Tuesday, 5 May 2020

NABI-NABI DARIPADA BANI ISRAEL - (BHG II)


Bani Israel merupakan bani 'lubuknya' para nabi dan juga para rasul. Dikatakan bahawa daripada 124,000 nabi yang diutus ke bumi ini hanya terdapat 12 nabi sahaja yang bukan dari kalangan Bani Israel. Dan daripada 12 nabi itu hanya terdapat 4 sahaja nabi daripada kalangan bangsa Arab. Namun penulis akan kongsikan kisah mengenai Nabi-Nabi yang di utus daripada kalangan Bani Israel.

(NABI SYA'YA AS)

Muhammad bin Ishak mengemukakan :

"Sya'ya bin Amshiya ini hidup sebelum Zakaria AS dan Yahya AS. Dia salah seorang yang menyampaikan khabar gembira akan datangnya Isa Putera Maryam dan Muhammad bin Abdullah SAW. Pada zaman itu terdapat seorang raja yang bernama Hizqiya, yang berkuasa atas Bani Israel di Baitul Maqdis. Hizqiya ini sangat patuh kepada Sya'ya AS. Apa yang diperintahkan dan dilarangnya selalu dia patuhi. Pada saat itu telah berlaku pelbagai peristiwa besar di tengah-tengah Bani Israel.

Pada suatu hari, sang raja sakit dan kakinya bermunculan bisul. Pada saat itu pula, Raja Babylon iaitu Sanharib pergi menuju ke Baitul Maqdis.

Ibnu Ishak mengemukakan, "Iaitu bersama 600,000 pasukan"

Maka orang ramai benar-benar terkejut. Ketika itu pula sang raja Hizqiya berkata kepada Sya'ya AS, "Apa yang diwahyukan kepadamu mengenai Sanharib dan tenteranya?"

Nabi Sya'ya AS menjawab, "Aku tidak diberi wahyu pun mengenai mereka."

Kemudian turunlah wahyu yang menyeru agar raja Hizqiya berwasiat dan menyerahkan kekuasaannya kepada siapa saja yang dikehendakinya kerana dia sudah mendekati ajalnya.

Setelah Nabi Sya'ya AS memberitahu hal tersebut kepadanya, maka dia terus menghadap kiblat seraya bertasbih dan berdoa sambil menangis. Kemudian disertai dengan tangisan rasa tunduk kepada Allah SWT dan dengan hati yang tulus, tawakal dan kesabaran, raja Hizqiya berucap :

"Ya Allah, Tuhan semua tuhan dan Allah bagi semua penguasa. Wahai Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Wahai Zat yang tidak diserang rasa mengantuk mahupun tidur, ingatkanlah akan amal perbuatanku dan keputusanku yang baik bagi Bani Israel, yang semua itu tidak lain adalah dariMu, dan Engkaulah yang lebih mengetahuinya daripada diriku, semua yang bersifat rahsia mahupun nampak jelas yang ada padaku adalah milikMu."

Maka Muhammad bin Ishak meneruskan :

Allah SWT pun memakbulkannya dan memberikan rahmat kepadanya. Kemudian Allah SWT menurunkan wahyu kepada Sya'ya AS agar dia menyampaikan khabar gembira kepada Hizqiya, bahawa Allah SWT telah memberkati tangisannya dan mengakhirkan ajalnya selama 15 tahun serta menyelamatkannya daripada musuhnya iaitu Sanharib. Setelah Sya'ya mengungkapkan hal itu kepadanya, maka hilanglah rasa sakit, sedih dan duka sehingga dia tunduk seraya berdoa dalam sujudnya itu :

"Ya Allah, Engkaulah yang menganugerahkan kekuasaan kepada siapa saja yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa saja yang Engkau kehendaki dan menghina siapa saja yang Engkau kehendaki. Engkau yang Maha Mengetahui segala yang samar dan segala yang jelas. Dan Engkaulah yang pertama dan yang akhir, yang zahir mahupun yang batin, dan Engkau yang memberi rahmat dan memakbulkan doa orang-orang yang dalam keadaan terpaksa."

Setelah mengangkat kepalanya, Allah SWT mewahyukan kepada Sya'ya AS agar dia menyuruh Hizqiya mengambil air Tin dan menyiramkan ke kudisnya yang kian merebak dibahagian kakinya sehingga sembuh dan benar-benar sihat kembalinya. Maka dia pun melakukan apa yang diperintahkanNya dan sembuh seperti sediakala.

Seterusnya Allah SWT mengirimkan kematian kepada tentera Sanharib sehingga mereka semua menemui ajalnya dan binasa kecuali Sanharib dan 5 orang sahabatnya, yang di antaranya adalah Bukhtanashar. Kemudian raja Bani Israel mengirimkan utusan kepada mereka dan mengikat mereka dengan belenggu dan mengaraknya keliling negeri sebagai bentuk celaan dan penghinaan bagi mereka selama 70 hari. Kemudian setiap orang dari mereka memberikan makan 2 buku roti gandum. Dan kemudian mereka dimaksukkan ke dalam penjara.

Setelah itu, Allah SWT mewahyukan kepada Sya'ya AS menyuruh Malik mengirim mereka ke negeri mereka sendiri untuk memberikan peringatan kepada kaum mereka atas apa yang telah menimpa mereka. Setelah mereka pulang ke negeri mereka sendiri, Sanharib mengumpulkan kaumnya dan memberitahu mereka apa yang telah mereka alami. Lalu ada beberapa orang ahli sihir berkata kepadanya, 'Sesungguhnya kami telah memberitahu mengenai Tuhan dan para nabi mereka, namun kamu tidak mematuhi kami.' Kemudian Sanharib mati setelah 7 bulan berlalu.

Ibnu Ishak menceritakan lagi :

Setelah raja Bani Israel iaitu Hizqiya meninggal dunia, maka semua urusan Bani Israel menjadi kacau bilau dan pelbagai peristiwa pun menimpa mereka, bermacam-macam kejahatan bermaharajalela. Lalu Allah SWT menurunkan wahyu kepada Sya'ya AS. Maka Sya'ya AS pun segera berdiri ditengah-tengah mereka dan memberikan nasihat dan peringatan, serta memberitahu mereka mengenai kewujudan Allah SWT dan mengingatkan mereka akan azab dan seksaanNya jika mereka menentang dan mendustakanNya.

Setelah selesai bercakap, mereka pun terus mengejar dan mencari Sya'ya AS untuk dibunuh. Maka dia pun melarikan diri daripada mereka hingga dia melalui sebatang pohon. Lalu pohon itu melindunginya, maka dia pun memasuki pohon itu tetapi hal tersebut diketahui oleh syaitan. Lalu syaitan itu mengambil sepotong kainnya dan mengembangkannya. Setelah mengetahui hal itu, mereka pun mendatanginya dengan membawa gergaji, lalu mereka meletakkan kain itu di atas pohon tersebut dan kemudian menggergajinya."

Penulis kitab ini iaitu Ibnu Kathir mengatakan bahawa kisah di atas adalah dari kisah 'Israiliyat' oleh kerana riwayat ini tidak mempunyai sanad. Namun ianya satu benda percaya jangan, tidak percaya juga jangan. Kita ambil sebagai pengajaran.

(NABI ARMIYA AS)

Di antara nabi-nabi lain yang di utus kepada Bani Israel adalah Armiya bin Hilqiya. Dia ini juga di utus setelah Nabi Daud AS dan sebelum Zakaria dan Yahya AS.

Abu Bakar bin Abi Dunya menceritakan, Ibnu Abi Maryam memberitahuku, daripada Ahmad bin Hibab, daripada Abdullah bin Abdul Rahman, dia bercerita, Armiya pernah berkata, "Ya Tuhanku, siapakah hambaMu yang paling Engkau cintai?"

Tuhan menjawab, "Yang banyak berzikir kepadaKu. Iaitu yang sibuk mengingatiKu dan tidak tertahan oleh rasa was-was terhadap kefanaan dan tidak pula mereka mengatakan dalam diri sendiri akan hidup kelak selamanya."

(Kerosakan Baitu Maqdis)

Berkenaan dengan rosaknya Baitul Maqdis ini, Allah SWT telah berfirman, maksudnya :

"Dan Kami telah memberikan kepada Musa kitab Taurat, dan Kami jadikan kitab Taurat itu petunjuk bagi Bani Israel (dengan firman), 'Janganlah kamu mengambil penolong selain Aku."

Iaitu anak cucu daripada orang-orang yang Kami bawa bersama-sama Nuh. Sesungguhnya dia adalah hamba (Allah) yang banyak bersyukur. Dan Kami telah tetapkan bagi Bani Israel dalam kitab itu," Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini 2 kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar."

Maka apabila datang saat hukuman bagi kejahatan pertama daripada kedua kejahatan tersebut, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, lalu mereka bermaharajalela dikampung-kampung dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana. Kemudian Kami berikan kepada kamu giliran untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantu kamu dengan harta kekayaan serta anak-anak dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar.

Jika kamu berbuat baik bererti kamu berbuat baik bagi diri kamu dan jika kamu berbuat jahat, maka kejahatan itu bagi diri kamu sendiri. Dan jika datang saat hukuman bagi kejahatan yang kedua, Kami datangkan orang-orang lain iaitu orang yang menyuramkan wajah kamu, dan mereka masuk ke dalam masjid, sebagaimana musuh-musuh kamu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan melimpahkan rahmatNya kepada kamu dan sekiranya kamu kembali kepada kederhakaan, nescaya Kami kembali mengazab kamu dan Kami jadikan Neraka Jahanam sebagai penjara bagi orang-orang yang tidak beriman."    (Al-Isra' : 2-8)

Mengenai ayat, "Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini 2 kali" bermaksud, yang pertama adalah menentang hukum-hakam yang terkandung di dalam Taurat, membunuh Nabi Yusya' dan memenjarakan Armiya AS dan yang kedua membunuh Nabi Zakaria AS kerana perbuatan itu maka Jerusalem yakni Baitul Maqdis dihancurkan.

Wahab bin Munabbih menceritakan :

Allah SWT telah mewahyukan kepada salah seorang nabi yang diutus kepada Bani Israel, yang bernama Armiya, iaitu ketika nampak jelas pelbagai kemaksiatan telah melanda mereka. Wahyu tersebut memuat seperti ini :

"Hendaklah engkau tinggal bersama kaummu dan beritahukan kepada mereka bahawa mereka mempunyai hati tetapi tidak memahami, mempunyai mata tetapi tidak dapat melihat dan mempunyai telinga tetapi tidak mendengar. Sesungguhnya Aku ingat akan kebaikan nenek moyang mereka, sehingga hal itu menjadikanKu kasihan kepada anak cucu mereka. Tanyakan kepada mereka, bagaimana mereka mendapatkan nikmatnya berbuat taat kepadaKu dan adakah seorang pun yang bahagia dengan bermaksiat kepadaKu dan adakah orang yang sengsara kerana mentaaiKu? Sesungguhnya binatang-binatang itu masih ingat tempat tinggal mereka, sedangkan kaum itu telah meninggalkan suatu hal yang kerananya Aku memuliakan nenek moyang mereka, sedangkan para pendeta mereka telah mengingkari hakKu, sedangkan para qurra' mereka telah menyembah selain diriKu, sedangkan ahli ibadah mereka sama sekali tidak mengambil manfaat daripada apa yang mereka kerjakan. Demikian dengan para pemimpin mereka, mereka telah mendustakanKu dan juga para rasulKu. Mereka telah menyimpan tipu daya dalam hati mereka dan membinasakan kebohongan melalui lidah mereka. Dengan keperkasaan dan kemuliaanKu, Aku akan menurunkan kepada mereka generasi yang tidak dapat memahami lidah mereka, tidak mengetahui wajah mereka, serta tidak menaruh kasihan terhadap tangisan mereka. Sesungguhnya Aku mengutus kepada mereka seorang raja yang sombong lagi bengis dan kasar mempunyai pasukan yang jumlahnya seperti potongan awan. Mereka ini yang mengubah pembinaan menjadi perosakan dan meninggalkan negeri mereka dalam keadaan menyeramkan. Betapa celakanya penduduk Ilya, bagaimana Aku telah menghinakan mereka dan mencurahkan kekejaman di antara mereka. Sesungguhnya Aku akan menjadikan jasad-jasad mereka sebagai pupuk bagi bumi dan tulang-tulang mereka sebagai santapan sinaran matahari. Aku akan timpakan kepada mereka pelbagai macam seksaan. Kemudian Aku akan perintahkan kepada langit agar menjadi bongkahan besi dan bumi menjadi jaring tembaga. Jika Aku turunkan hujan, maka bumi itu tidak akan ada tumbuh-tumbuhan, kalau masih ada tumbuhan yang tumbuh, maka yang demikian itu merupakan rahmatKu bagi binatang. Semua tanaman yang mereka tanam pun akan Aku rampas. Kalau pada saat itu mereka masih dapat menanam sesuatu, maka dia tidak akan selamat daripada kebinasaan, kalau masih juga ada yang selamat, maka akan Aku ambil berkat daripadanya. Dan jika mereka berdoa kepadaKu, maka Aku tidak akan pernah mengabulkannya. Dan jika mereka meminta kepadaKu, maka Aku tidak akan pernah memberi. Dan jika mereka menangis, maka Aku tidak akan pernah menaruh kasihan kepada mereka dan jika mereka menundukkan diri kepadaKu, maka Aku akan palingkan wajahKu daripada mereka."

Demikian lafaz yang diriwayatkan oleh Ibnu Asakir.

Ishak bin Basyar menceritakan, Idris memberitahu kami, daripada Wahab bin Munabbih, dia bercerita bahawa Allah SWT mengutus Armiya AS kepada Bani Israel, iaitu ketika pelbagai macam peristiwa menimpa mereka, dimana banyak daripada mereka yang berbuat maksiat, membunuh para nabi. Bukhtanashar salah seorang yang rajin membunuh para nabi itu dan Allah SWT telah mencampakkan rasa dengki dalam hatinya dan menggerakkan dirinya agar berjalan menuju mereka. 

Allah SWT mewahyukan kepada Armiya AS, "Sesungguhnya Aku adalah pembinasa dan pembalas Bani Israel yang mereka telah lakukan kepadaKu maka berdirilah engkau di atas sebuah batu Baitul Maqdis, nescaya akan datang kepadamu perintah dan wahyuKu."

Maka Armiya AS pun berdiri dan mengoyak bajunya dan meletakkan abu di atas kepala serta menyurungkan diri seraya bersujud dan berkata, "Ya Tuhanku, aku ingin seandainya ibuku tidak melahirkanku pada saat Engkau menjadikanku sebagai nabi terakhir bagi Bani Israel, sehingga kerosakan Baitul Maqdis dan kehancuran Bani Israel keranaku."

Lalu Tuhan pun berfirman, "Angkatlah kepalamu."

Maka dia segera mengangkat kepalanya secara menangis dan berkata, "Ya Tuhanku, siapakah pemimpin mereka?"

Tuhan menjawab, "Para penyembah api. Mereka tidak takut terhadap seksaanKu dan tidak mengharapkan pahalaKu. Berdirilah, wahai Armiya dan dengarlah wahyuKu. Aku akan beritahu kepadamu berita mengenai dirimu dan mengenai Bani Israel. Sebelum Aku menciptakanmu, Aku telah memilihmu. Sebelum Aku membentuk dirimu di dalam rahim ibumu, Aku telah menyucikanmu. Sebelum kamu tumbuh dewasa Aku telah memilihmu dan untuk suatu perkara yang besar Aku memilihmu. Maka bangkitlah bersama sang raja untuk menangani persoalan tersebut."

Bersama raja itu (Hizqiya), Armiya mendapatkan wahyu daripada Allah SWT sehingga pelbagai peristiwa besar melanda Bani Israel, lalu mereka melupakan penyelamatan mereka oleh Allah SWT melalui Armiya AS daripada musuh mereka iaitu Sanharib dan angkatan tenteranya. Kemudian Allah SWT mewahyukan kepadanya, "Wahai Armiya, bangkit dan ceritakanlah kepada mereka apa yang telah Aku perintahkan kepadamu dan ingatkan mereka akan nikmatKu yang telah Aku limpahkan kepada mereka serta sedarkanlah mereka akan pelbagai peristiwa yang menimpa mereka."

Kemudian Armiya berkata, "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku ini sangat lemah jika Engkau tidak menguatkanku. Aku terlalu lemah jika Engkau tidak membantuku dan selalu berbuat kesalahan jika tidak meluruskanku, aku juga selalu terhina jika Engkau tidak memberikan pertolongan kepadaku, dan aku ini hina jika Engkau tidak memuliakanku."

Maka Allah SWT berfirman, "Apakah engkau tidak mengetahui bahawa semua persoalan ini bersumber daripada kehendakKu dan sesungguhnya semua penciptaan dan perintah itu hanya ada padaKu. Bahawasanya semua hati itu berada ditanganKu, dimana Aku dapat membolak-balikkannya sekehendakKu sehingga dia mentaaiKu. Dengan demikian, Aku adalah Allah yang tidak ada sesuatu pun yang menyamai diriKu. Langit dan bumi serta semua isinya dapat berdiri tegak kerana kalimahKu. Sesungguhnya tauhid itu tidak akan murni dan tidak juga kekuasaan itu sempurna melainkan milikKu. Dan tidak seorangpun mengetahui apa yang ada disisiKu kecuali hanya Aku. Akulah Tuhan yang mengajak bicara lautan sehingga dia memahami ucapanKu dan Aku perintahkan kepadanya sesuatu dan dia pun mengerjakannya. Dan Aku telah berikan batasan baginya sehingga dia tidak akan pernah dapat melampaui batasanKu. Lautan itu dapat mendatangkan ombak setinggi gunung dan jika dia melampaui batasanKu, nescaya dia akan merasa terhina kerana tidak taat kepadaKu dan kerana takut sekaligus mengakui perintahKu. Sesungguhnya Aku ada bersamamu sehingga tidak ada seorang pun yang dapat menjangkaumu selama Aku tetap bersamamu. Sesungguhnya Aku telah mengutusmu kepada makhlukKu supaya engkau menyampaikan risalahKu. Dan kerana itu mereka akan mendapat pahala jika mereka mengikutimu. Pergilah kepada kaummu dan berdirilah ditengah-tengah mereka dan katakan kepada mereka, 'Sesungguhnya Allah telah mengingatkan kamu akan kesolehan nenek moyang kamu. Oleh kerana itu, Dia meminta kamu mengikuti mereka. Wahai anak cucu para nabi, bagaimana para pendahulu kamu dalam ketekunan mereka berbuat ketaatan kepadaKu, lalu bagaimana kamu merasakan berbuat kemaksiatan kepadaKu? Sesungguhnya binatang-binatang itu jika diingatkan tempat tinggal mereka yang baik, nescaya mereka akan segera kembali kepadanya."

"Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang bersenang-senang di atas kehancuran dan meninggalkan suatu hal yang menjadikan para pendahulu mereka dimuliakan dan mereka mencari kemuliaan tidak pada tempatnya. Sedangkan ahli ibadah mereka menjadikan hamba-hambaKu sebagai hamba yang menyembah mereka dan juga memperlakukan mereka tanpa berdasarkan kitabKu sehingga mereka tidak mengetahui perintahKu dan melupakan peringatanKu. Sehingga dengan demikian hamba-hambaKu itu telah mentaati mereka dan menderhakaiKu. Sedangkan para raja dan penguasa mereka benar-benar mengingkari akan nikmatKu dan telah diperdaya oleh kehidupan dunia sehingga mereka mencampakkan kitabKu begitu saja serta melupakan janji-janjiKu. Bahkan mereka mengubah dan menyimpangkan kitabKu menentang rasul-rasulKu. Maha Suci kemuliaanKu dan Maha Tinggi kedudukanKu, apakah layak bagiKu mempunyai sekutu dalam menjalankan kekuasaanKu ini? Dan apakah layak bagi manusia ditaati untuk suatu perbuatan yang merupakan maksiat terhadapKu? Dan apakah layak bagiKu menciptakan hamba lalu Aku jadikan sebagai tuhan selain diriKu atau mengizinkan seseorang untuk hanya taat kepada orang lain padahal semuanya itu layak dimiliki kecuali hanya diriKu?"

"Sedangkan para pendeta mereka hanya mempelajari perkara-perkara yang menjadi pilihan mereka dan untuk memuaskan raja-raja mereka sehingga mereka akan mengikuti pelbagai macam bid'ah yang mereka kerjakan, mentaati raja-raja itu dan derhaka kepadaKu. Mereka juga memenuhi janji-janji setia kepada raja mereka itu tetapi mengingkari janji setia kepadaKu. Mereka itu sebenarnya adalah orang-orang yang tidak memahami apa yang mereka kerjakan dan tidak mengambil manfaat sedikit pun daripada apa yang mereka ketahui daripada kitabKu. Sedangkan anak-anak lelaki mereka tertekan dan berada dalam kekangan mereka, yang sentiasa mendambakan pertolongan yang pernah Kuberikan kepada nenek moyang mereka dan kemuliaan yang pernah dianugerahkan kepada mereka. Bahkan mereka mengaku bahawasanya tidak ada seorang pun yang layak memperolehi hal itu kecuali hanya demi mereka saja. Tetapi mereka tidak melihat bagaimana nenek moyang mereka dahulu menumpahkan pelbagai kesabaran dalam menjalani pelbagai macam cubaan dan mengerahkan semua kerat tenaga dalam melaksanakan perintahKu dan bagaimana pula nenek moyang mereka dahulu telah menyerahkan jiwa, raga dan darahnya untuk menegakkan kebenaran sehingga mereka benar-benar bersabar dan tetap teguh sehingga perintahKu benar-benar dijunjung tinggi dan agamaKu pun di atas semua agama. Aku berharap mereka merasa malu dan kembali ke jalanKu dan dengan pelbagai kurnia kenikmatan telah Kuberikan kepada mereka dengan harapan mudah-mudahan mereka mengingatinya. Dari langit telahKu turunkan hujan dan daripada bumi telahKu tumbuhkan pelbagai macam tumbuh-tumbuhan. Juga diberikan kesihatan dan kesegaran serta diunggulkan ke atas musuh-musuh mereka. Namun semuanya itu tidak menjadikan mereka semakin baik tetapi semakin berkuasa dan jauh daripadaKu. Akan sampai bila mereka akan terus seperti itu?"

"Apakah mereka akan terus menerus mencaci maki dan mengkhianatiKu? Aku bersumpah atas nama kekuasaanKu akan menguji mereka dengan pelbagai macam fitnah. Kemudian akan Aku munculkan ditengah-tengah mereka seorang yang bengis lagi kejam yang pelbagai kelembutan, kasih sayang dan perasaan belas kasihan telah dihilangkan dari nuraninya, yang mempunyai tentera banyak sekali. Mereka benar-benar tidak berhati nurani lagi. Bermata tetapi tidak melihat, bertelinga tetapi tidak mendengar. Mereka berkeliling ke pasar-pasar dan ke jalan-jalan dengan berteriak-teriak dengan suara yang sangat keras. Yang menjadi tujuan mereka tidak lain hanyalah kehidupan duniawi belaka dan untuk itu mereka memperalatkan agama. Mereka belajar tetapi bukan kerana agama serta tidak untuk diamalkan. Seterusnya akan Aku ganti kemuliaan yang ada pada mereka dengan kehinaan, rasa selesa dengan rasa takut, kekayaan dengan kemiskinan, kenikmatan dengan kesengsaraan, kesihatan diganti dengan pelbagai macam penyakit. Kemudian setelah sebelumnya mereka tinggal di tempat-tempat yang mewah dan bangunan-bangunan yang megah akan Kuganti dengan kehancuran. Kelembutan dan keharmonian akan Kuganti dengan kekerasan dan perpecahan. Demikian seterusnya, kerana sesungguhnya Aku akan memuliakan orang-orang yang memuliakanKu dan menghinakan semua yang menghinakanKu."

"Setelah itu akan Aku perintahkan langit menjadi gumpalan besi dan bumi menjadi jaring daripada tembaga, sehingga tidak ada lagi langit yang dapat menurunkan hujan dan bumi yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, kalau pun Aku turunkan hujan kepada mereka, sebenarnya hal itu hanya sebagai bentuk kasih sayangKu. Dan kalau ada yang selamat daripada ancamanKu maka akan Kuhilangkan berkat daripadanya. Jika mereka berdoa kepadaKu, maka Aku tidak akan pernah memakbulkannya dan jika mereka meminta, maka Aku pun tidak akan memberinya. Meskipun mereka menangis, maka Aku tidak akan pernah mengasihi mereka dan jika mereka menundukkan diri, nescaya Aku akan memalingkan wajahKu daripada mereka. Jika mereka mengatakan, "Ya Allah, Engkaulah yang memuliakan kami dan para pendahulu kami dengan rahmat dan kemuliaanMu. Iaitu Engkau telah memilih kami untuk diriMu dan Engkau jadikan ditengah-tengah kami nabi, kitab dan masjidMu. Kemudian Engkau tempatkan kami dinegeri dan Engkau percayai pula kami memikul kepimpinan. Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang menganugerahkan nikmat yang paling sempurna meskipun kami telah mengubahnya, dan Engkau tidak mengubahnya meskipun kami menggantinya dengan kenikmatan, kurnia dan kebaikan telah Engkau limpahkan kepada kami."

"Jika mereka mengatakan hal tersebut, maka akan Kukatakan kepada mereka, 'Sesungguhnya Aku memulakan hamba-hambaKu dengan rahmat dan nikmatKu. Jika mereka mahu menerimanya, maka akan Aku sempurnakan. Jika mereka menginginkan tambahan, nescaya Aku akan berikan tambahan. Jika mereka bersyukur nescaya Aku akan menambahkan berlipat ganda dan jika mengubah, maka Aku pun akan mengubahnya. Jika mereka melakukan perubahan, nescaya Aku akan murka dan jika Aku murka, maka Aku akan timpakan azab kepada mereka. Sesungguhnya tidak ada yang dapat melawan kemurkaanKu."

Armiya pun berdoa, "Ya Tuhanku, Maha Suci hanyalah untukMu, segala puji hanya bagiMu, Maha Suci dan Maha Tinggi Engkau ya TuhanKu, apakah Engkau akan membinasakan negeri ini dan daerah sekitarnya padahal negeri itu adalah tempat para nabiMu dan tempat turunnya wahyuMu. Ya Tuhanku, Maha Suci Engkau, segala puji hanya bagiMu, Maha Mulia dan Maha Tinggi hanyalah untukMu, adakah negeri yang lepas daripada azabMu dan adakah orang-orang yang menyembah api ini yang selamat daripada pedihnya azabMu?"

Allah SWT berfirman, "Wahai Armiya, barangsiapa derhaka kepadaKu, maka dia tidak akan lepas daripada seksaKu. Sesungguhnya Aku hanya memuliakan kaum yang sentiasa mentaatiKu. Seandainya mereka derhaka kepadaKu nescaya akan Aku tempatkan mereka diwilayah orang-orang yang derhaka kecuali jika Aku berkenan memberikan rahmat kepada mereka."

Lalu Armiya berucap, "Ya Tuhanku, aku telah menjadikan Ibrahim sebagai kekasih. Dengannya Engkau telah memelihara kami. Dan aku jadikan Musa sebagai jalan penyelamatanku. Kami memohon kepadaMu agar memelihara kami dan janganlah Engkau mengabaikan kami dan mengalahkan kami ke atas musuh-musuh kami."

Kemudian Allah SWT mewahyukan kepadanya, "Wahai Armiya, sesungguhnya Aku telah menyucikanmu di dalam rahim ibumu dan Aku akhirkan dirimu sehingga hari ini. Seandainya kaummu itu memelihara anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal dan orang-orang miskin, nescaya Aku akan menjadi penyokong mereka dan diberikan kebebasan menikmati pelbagai buah-buahan yang segar dan tidak akan pernah habis dan air yang tidak akan pernah putus. Dan Aku akan beritahukan kepadamu mengenai Bani Israel, sesungguhnya bagi mereka Aku ini berkedudukan seperti pengembala yang penuh rasa kasihan. Aku hindarkan mereka daripada kelaparan dan Aku berikan mereka tanaman yang subur sehingga mereka menjadi binatang yang gemuk. Tetapi mereka benar-benar mendustakanKu, sesungguhnya Aku hanya memuliakan orang-orang yang memuliakanKu dan menghinakan orang-orang yang menghinakanKu."

Seterusnya Ka'ab bercerita :

"Setelah Armiya menyampaikan risalah mereka dan mereka juga telah mendengar pelbagai bentuk ancaman dan azab bagi mereka yang derhaka, mendustakan dan mengingkariNya, namun mereka malah menganggap Armiya tidak waras lalu menangkapnya dan mengikatnya bahkan memenjarakannya. Pada saat itu, Allah SWT mengutus Bukhtanashar kepada mereka. Kemudian dengan pasukan tenteranya, Bukhtanashar berjalan hingga akhirnya singgah di daerah mereka lalu mengepung mereka. Setelah pengepungan mereka itu berterusan, mereka pun menyebar dan membuka semua pintu dan merobohkan semua rintangan. Itulah makna firman Allah SWT, "Lalu mereka bermaharajalela di kampung-kampung." Kemudian ditengah-tengah mereka berlaku hukum jahiliyah dengan diwarnai kebengisan dan kekejaman para penguasa, sehingga sepertiga dari mereka dibunuh dan sepertiga lagi ditawan dan kemudian orang-orang tua, anak-anak dan kaum wanita dibiarkan hidup. Setelah itu mereka menginjak-injak jasad mereka dengan kuda dan melakukan kerosakan Baitul Maqdis. Sedangkan anak-anak dan kaum wanita digiring ke pasar-pasar dalam keadaan letih dan lemah. Mereka juga merosakkan semua benteng, masjid serta membakar Taurat."

Ishak bin Basyar menceritakan, Wahab bin Munabbih pernah berkata :

"Setelah Armiya mengerjakan apa yang menjadi tugasnya, maka dikatakan, 'Bahawasanya mereka mempunyai seorang sahabat yang mengingatkan mereka daripada apa yang telah menimpa mereka serta memberitahu mereka bahawa engkau telah membunuh pasukan mereka dan menawan anak keturunan mereka serta merosakkan masjid dan membakar gereja mereka. Hingga akhirnya mereka mendustakan, menuduh dan memukul serta mengikat dan menangkapnya. Maka Bukhtanashar diperintahkan mengeluarkan Armiya daripada penjara. Maka dia pun melaksanakan perintah itu dan mengeluarkan Armiya dari penjara, lalu Bukhtanashar bertanya kepadanya, "Apakah engkau telah mengingatkan kaum itu daripada apa yang menimpa mereka?"

Armiya menjawab, "Ya."

"Aku tahu itu." sahut Bukhtanashar.

Kemudian Armiya bercerita, "Allah SWT telah mengutusku kepada mereka namun mereka justeru mendustakanku."

"Apakah mereka mendustakan dan memenjarakamu?" bertanya Bukhtanashar.

"Ya." jawabnya.

Lalu Bukhtanashar berkata, "Seburuk-buruk kaum adalah kaum yang mendustakan nabi mereka dan risalah Tuhan mereka. Jika tidak keberatan engkau boleh menemuiku dan aku akan memuliakanmu dan menghiburmu. Jika mahu, engkau boleh menetap di negerimu dengan pengamanan dariku."

Kemudian Armiya berkata kepadanya, "Sesungguhnya aku masih berada dalam jaminan keamanan Allah SWT sejak aku dalam kandungan, sejak aku tidak keluar dari negeri itu, nescaya mereka tidak juga takut padamu dan yang lainnya dan engkau tidak akan mampu menghadapi mereka."

Setelah mendengar penuturan Armiya, Bukhtanashar meninggalkan negeri itu dan menempatkan Armiya di negerinya.

Penulis kitab ini berkata (Ibnu Kathir), "Siyag (susunan) athar di atas bertaraf gharib, tetapi di dalamnya terdapat hikmah, nasihat dan perkara-perkara yang bermanfaat lainnya."

Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Yunus bin Abdul A'la, daripada Ibnu Shahab, daripada Sulaiman bin Bilal, daripada Yahya bin Sa'id Al-Anshari, daripada Sa'id bin Musayyab, bahawa ketika Bukhtanashar tiba di Damsyik dan dia menemukan darah yang sedang direbus di atas kuali sangat besar, lalu dia bertanya kepada mereka, "Darah apakah ini?"

Mereka menjawab, "Kami mendapatkan para pendahulu kami melakukan hal ini."

Sa'id bin Musayyab menceritakan, "Dan itu adalah 70,000 kaum muslimin dan juga yang lainnya dibunuh."

Ibnu Kathir mengatakan, "Sanad hadith tersebut bertaraf sahih dan ia sampai kepada Sa'id bin Musayyab."

Hisyam bin Al-Kilabi menuturkan, diceritakan kepada kami bahawa Bukhtanashar pernah datang ke Baitul Maqdis dan menemukan Armiya AS yang sedang berada di dalam penjara, lalu dia mengeluarkannya. Kemudian Armiya AS menceritakan kepadanya apa yang dialaminya dalam menyampaikan perintah kepada Bani Israel serta memberikan peringatan kepada mereka. Namun mereka justeru mendustakan dan memenjarakannya. Maka Bukhtanashar berkata, "Seburuk-buruk kaum adalah kaum yang derhaka kepada nabi Allah."

Kemudian orang-orang lemah yang tersisa dari Bani Israel pun berkumpul mendatangi Armiya AS seraya berkata, "Sesungguhnya kami sudah berbuat jahat dan zalim. Maka kami bertaubat kepada Allah SWT atas apa yang telah kami lakukan. Berdoalah kepada Allah SWT, agar Dia mahu menerima taubat kami."

Maka Armiya AS pun berdoa kepada Tuhannya dan kemudian Tuhannya menurunkan wahyu kepadanya dengan memberitahu bahawa Dia tidak akan melakukan hal tersebut. Jika memang mereka benar-benar jujur, maka hendaklah mereka beristiqamah bersamamu dalam menegakkan dan memperbaiki negeri ini. Kemudian Armiya AS memberitahukan apa yang diperintahkan Allah SWT kepadanya itu. Maka mereka pun berkata, "Bagaimana kami akan menegakkan dan memperbaiki negeri ini sedang negeri ini telah hancur dan Allah SWT pun telah murka kepada penduduknya?" Dengan demikian, mereka secara tidak langsung telah menolak untuk menegakkan dan memperbaiki negeri tersebut.

Hisyam bin Al-Kilabi melanjutkan ceritanya :

"Dari sejak peristiwa itu, maka Bani Israel terpecah dimana-mana. Ada tinggal di Hijaz, ada yang di Yathrib dan ada juga yang tinggal di Wadil Qura, serta ada sekumpulan kecil daripada mereka yang pergi ke Mesir. Kemudian Bukhtanashar mengirimkan surat kepada raja negeri itu dan meminta agar mengembalikan orang-orang yang melarikan diri tersebut kepadanya, namun raja itu menolak permintaan tersebut. Maka Bukhtanashar terus memimpin pasukan dan menaiki kuda bersama pasukannya menyerang raja tersebut, membunuh dan menawan anak keturunan mereka."

Setelah itu dia pergi menuju ke Moroko dan Mesir sehingga mencapai hujung negeri tersebut. Dan kemudian kembali lagi dengan membawa kejayaan memperolehi banyak dari wilayah Moroko dan Mesir serta menawan penduduk Baitul Maqdis, juga wilayah Palestin dan Jordan. Di antara tawanan itu terdapat Danial. Namun berkenaan yang terakhir ini, penulis kitab ini iaitu Ibnu Kathir berkata, bahawa yang dimaksudkan dengan Danial disini adalah Danial bin Hizqil muda (Al-ashghar) dan bukan senior (Al-akbar), sebagaimana yang telah disebutkan oleh Wahab bin Munabbih.

(NABI DANIAL AS)

Ibnu Abi Dunya menceritakan, Ahmad bin Abdul A'la As-Syaibani memberitahu kami, dia mengaku mendengar daripada Syuaib bin Shafwan, ada sebahagian sahabat kami yang memberitahuku yang bersumber daripadanya. daripada Al-Ajlah Al-Kindi, daripada Abdullah bin Abi Huzail, dia bercerita :

"Bukhtanashar pernah diserang oleh 2 ekor singa, lalu dia melemparkan kedua-duanya ke dalam sebuah jurang. Kemudian dia mengajak Danial AS dan melemparkan kepada kedua-dua singa tersebut, namun Danial AS sama sekali tidak berontak. Kemudian dia menetap di sana sampai akhirnya dia teringin untuk memakan makanan dan meminum minuman. Lalu Allah SWT mewahyukan kepada Armiya AS yang ketika itu dia sedang berada di Syam.

"Hendaklah engkau mempersiapkan makanan dan minuman untuk Danial AS."

Kemudian Allah SWT mewahyukan lagi kepadanya, "Hendaklah engkau mempersiapkan apa yang Kami perintahkan kepadamu, sesungguhnya Kami akan mengutus orang yang akan membawamu dan juga apa yang engkau persiapkan tersebut kepadanya."

Maka Armiya AS pun mengerjakan apa yang diperintahkan kepadanya. Lalu dikirimkan kepadanya utusan yang akan membawa dirinya dan juga apa yang telah dipersiapkannya hingga akhirnya dia berhenti di tepi jurang, maka Danial AS pun berucap, "Siapakah itu?"

"Aku Armiya." jawabnya

"Untuk keperluan apa kamu datang ke sini?"

"Aku ke sini diutus oleh Tuhanmu supaya menemuimu."

"Apakah Tuhanku ingat kepadaku?"

"Ya." jawabnya.

Maka Danial AS pun berucap, "Segala puji hanya bagi Allah SWT yang tidak pernah melupakan orang yang mengingatiNya. Segala puji hanya bagi Allah SWT yang memakbulkan harapan orang yang berharap kepadaNya. Dan segala puji hanya bagi Allah SWT yang jika telah memberikan kepercayaan kepada seseorang, maka Dia akan sentiasa mempercayainya. Segala puji hanya bagi Allah SWT yang membalas kebaikan dengan kebaikan. Segala puji hanya bagi Allah SWT yang membalas kesabaran dengan keselamatan. Segala puji hanya bagi Allah SWT yang telah mendatangkan kebahagiaan setelah kesengsaraan. Segala puji hanya bagi Allah SWT yang menyelamatkan kami ketika kami berburuk sangka dengan amal perbuatan kami. Segala puji hanya bagi Allah SWT yang menjadi tumpuan harapan kami ketika semua jalan tertutup bagi kami."

Yunus bin Bakir menceritakan, daripada Muhammad bin Ishak, daripada Abu Khalil bin Dinar, Abu Aliyah memberitahu kami, dimana dia bercerita :

"Ketika kami membuka sebuah penutup, kami menemukan di antara kekayaan Baitul Harmazan terdapat sebuah tempat tidur yang di atasnya terdapat sebuah jasad masih utuh yang di kepalanya terdapat Mushaf. Maka kami mengambilnya dan membawanya menghadap Umar Al-Khattab RA, kemudian dipanggilkan Ka'ab untuk menghadapnya. Naskah mushaf tersebut berbahasa Arab dan aku adalah bangsa Arab yang pertama kali membacanya. Aku membacanya seperti membaca al-Quran. Kemudian kukatakan kepada Abu Aliyah, "Apa yang terkandung di Mushaf tersebut?"

Abu Aliyah menjawab, "Di dalamnya terdapat sejarah kamu, pelbagai persoalan kamu, ucapan kamu serta apa yang akan berlaku nanti." (Ulama menyatakan bahawa ia adalah mengenai berita apa yang akan berlaku diakhirat kelak, khabar tentang syurga neraka, khabar tentang Rasulullah SAW dan juga para sahabatnya)

"Lalu apa yang engkau lakukan terhadap mayat yang kamu temukan tersebut?" tanyaku lebih lanjut.

Dia menjawab, "Kami menggali lubang pada siang hari sebanyak 13 kubur secara terpisah-pisah. Setelah malam tiba, kami menguburkannya dan menutup seluruh kubur itu dengan tanah bertujuan memberitahu orang supaya  mereka tidak membongkar kubur-kubur tersebut."

Kemudian kutanyakan lagi, "Lalu apa yang mereka harapkan daripadanya?"

Dia menjawab, "Jika langit menahan hujan daripada mereka, maka mereka memperlihatkan tempat tidur mayat tersebut sehingga mereka pun diberikan hujan."

"Lalu siapakah orang yang kamu duga itu?"

Dia menjawab, "Iaitu orang yang bernama Danial AS"

Kutanyakan lagi, "Apakah yang telah berubah daripadanya?"

"Hanya beberapa potong rambut daripada tengkuknya. Sesungguhnya daging para nabi itu tidak akan dihancurkan oleh bumi dan tidak juga dimakan oleh binatang buas." jawab Abu Aliyah. 

Sanad hadith ini sahih sampai kepada Abu Aliyah, tetapi jika sejarah wafatnya tercatat dari 300 tahun, maka dia bukan seorang nabi melainkan seorang soleh kerana antara Isa Putera Maryam dengan Rasulullah SAW tidak terdapat seorang nabi pun. Demikian berdasarkan hadith yang terdapat dalam kitab Sahih Bukhari. Jarak waktu antara kedua nabi itu adalah 400 tahun. Ada yang menyebutkan, 600 tahun serta ada juga yang menyebutkan 620 tahun. Disebutkan pula bahawa sejarah wafatnya berawal daripada 800 tahun dan itu jelas dekat dengan waktu Danial AS.

Abu Bakar bin Abu Dunya dalam kitab Ahkamul Qubur menceritakan, Abu Bilal Muhammad bin Harith bin Abdullah bin Abu Burdah bin Abu Musa Al-Asy'ari memberitahu kami, Ibnu Muhammad Al-Qasim bin Abdullah memberitahu kami, daripada Abu Al-Asy'ath Al-Ahmari, dia bercerita, Rasulullah SAW bersabda, "Danial pernah berdoa kepada Allah SWT agar dia dikebumikan oleh umat Muhammad."

Setelah Abu Musa Al-Asy'ari membuka tabir, maka dia mendapatkan Danial berada dalam tabut (peti). Sedangkan Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda, "Barangsiapa yang menunjukkan Danial, maka sampaikanlah berita gembira berupa syurga baginya."

Maka yang menunjukkannya adalah orang yang bernama Harqush. Lalu Abu Musa Al-Asy'ari mengutus surat kepada Umar Al-Khattab RA untuk memberitahukan mengenai hal tersebut. Maka Umar membalasnya dengan menuliskan, 'Kuburkanlah dia dan kirimkan utusan kepada Harqush bahawa Rasulullah SAW menyampaikan kepadanya berita gembira berupaya syurga." Hadith ini bertaraf mursal dari sisi ini.

(NABI UZAIR AS)

Al-Hafiz Abu Qasim bin Asakir (Ibnu Asakir) mengemukakan, dia adalah Aziz bin Jarwah. Ada juga yang menyatakan bahawa dia adalah Ibnu Sauriq bin Adiya bin Darzana bin Ura bin Taqi bin Asbu' bin Fanhash bin Azar bin Harun bin Imran. Ada juga berpendapat bahawa dia adalah Uzair bin Sarukha. Namun, dalam beberapa athar disebutkan bahawa makamnya terdapat di Damsyik.

Ishak bin Basyar bercerita, Sa'id bin Basyir memberitahu kami, daripada Qatadah, daripada Ka'ab, daripada Sa'id bin Abi Arubah, daripada Qatadah, daripada Al-Hasan, daripada Mutaqil, daripada Juwaibir, daripada Ad-Dhahak, daripada Ibnu Abbas, daripada Abdullah bin Ismail As-Suddi, daripada ayahnya, daripada Mujahid, daripada Ibnu Abbas dan Idris, daripada datuknya, Wahab bin Munabbih. Ishak mengemukakan :

Semua orang di atas itu memberitahuku mengenai Uzair. Kemudian, sebahagian mereka saling memberi tambahan atas sebahagian lainnya. Dengan sanad mereka, mereka berkata, Uzair adalah seorang hamba yang soleh lagi bijak. Pada suatu hari, dia pernah pergi ke kampung halaman asalnya, lalu ketika dia kembali lagi dia mendatangi sebuah bangunan yang sudah rosak iaitu tepat ketika matahari sedang berada lurus di atas kepala dan dia pun terkena oleh teriknya matahari. Kemudian dia masuk kedalam bangunan itu sedangkan dia masih berada di atas keldainya. Lalu dia turun daripada keldainya dengan membawa kantung dibawanya yang berisi buah tin dan satu kantung lainnya berisi anggur. Lalu dia berteduh di bawah bangunan itu, seterusnya dia mengeluarkan bekas yang dibawanya untuk dia memerah anggur ke dalam bekas tersebut.

Setelah itu dia pun mengadunkan roti kering yang dibawanya dan memasukkannya ke dalam bekas yang berisi perahan anggur tersebut agar basah untuk dimakannya. Kemudian dia menyandarkan punggungnya dengan kedua kakinya disandarkan pada dinding bangunan itu. Lalu dia melihat atap rumah tersebut dan dia melihat apa yang ada di dalamnya yang tegak berdiri di atas tiang penyangganya sedangkan penghuninya telah hancur binasa dan dia juga menyaksikan tulang belulang yang sedang dalam ujian, maka dia pun berkata, "Bagaimana Allah SWT menghidupkan kembali negeri ini setelah hancur?" Dia tidak pernah ragu bahawa Allah SWT yang telah menghidupkannya. Bahkan ungkapannya itu hanya sebagai bentuk kekagumannya saja. Setelah itu, dia pun tertidur kerana agak keletihan seharian berjalan. Dan pada saat itu Allah SWT mengutus Malaikat Maut kepadanya untuk mencabut nyawanya. Dia mematikannya selama 100 tahun.

Setelah 100 tahun berlalu, ketika itu ditengah-tengah Bani Israel sedang berlaku pelbagai macam peristiwa. Kemudian Allah SWT mengutus malaikat untuk menciptakan hatinya sebab hatinya dapat merasakan dan akalnya pun dapat berfikir serta matanya pun dapat melihat, sehingga dapat mengerti dan memahami bagaimana Allah SWT menghidupkan sesuatu yang telah mati. Seterusnya tulang belulangnya dilapisi oleh daging, rambut, kulit dan setelah itu ditiupkan roh ke dalamnya. Pada saat itu, dia benar-benar mengerti dan memahami. Kemudian dia duduk dan malaikat pun berkata kepadanya, "Berapa lama kamu berada di sini?" Dia menjawab, "Saya telah berada di sini sehari atau setengah hari." Yang demikian itu, kerana dia berada di situ pada permulaan siang dan dihidupkan kembali pada akhir siang sedangkan matahari belum terbenam. Dia juga berkata, "Atau setengah hari saja." yakni belum satu hari penuh.

Malaikat berkata kepadanya, "Sebenarnya kamu telah tinggal di sini 100 tahun lamanya." Lihatlah makanan dan minumanmu." Yakni roti yang kering dan minuman hasil perahan anggur. Ternyata, keduanya iaitu makanan dan minuman itu masih tetap seperti keadaannya yang asal dan belum mengalami perubahan sedikitpun. Demikian halnya dengan buah tin dan anggur yang ada bersamanya, anggur yang sama sekali tidak mengalami perubahan. Seolah-olah hati Uzair AS menolak, lalu malaikat berkata kepadanya, "Apakah engkau mengingkari apa yang kukatakan padamu?"

"Lihatlah keldaimu." ujar malaikat.

Maka dia pun menoleh ke arah keldainya, dan ternyata hanya tinggal tulang sahaja. Kemudian malaikat menyeru tulang-tulang keldai itu sehingga tulang-tulang tersebut memenuhi seruan malaikat atas izin Allah SWT dan berdatangan dari segala penjuru arah hingga akhirnya keldai itu hidup kembali dan dinaiki oleh malaikat sedangkan Uzair AS hanya dapat melihat sahaja. Kemudian malaikat memasang urat-urat dan otot-ototnya kembali. Lalu dilapisi dengan daging dan kulit hingga akhirnya tumbuh kulit dan rambut. Setelah itu, malaikat meniupkan roh ke dalamnya sehingga keldai itu dapat hidup kembali lalu berdiri seraya mengangkat kepala dan ekornya ke langit, dengan maksud dia menyangka hari kiamat sudah tiba. Demikian itulah makna firman Allah SWT, "Dan lihatlah kepada keldaimu yang telah menjadi tulang, Kami akan menjadikan kamu tanda kekuasaan Kami kepada manusia. Dan lihatlah kepada tulang-tulang keldai itu, kemudian Kami menyusunnya kembali, lalu Kami membalutnya dengan daging." Maksudnya, lihatlah kepada tulang-tulang keldaimu bagaimana masing-masing dapat bersusunan kembali sehingga ketika tulang-tulang telah tersusun, maka terlihatlah keldai masih dalam wujud tulang tanpa daging. Kemudian lihatlah bagaimana Kami melapisinya dengan daging. "Maka ketika telah nyata bagaimana Allah SWT menghidupkan yang telah mati, dia pun berkata, 'Saya yakin bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."

Seterusnya Ishak menceritakan :

"Kemudian Uzair AS menaiki keldainya hingga akhirnya mendatangi tempat tinggalnya, namun tidak ada seorang pun orang mengenalinya dan bahkan tidak mahu mengakui kewujudannya dan dia sendiri tidak mengenal orang sekelilingnya bahkan dia tidak mahu mengakui keberadaan rumahnya. Kemudian dia bertolak dengan penuh kebimbangan hingga akhirnya dia mendatangi rumahnya, tiba-tiba dirumahnya itu terdapat seorang nenek yang sudah sangat tua yang usianya 120 tahun lebih. Ketika Uzair AS pergi daripada kaumnya, wanita itu berumur 20 tahun dan benar-benar kenal dan mengetahuinya.

Setelah usia wanita itu semakin tua, Uzair AS pun bertanya kepadanya, "Wahai ibu tua, apakah ini rumah Uzair?"

"Ya, benar ini rumah Uzair." jawab wanita tua itu.

Kemudian wanita tua itu pun menangis sambil berkata, "Aku tidak pernah menemukan seorang pun yang berusia bertahun-tahun yang masih mengingati Uzair, sedangkan dia sudah dilupakan oleh orang."

Kemudian Uzair pun berkata, "Aku ini adalah Uzair. Allah SWT telah mematikanku selama 100 tahun dan kemudian membangkitkanku kembali."

Wanita tua itu berkata, "Maha Suci Allah! Sesungguhnya kami telah kehilangan Uzair sejak 100 tahun yang lalu dan kami sama sekali tidak pernah mendengar namanya lagi."  

"Sesungguhnya aku ini adalah Uzair." ujarnya.

Wanita tua ini pun berkata, "Sesungguhnya Uzair itu seorang yang doanya sentiasa dimakbulkan. Dia sentiasa mendoakan kesembuhan bagi orang yang sedang sakit. Maka doakanlah aku supaya Allah SWT menyembuhkan dan mengembalikan penglihatanku kembali sehingga aku dapat melihatmu, jika engkau benar-benar Uzair yang pernah aku kenal."

Ishak melanjutkan :

"Maka Uzair AS pun terus berdoa kepada Tuhannya dan kemudian mengusapkan tangannya kepada kedua matanya hingga akhirnya kedua matanya itu sembuh, lalu Uzair AS pun memegang tangan wanita tersebut seraya berkata, "Bangunlah dengan izin Allah SWT."

Maka Allah SWT melepaskan kedua kakinya hingga dia dapat berdiri tegak seakan-akan dia baru lepas daripada ikatan. Lalu dia melihat sambil berkata, "Aku bersaksi bahawa engkau adalah Uzair AS"

Kemudian wanita tua itu pergi ke tempat Bani Israel yang ketika itu mereka sedang berada di majlis mereka. Sedangkan putera Uzair AS yang sudah tua berusia 118 tahun sedang berkumpul dengan anak daripada cucu-cucunya di suatu majlis. Maka wanita itu pun menyeru mereka seraya berkata, "Inilah Uzair yang telah datang kepadamu."

Namun mereka tidak mempercayainya. Lalu dia berkata lagi, "Aku ini adalah si fulan, yang merupakan hamba kamu. Dia telah mendoakanku sehingga Tuhannya menyembuhkan penglihatanku dan melepaskan kedua kakiku dan dia juga mengaku bahawa Allah SWT telah mematikannya 100 tahun dan kemudian dibangkitkan kembali."

Kemudian orang ramai itu seraya bangun dan terus datang kepadanya. Dan mereka melihatnya, lalu puteranya berkata, "Sesungguhnya ayahku mempunyai tanda hitam di antara kedua bahunya."

Kemudian dia membuka bahagian di antara kedua bahunya dan ternyata dia memang benar-benar Uzair. Maka Bani Israel pun berkata, "Sesungguhnya tidak ada seorang pun di antara kami yang lebih hafaz Taurat melebihi Uzair. Sebagaimana yang diceritakan, bahawa Bukhtanashar telah membakar Taurat dan tidak ada sedikit pun yang tersisa kecuali yang dihafaz oleh beberapa orang. Kerananya, tuliskanlah untuk kami."

Taurat dulu pernah dikebumikan oleh ayahnya pada masa-masa Bukhtanashar iaitu di suatu tempat yang tidak diketahui kecuali oleh Uzair AS. Oleh kerana itu dia membawa Bani Israel ke tempat itu dan menggali tempat tersebut untuk keluarkan Taurat darinya. Kemudian Uzair AS duduk di bawah sebatang pohon yang rendang sedangkan Bani Israel duduk di sekelilingnya. Lalu dia memperbaharui Taurat itu untuk mereka. Lalu ada dua cahaya terpancar dari langit dan masuk ke dalam kitab tersebut. Maka dia mengajarkan Taurat kepada Bani Israel. Dari sanalah orang-orang Yahudi mengatakan, "Uzair adalah anak Allah." Kerana dia dianggap telah memperbaharui Taurat dan mengurus Bani Israel. Dia wafat di kampung yang bernama Sayarabaz.

Ibnu Abbas menceritakan, Uzair sebagaimana yang difirmankan Allah SWT, "Kami akan menjadikan kamu tanda kekuasaan Kami bagi manusia." Yakni bagi Bani Israel. Yang ketika itu dia sedang duduk-duduk bersama anak dan cucu-cucunya yang sudah tua sedangkan dirinya masih dalam keadaan muda, kerana ketika meninggal dia masih dalam usia 40 tahun. Allah SWT membangkitkannya dalam keadaan muda seperti pada saat dia meninggal.

Ibnu Abbas mengemukakan, "Uzair dibangkitkan setelah Bukhtanashar." Hal yang sama juga diungkapkan oleh Al-Hasan.

Yang terkenal bahawa Uzair AS adalah salah seorang nabi yang diutus kepada Bani Israel. Dia hidup pada masa Daud dan Sulaiman AS dan antara Zakaria dan Yahya AS. Dan ketika ditengah-tengah Bani Israel tidak ada seorang pun yang hafaz Taurat, maka Allah SWT memberikan ilham kepadanya untuk menghafaz Taurat dan mengajarkannya kepada Bani Israel.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Wahab bin Munabbih, "Allah SWT menyuruh malaikat untuk turun dalam bentuk cahaya, lalu malaikat itu melemparkannya kepada Uzair AS, hingga akhirnya dia menghapus Taurat huruf demi huruf sampai selesai."

Ibnu Asakir meriwayatkan, daripada Ibnu Abbas, bahawa dia pernah bertanya kepada Abdullah bin Salam mengenai firman Allah SWT, "Orang-orang Yahudi berkata, 'Uzair itu putera Allah," mengapa mereka mengatakan hal seperti itu? Maka Abdullah bin Salam menyebutkan, bahawa dulu tidak ada seorang pun dari Bani Israel yang menghafaz Taurat. Dulu Bani Israel pernah berkata, "Musa tidak sanggup mendatangkan Taurat kepada kami kecuali yang terdapat di dalam kitab, sedangkan Uzair telah mendatangkan Taurat kepada kami tanpa melalui kitab." Lalu ada sekumpulan daripada mereka yang melemparkan Taurat seraya berkata, "Uzair itu putera Allah." Oleh kerana itu, banyak ulama yang mengatakan, "Sesungguhnya kemutawatiran Taurat itu terputus pada zaman Uzair."

Ishak bin Basyar menceritakan, Sa'id memberitahu kami, daripada Qatadah dan Al-Hasan, dia mengatakan, "Uzair ini satu zaman dengan Bukhtanashar."

Wahab bin Munabbih mengemukakan, bahawa Uzair itu pada masa antara Sulaiman AS dengan Isa AS.

Para perawi jemaah selain Tirmizi meriwayatkan daripada hadith Yunus bin Yazid, daripada Sa'id dan Abu Salamah, daripada Abu Hurairah. Demikian juga yang diriwayatkan Syuaib daripada Abu Zanad, daripada Al-A'raj, daripada Abu Hurairah, dia bercerita bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, "Ada salah seorang nabi yang singgah di bawah sebatang pohon, lalu dia digigit oleh seekor semut. Kemudian dia menyuruh mengambil semua perbekalannya dan menjauhkannya dari bawah pohon dan kemudian dia menyuruh agar semut tersebut dibakar. Maka Allah SWT pun menurunkan wahyu kepadanya, "Bukankah ia hanya seekor semut?"

Diriwayatkan oleh Ishak bin Basyar daripada Ibnu Juraij, daripada Abdul Wahab bin Mujahid, daripada ayahnya, bahawa dia itu adalah Uzair. Demikian halnya yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan Hasan Al-Bashri, bahawa orang itu adalah Uzair.

Semua kisah yang saya paparkan ini bersumberkan daripada kitab Qishash Al-Anbiya' karya Imam Ibnu Kathir. Untuk maklumat lanjut atau sebarang pendapat dan juga pandangan boleh hubungi penulis di email tertera :

[rahsiatersirat@gmail.com]

No comments:

Post a Comment