemukakan, demikian itulah makna firman Allah SWT, "Dan kemudian Allah SWT memberikan kepadanya (Daud) pemerintahan dan hikmah (sesudah meninggalnya Thalut) dan mengajarkan kepadanya apa yang dikehendakiNya."
Ibnu Jarir menyebutkan, "Para penganut kitab Taurat mengaku bahawa masa kekuasaan Thalut itu sampai dia terbunuh bersama anak-anaknya, iaitu 40 tahun."
Ishak bin Basyar menceritakan, daripada Muhammad bin Ishak, daripada Az-Zuhri dan ulama lainnya, bahawa Sulaiman AS bin Daud AS pernah hidup selama 52 tahun, sedangkan kekuasaannya berlangsung selama 40 tahun.
Ishak juga menceritakan, Abu Rauq memberitahu kami, daripada Ikrimah, daripada Ibnu Abbas, bahawa kerajaannya itu berlangsung selama 20 tahun.
Ibnu Jarir mengemukakan, "Seluruh umur Sulaiman AS bin Daud AS adalah 50 tahun lebih."
Maka pada tahun keempat kekuasaannya, dia mula membina Baitul Maqdis. Setelah itu, kekuasaan diteruskan oleh puteranya, Rahba'am selama 17 tahun, sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Jarir. Dia mengatakan, "Setelah itu, kerajaan Bani Israel terpecah-pecah."
Ada beberapa nabi di kalangan Bani Israel yang tidak diketahui masa hidupnya secara jelas, yang nyata mereka hidup setelah Nabi Daud AS dan sebelum Nabi Zakaria AS dan juga Nabi Yahya AS. Di antara mereka adalah Nabi Sya'ya AS, Nabi Armiya AS dan beberapa nabi lagi. Mengenai nabi yang berikut ini, penulis akan sajikan di bahagian II.
Semua kisah yang saya paparkan ini bersumberkan daripada kitab Qishash Al-Anbiya' karya Imam Ibnu Kathir. Untuk maklumat lanjut atau sebarang pendapat dan juga pandangan boleh hubungi penulis di email tertera :
[rahsiatersirat@gmail.com]
No comments:
Post a Comment